Dan orang-orang yang bijaksana itu sentiasa mengambil peluang bukannya sekadar menunggu...

Monday, May 30, 2011

(Belum ada tajuk) 1


Wakil Pelajar

‘Pilihan Raya Kampus 2008’.

Begitulah antara tajuk-tajuk poster yang menghiasi hampir segenap blok bangunan yang terdapat di kolej ini. Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah sememangnya terdiri daripada blok bangunan pentadbiran, asrama pelajar serta akademik. Tiga orang sahabat karib sedang meneliti isi kandungan poster yang di hadapannya itu.

“Wah, agak menarik pemilihan kali ini. banyak perubahan yang dibuat tidak seperti tahun-tahun sebelumnya.” Syahadan memulakan kata.

“Betul tu. Bilangan exco Majlis Perwakilan Pelajar pun sudah ditambah.” Zahari mencelah.

Asuwad tersenyum memandang kedua-dua sahabatnya itu.

“Baguslah begitu. Dulu exco MPP hanya sembilan orang sahaja. Sekarang bila pelajar baru bertambah bilangan exco juga perlu ditambah. Barulah segala aktiviti dan perancangan MPP dapat berjalan lancar.” ujarnya.

“Pemilihan agak menarik dan sengit. Setiap jabatan pasti akan menghantar calon terhebat mereka. Aku juga tidak mahu ketinggalan.” Syahadan mula memasang impian. Matanya tepat merenung memerhatikan poster itu.

“Kau serius?” tanya Zahari. Asuwad hanya tersengih mempamerkan sebaris gigi sebersih mutiara.

Asuwad dan Zahari menjeling sesama sendiri. Sinis senyuman yang terukir di wajah mereka berdua. Bukannya memperkecilkan hajat Syahadan namun mereka sengaja bergurau dengan rakan karibnya itu.

“Kenapa? Pencapaian akademik dan kokurikulum aku cukup untuk menyertai pemilihan ini. Lagipun aku tidak pernah membuat sebarang kes salah laku di kolej ini.” Syahadan menambah.

Sememangnya tidak dinafikan Syahadan adalah di antara pelajar terbaik di kolej itu. Pernah beberapa semester dia mendapat 4.00 dalam pencapaian akademik semasa. Setiap kali majlis penyampaian sijil kepada pelajar cemerlang, nama Syahadan pasi tidak lekang meniti di bibir penyampai anugerah itu.

“Bukanlah.” Zahari menjawab.

“Kami pun berfikir begitu. Sengaja mahu mengusik kau tadi.” jenaka Asuwad sambil mengerling ke arah jam di tangan kanannya. Jarum pendek jam antik bersaiz kecil yang bergantung rapi di tangannya menunjukkan hampir menunjukkan angka lapan. Sudah tiba masanya untuk bersedia di dalam Dewan Kuliah.

Belajar selama lapan jam sehari, bermula seawal 8.00 pagi sehingga 5.00 malam dan satu jam lagi dihabiskan di kafeteria, sudah menjadi rutin hariannya. Itulah kehidupan baginya sejak menjejakkan kaki ke pusat pengajian yang tidak pernah lelah, tempat dia menganyam sejuta impian yang akhirnya menjadi realiti bagi sebuah kehidupan.

“Ah, sudahlah. Kita sudah lambat ke kuliah ni. Nanti bising pula Ustaz Zakaria.” kata-kata Asuwad mematikan Syahadan dari lamunannya. Sememangnya pensyarah subjek Pengajian Hadith itu agak bertegas kepada pelajar-pelajar yang lewat ke kuliah.

“Baiklah, mari kita pergi.” Zahari menyambut. Mereka berjalan meninggalkan perkarangan Asrama Putera Blok F itu.

Syahadan hanya mengurut dada. Dalam hatinya memanjatkan doa supaya tiada halangan baginya merentasi lautan cita yang ingin dicapainya.

Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah, seperti institusi pengajian tinggi yang lain mengamalkan Pilihan Raya bagi melantik Exco Majlis Perwakilan Pelajar. Dengan sistem inilah pelajar-pelajar akan terdedah dengan Pilihan Raya yang sebenar dan pemilihan calon-calon untuk menjadi pemimpin.

Perkara inilah yang selalu bermain di benak fikiran Syahadan sejak mula dia menjejakkan kaki ke KIPSAS ini lagi. Dia tertarik dengan kepimpinan yang ditunjukkan oleh exco MPPKIPSAS semasa Minggu Aluan Siswa iaitu minggu orientasi pelajar baharu.

“Mereka boleh memimpin dan menguruskan organisasi dengan baik. Mereka juga mampu menjamin kebajikan pelajar dan membawa suara pelajar ke peringkat atas. Aku mahu menjadi seperti mereka.” bisik hati kecil Syahadan. Dia kini berada di semester empat daripada tujuh semester. Sudah genap setahun dia berpijak di bumi KIPSAS ini.

Tiga semester pengajian di Kolej Islam Pahang seakan sekelip mata dilaluinya. Memori hari pertama Syahadan menjejakkan kaki di kampus itu masih jelas terpampang di muka surat pertama buku ingatan sepanjang kehidupannya. Pagi itu, perasaan bangga meluap-luap di rongga dada seolah-olah menggelembung dada dibuatnya. Diiringi pula dengan degupan jantung kencang dan lebih cepat daripada biasa. Ia terbit di kala melepasi pintu pagar utama kampus yang dibina cemerlang.

Dekorasinya pula sungguh gah dipandang. Ditengah-tengahnya terukir logo KIPSAS dan di bawah logo itu tertulis 'Berilmu Beriman'. Ayah Syahadan memandu kereta yang disewanya mengikuti papan arahan sementara yang diletakkan di setiap simpang jalan. Kereta di jalan banyak sekali. Papan-papan tanda itu lalu membawa semua kereta yang kelihatan ke tempat pendaftaran pelajar baharu kampus itu.

Para pelajar baharu yang mendaftar di pagi itu mencipta keramaian yang maha hebat. Seperti semut mengerumuni gula. Berduyun-duyun dan bersusun-susun memenuhi meja-meja pendaftaran. Bermacam-macam ragam. Ada yang berpeluh tidak tahu kenapa. Ada yang cemas kerana kehilangan boring tawaran. Ada yang Cuma berselipar jepun, santai sekali. Ada yang terkebil-kebil memandang kunci biliknya yang salah.

Syahadan masih teringat semua kenangan di hari pertama. Kerana setahun berlalu seperti sekelip mata. Mereka yang masih hingusan ketika mendaftar dahulu kini sudah bergelar senior. Budak kampung ini juga yang dahulunya memasuki kampus itu dengan berselipar jepun, kini berkasut hitam menyilaukan mata.

Fikirannya tetap tertumpu pada hasratnya walaupun dia sudah berada dalam Dewan Kuliah 4. Mujur ketika itu Ustaz Zakaria belum tiba.


“Syah, hujung minggu ni macam mana?” Zaid mencelah dari belakang sambil menepuk bahu Syahadan.

“Jadi ke tak?”

Syahadan tersedar dari lamunan. Terpaku.

“Apa yang jadi?” Bulat bola mata Syahadan. Tidak dapa menangkap apa yang dimaksudkan oleh rakannya itu.

“Kau ni banyak mengelamun saja. Kan kita dah janji untuk pergi ke bank hujung minggu ni.” Zaid membalas. Dia sememangnya rapat dengan Syahadan walaupun berlainan kursus. Syahadan mengambil kursus Dakwah dan Pengurusan manakala Zaid dalam pengkhususan Bahasa Arab dan Tamadun Islam.

Namun, mereka boleh berada dalam satu kuliah yang sama kerana mengambil subjek yang sama. Subjek Pengajian Hadith wajib diambil oleh semua pelajar dari Sekolah Pengajian Islam di kolej itu. Zahari dan Asuwad juga berada bersama mereka.

“Aku tak ada masalah. Cuba kau ajak Zahari dan Asuwad. Lagi ramai lagi bagus.” Syahadan membalas dengan senyuman.

“Lagi bagus kalau jika Syukri ada bersama.” Zaid membalas. Sinis senyuman yang terukir dibibirnya.

Syukri bukanlah orang asing bagi mereka. Walaupun berlainan jurusan, namun hubungan mereka seperti adik-beradik. Cuma hubungan Syahadan dan Syukri ibarat anjing dan kucing kerana pemikiran dan pandangan mereka sering berbeza.

Syukri yang mengambil jurusan pengurusan di kolej itu agak bersikap tegas dan menyendiri. Berlainan pula Syahadan yang lebih mementingkan pergerakan secara berkumpulan dalam apa juga aktiviti seharian mereka.

“Elok juga macam tu. Boleh kita ditinggalkannya lagi semasa dibandar Kuantan nanti.” Syahadan membalas sinis. Dia teringatkan peristiwa ketika mereka keluar bersama Syukri bulan lepas. Dengan tiba-tiba Syukri hilang dan mereka hanya menerima mesejnya melalui khidat pesanan ringkas yang menyatakan Syukri pergi ke Terminal seorang diri untuk membeli tiket.

“Ish kau ni, Syah. Yang sudah tu sudahlah. Lagipun dia tidak mahu kita menunggunya. Ia akan membazirkan masa kita sahaja.” jawab Zaid.

“Bukannya apa. Kita pergi bersama dan sepatutnya pulang bersama.” Syahadan mempertahankan pendiriannya. Zaid menggaru kepalanya yang tidak gatal. Dia mati akal. Buntu memikirkan hujah yang bakal diberikan kepada rakannya itu.

Perbualan mereka terhenti di situ setelah seorang lelaki berusia hampir setengah abad melangkah masuk ke Dewan Kuliah 4. Lelaki yang bertubuh gempal itu terus meluru ke meja yang paling hadapan sekali bagi memulakan syarahannya. Kelas sunyi sepi menghormati guru Pengajian Hadith mereka dan mendengar apa yang akan disampaikan olehnya.

“Assalamualaikum semua.” Ustaz Zakaria memulakan kuliah. Lantas dijawab secara ramai-ramai.

“Waalaikumsalam.” Suara pelajar perempuan mendominasi. Sememangnya kaum Hawa lebih ramai berbanding dengan kaum Adam dalam kuliah itu.

“Baiklah. Kita akan masuk ke tajuk baru pada hari ini. Sebelum itu saya akan mengingatkan anda semua tentang pembentangan yang akan dijalankan pada minggu depan.” sambung Ustaz Zakaria.

“Pembentangan?” Perkataan yang bermain di fikiran Syahadan. “Alamak, aku belum siap lagi.”

“Kenapa Syah?” Zaid menegur.

“Tak ada apa-apa.”

“Aku tahu. Kau mesti belum siap lagikan?” Zaid dapat membaca fikiran rakannya itu.

“Ya, tapi tak mengapa. Masih ada masa. Aku akan ke perpustakaan malam ini. Lagipun hanya satu bab lagi yang tak lengkap.”

“1 bab lagi?”

“Ya, tentang contoh-contoh kisah dermawan yang mendermakan hartanya ke jalan Allah. Tajuk assignment aku Infaq di Jalan Allah.”

Zaid mengerling sahaja. Memang tidak menjadi masalah bagi Syahadan. Lagipun Syahadan adalah antara pelajar terbaik dalam kelas. Setiap kali pembentangan kertas kerja, Syahadan akan muncul dengan pembentangan yang berisi dan penuh persediaan.

“Nama-nama pembentang akan saya paparkan di hadapan bilik saya. Kamu boleh lihat nanti.” kata-kata Ustaz Zakaria mengalihkan pandangan dua orang sahabat itu ke hadapan. Masing-masing menumpukan sepenuh perhatian kepada Tuan Guru mereka di hadapan.

***** ***** ***** ***** *****

0 comments:

Post a Comment

Template by:
Free Blog Templates