Dan orang-orang yang bijaksana itu sentiasa mengambil peluang bukannya sekadar menunggu...

Saturday, June 16, 2012

Siri Belajar Daripada Lautan




Pada masa dahulu, ada seorang nelayan yang menuju ke laut untuk menangkap ikan. Nelayan ini adalah seorang pakcik tua yang tinggal di hujung kampung. Dia menuju ke tengah laun seorang diri tanpa sebarang teman.

Dengan berbekalkan roti dan air yang mencukupi selama tiga hari, pakcik ini bergerak dengan doa dan harapan supaya hasil yang diperoleh adalah berkat dan mencukupi dengan usahanya. Namun, malang tidak berbau, perahu yang dinaiki telah hanyut di tengah laut.

Beberapa hari di tengah laut, dia hanya makan bekalan yang dibawa iaitu air dan roti sahaja dengan benar-benar jimat. Dia khuatir kehabisan makanan dan hanyut dalam jangka masa yang lama. Sementara itu di kampung, teman-teman pakcik tua ini sibuk memikirkan nasib rakannya itu. Mereka sudah menyangka pakcik itu hanyut di lautan dan membuat laporan ke pihak berkuasa.

Usaha mencari pakcik itu bermula. Pencariannya diperluaskan ke setiap tempat atau kawasan nelayan yang biasa pergi. Ada juga yang menyangka pakcik itu tenggelam dalam lautan. Namun, kebanyakan mereka yakin rakannya itu masih hidup tetapi dalam kelaparan yang teramat sangat.

Hari demi hari, pakcik itu masih belum ditemui. Keadaan pakcik nelayan itu pula semakin kritikal berikutan roti dan air yang dibawa akan habis menjelang keesokan hari setelah berjimat-cermat dan telah bertahan selama 6 hari. Dalam keadaan runsing memikirkan nasib dirinya, dia tidak lupa berdoa kepada Allah S.W.T. agar memberikan bantuan kepadanya dan dia redha dengan apa yang akan terjadi.



Hari ke-7 pakcik ini berada di lautan. Makanan dan minuman telah habis. Sedang asyik berdoa dan mengerang kelaparan, akhirnya pasukan penyelamat berjaya menemuinya. Pakcik ini selamat dibawa pulang dan diberi makan semasa dalam perjalanan pulang. Dia selamat tiba di rumah dan ramai orang menziarahinya.

Setelah berehat dan pulih, pakcik itu didatangi oleh seorang wartawan yang mahu menemuramahnya. Wartawan itu dibenarkan masuk dan disambut dengan baik. Lantas wartawan itu memulakan pertanyaan.

"Pakcik, apakah pengajaran yang pakcik dapat semasa kejadian ini?" Pakcik itu berteleku seketika. Dia memandang wartawan muda itu dengan wajah tenang.

"Senang sahaja. Pakcik hanya berfikir tentang hidup dan tentang kesedihan." ringkas pakcik itu menjawab.

"Kesedihan yang bagaimana?" wartawan itu terus menyoal seperti biasa.

"Ada dua perkara yang penting untuk hilangkan kesedihan pakcik semasa berada di tengah lautan." jawapan pakcik itu masih tergantung. Wartawan dan penduduk kampung yang datang ziarah masih menunggu jawapan tambahan.

"Semasa berada di tengah lautan, jika pakcik berasa sedih atau putus asa untuk hidup, dua perkara ini akan mengubah pandangan dan menaikkah ketabahan pakcik."



"Apakah dua perkara itu?" wartawan itu menyoal lagi.

"Pakcik akan bertanya kepada diri pakcik, adakah pakcik mempunyai makanan untuk hidup? jawapannya 'ya' iaitu roti yang dibawa. Setelah itu pakcik bertanya lagi, adakah pakcik mempunyai air? Jawapannya juga 'ya' dengan air botol yang pakcik bawa sebagai bekal." panjang pakcik itu menjawab. Orang yang hadir mendengarnya dengan terpaku. Pakcik itu sekali lagi menambah:

"Jika ada dua perkara dalam hidup iaitu makanan dan air bersih, jadi mengapa kita perlu berputus asa? Mengapa kita bersedih jika ada cabaran dan halangan jika kita masih ada dua perkara ini?"

"Cabaran itu bukanlah halangan. Cabaran itu adalah ujian dari Allah supaya hambaNya kembali berdoa dan merintih kepadanya. Bersabarlah dalam menghadapi cabaran dan ikhlaslah dalam bersabar, kerana ketahuilah malaikat sedang menulis pahalamu."

Wartawan dan para penduduk yang mendengar kata-kata itu tersenyum memahami maksud pakcik ini. Tidak sia-sia usaha mereka yang menyelamatkan pakcik ini kerana ilmu dan pengalaman dari tengah lautan yang mereka peroleh, tidak terbanding dengan jasa mereka menyelamatkan pakcik itu.



Tuesday, June 5, 2012

Motivasi Diri (Menjadi Penulis)


Penulis cuba menerbitkan beberapa manuskrip tetapi masih dalam semakan. Biarpun setiap kali mendapat keputusan yang mengecewakan, namun penulis berharap satu hari nanti impian ini tercapai. Beberapa kata-kata hikmah penulis dapati daripada buku seorang rakan yang ditinggalkan di bilik ini. Antara kata-kata yang menarik perhatian dan mampu menjadi panduan dan motivasi adalah seperti berikut:


"Seorang penulis profesional adalah seorang penulis amatur yang tidak pernah menyerah kalah"

"Bakat sahaja tidak mencukupi, perlu ada motivasi dan ketabahan."

"Keinginan ini akan melakukan segalanya."



Teruskan mencuba wahai diri...[]:-)=



Template by:
Free Blog Templates