Dan orang-orang yang bijaksana itu sentiasa mengambil peluang bukannya sekadar menunggu...
Showing posts with label Nota Pengembara. Show all posts
Showing posts with label Nota Pengembara. Show all posts

Thursday, July 26, 2012

Penakulan Seorang Pakcik


Malam pertama Ramadhan, saya kembali ke kampung halaman untuk menyambut Ramadhan bersama keluarga. Isyak hampir menjelma dan saya menuju ke masjid untuk berjemaah dan memulakan terawih pertama. Kereta amat banyak.

"Aduh, rugi pula rasanya bawa kereta malam ini! Susahnya mencari parking."bisik hatiku sendirian. Setelah beberapa ketika akhirnya berjaya meletakkan kereta di hadapan kanopi khas untuk moreh atau berbuka.

"Assalamualaikum, Pakcik." salam diberi kepada seorang pakcik yang amat dikenali.

"Waalaikumsalam." spontan dia menjawab salam.

"Banyak betul kereta malam ini. Susah saya mahu mencari parking."

"Jangan risau. Bawa sahaja motor. Malam ke-15 baru bawa kereta."

Ringkas pakcik itu menjawab. Seolah-olah dia sudah mengetahui apa yang bakal berlaku. Namun, itu bukanlah ilmu ramai atau nujum yang tahu akan apa yang akan berlaku. Sebaliknya itu adalah penakulannya yang berdasarkan pengalaman-pengalaman lalu.

Adakah peristiwa ini akan berulang kembali? Masjid akan penuh pada permulaan Ramadhan yang membawa rahmat tetapi berkurangan pada pertengahannya. Harap agar tahun ini tidak berlaku sebagaimana tahun-tahun sebelumnya. Inilah kuasa iman dan istiqamah. Bulan ini adalah bulan mulia, bulan cinta. Buktikan kecintaan dan iman kita dalam mengabdikan diri kepadaNya.

Selamat beramal []:-)=


Tuesday, February 28, 2012

Encik Google yang jahat


Penulis membuka google untuk mencari bahan kajian tesis. Namun, sering terganggu dengan 'kejahatan' encik Google yang memberitahu maklumat yang sebegitu kepada penulis. Setiap kata kunci yang ditaip pasti keluar maklumat tentang kerajaan. Ada sesuatu yang tidak kena. Adakah benar? Adakah sekadar kebetulan?

Yang pasti, ia sesuatu yang kelakar untuk diperkatakan. Taip sahaja perkataan seperti babi, kapal, ladang, hutang dan beberapa lagi, pasti dikaitkan dengan isu menteri yang melanda negara sama ada yang terbaru mahu pun lama.

Penulis hanya mahu mencari unsur simbolisme bagi beberapa perkataan, terbaca hutang negara yang semakin meningkat... Apabila mencari unsur ladang, terbaca menteri yang ..... lembu ... kondominium .... .... ....

Encik Google memang jahat. Memuatnaik sesuatu bahan agar pembaca mencari kebenaran. Tidak mengikut satu sumber sahaja. Satu akhbar kata perhimpunan seramai 200 orang dan pada hari yang sama dan akhbar yang dalam 'barisan' yang sama mengatakan kumpulan itu 2000 orang. Pembaca perlu mencari akhbar yang ketiga dalam 'barisan' yang berbeza untuk membuat penilaian seterusnya membuat undian. :)

Sekian... Terima kasih Encik Google... Baca, kaji, fikir-fikirkan.. Selamat Beramal..







Friday, January 27, 2012

Memajukan sektor perlancongan : Baik atau Buruk?


Sektor perlancongan amat berkembang pesat di negara kita. Pelbagai tempat menarik yang boleh dikunjungi seperti Langkawi, Tioman, Taman Negara, dan sebagainya. Ia mampu menarik pelancong dari pelbagai negara untuk datang ke Malaysia.

Dikatakan perlancongan dan tarikan ini menjadikan ekonomi negara berkembang pesat. Namun, sejauh manakah tarikan ini membawa kesan hebat kepada sosial dan budaya? Adakah ekonomi segala-galanya bagi penduduk Malaysia sehingga mengabaikan faktor sosial?

Dilaporkan tiga ribu pelancong China hilang di Malaysia dan ia masih lagi menjadi misteri. Pelancong Afrika pula menimbulkan tanda tanya dengan hampir setiap hari ada sahaja kes yang melibatkan warga Afrika ini. Di IPT pula warga Afrika dikatakan mengejar pelajar wanita kita dan sering membuatkan pelajar ini tidak senang.

Warga Indonesia, Bangladesh dan negara sekeliling semakin ramai malah mampu membentuk satu perkampungan asing di beberapa tempat. Dalam tempoh lima tahun lagi, tidak mustahil Kuala Lumpur bukan lagi milik kita. Hanya tinggal nama sahaja kerana demografinya dipenuhi warga asing.

Di England. syarat kemasukan pelancong perlu ada permit, surat beranak atau surat majikan bagi memastikan pelancong yang hadir akan pulang pada masa yang ditetapkan. Alangkah baiknya jika Malaysia mengamalkan cara ini.

Pergilah ke Kuala Lumpur dan lihatlah sendiri bagaimana warga asing ini berada di sekeliling kita. Mereka menjajga parkir di kawasan Tanah Tumpah Darah kita sendiri tanpa lesen dan kerana takut dipukul atau dicederakan, kita terpaksa membayar sahaja. Mereka menjadi bos di beberapa tempat dan orang kita hanya menjual di tepi kaki lima.

Sememangnya pelancong asing menaikkan ekonomi dan mendatangkan keuntungan tapi sejauh mana? Kita dapat bayaran atas tanah yang kita hilang dan keselamatan yang terancam, adakah ia berbaloi?

Fikir-fikirkan....







Monday, January 23, 2012

Janji



Berjanji itu mudah namun menepatinya adalah sukar. Barang siapa yang mampu melakukan kedua-duanya, dialah orang yang boleh dipercayai.





Sunday, January 22, 2012

Sahabat Terbaik....


Jika kau menjadi pokok, jadilah pokok yang paling tinggi di atas pergunungan..

Jika kau menjadi bintang, jadilah bintang yang paling terang di angkasa..

Jika kau menjadi rumput, jadilah rumput yang paling subur dan menghijau..

Jika kau menjadi burung, jadilah burung yang paling lincah dan bebas terbangnya..

Jika kau menjadi permata, jadilah permata yang paling tinggi nilainya..

dan jika kau menjadi sahabat, jadilah sahabat yang terbaik yang pernah aku jumpa..



Kata-kata Hikmah

Cara terbaik untuk memulakan sesuatu perancangan adalah dengan berhenti bercakap.

Berhati-hati apabila memperkatakan tentang keburukan orang lain kerana pada masa yang sama ada orang yang akan memperkatakan keburukan kita.

Mimpi itu tidak akan menjadi nyata selagi mana kita tidak bangun dari lena.

Tidak lengkap seorang lelaki itu tanpa menulis buku - Pepatah Cina





Friday, January 20, 2012

Kreativiti dalam Menuntut Ilmu

Ilmu perlu dituntut dan bukannya ia datang sendiri kecuali penuntut atau pelajar itu adalah seorang yang kasyaf atau dianugerahkan ilmu laduni. Pelajar biasa atau manusia normal akan diajar di sekolah dan universiti dan akan diberikan sijil, diploma atau ijazah selepas lulus ujian.

Sistem ini nampak berkesan dengan setiap tahun pihak universiti atau kolej mengeluarkan beribu-ribu graduan setiap tahun. Graduan ini pula semakin bertambah sehingga melebihi permintaan pekerjaan yang tersedia.

Namun, pekerjaan bukanlah aspek utama yang ingin disentuh. Perkara pokok atau dasar dalam isu ini adalah sejauh mana sistem peperiksaan di IPT ini mampu melahirkan pelajar yang kreatif.

Saban hari pelajar pergi kuliah dan pulang. Pada sebelah malam aktiviti mereka adalah menyiapkan tugasan dan membuat nota untuk persediaan peperiksaan.

Rutin ini berulang setiap hari, setiap minggu dan selama enam atau lapan semester. Jadi, bagaimana nilai kreativiti seseorang pelajar itu jika diarah melakukan ini sahaja tanpa menonjolkan kemampuan diri.

Tidak semua pelajar menonjolkan diri dalam beberapa entiti atau organisasi seperti Majlis Perwakilan Pelajar, Majlis Tertinggi Mahasiswa, persatuan dan kelab. Hanya sepuluh peratus sahaja yang menceburi dalam aktiviti ini.

Selebihnya, mereka diajar untuk mengikut dan terus mengikut. Peraturan demi peraturan, skema demi skema sehingga ada lagi masalah pelajar yang menghafal nota seratus peratus menjadikan intelektualnya skema, seperti dirinya.

Natijahnya, apabila mereka keluar bekerja kelak sebagai guru atau pegawai, mereka sekali lagi akan melahirkan generasi pelajar yang perlu mengikut peraturan dan skema. Akhirnya nilai kreativiti diabaikan dan fenomena ini akan menjadi satu kitaran semula yang menakutkan.

murid diajar mengikut peraturan guru dan guru perlu mengikut peraturan kementerian. Bukan berniat untuk menyalahkan sesiapa, cuma berniat mahu nilai kreativiti ini diutamakan. Kita tidak mencari pelajar yang menghafal nota dalam buku tetapi mencari pelajar yang mampu memanipulasikan nota itu membentuk satu perkara yang baharu.

Dengan ini, pelbagai ilmu baharu dan percubaan berani mati mereka akan meningkatkan nilai intelektual seterusnya membentuk generasi yang kreatif dan inovatif serta tidak mengenepikan unsur menghormati dan mematuhi peraturan..


Saturday, December 31, 2011

Salam 2012 : Hidup Mahasiswa.. Salam Perjuangan...




‎" Dan jangnlah kamu cenderung kepada orang orang yang zalim, yang menyebabkan kamu disentuh api neraka, dan sekali-kali kamu tiada mempunyai seorang penolong selain daripada Allah, Kemudian kamu tidak akan diberi pertolongan.( Hud: 113 )

Isu suara mahasiswa dalam politik memang isu panas. Ini terbukti dengan kejatuhan kerajaan Afghanistan hasil daripada kebangkitan mahasiswa yang mewakili masyarakat. kerajaan-kerajaan lain mula mengawal tindak tanduk golongan terpelajar ini supaya tidak bersuara dan hanya menurut perintah.

Namun, mahasiswa tetap mahasiswa. Mereka juga adalah rakyat. Mereka juga ada suara dan hak bersuara. Faktor kuasa mahasiswa dalam mempengaruhi kerajaan dikatakan salah satu daripada empat tunjang utama kerajaan. Suara mereka amat bermakna. Jika golongan ini tunduk kepada pemerintah maka di mana letaknya maruah mereka dan hak mereka.

Hari ini sekali lagi mahasiswa dikaitkan dengan politik dan hak bersuara. Undang-undang ciptaan sendiri digunapakai untuk melindungi Si Pembuat Undang-undang ini. Maka, Mahasiswa perlu bersuara. Walaupun segolongan rakyat yang telah "Hidup selesa menunggu mati" berkata mahasiswa perlu belajar sahaja, namun takkan nak tunggu buku teks mahasiswa dirampas baru mereka perlu bertindak.

Suara mereka adalah pendapat. Suara mereka adalah hak mereka. Mereka bersuara sekadar menuntut hak dan menegur. Jangan pula suara mereka ini dibalas dengan darah dan pukulan. Mereka hanya bersuara selagi mana mampu. Kerana mereka juga manusia. Jika mereka salah, tegur dan didik mereka dengan CONTOH yang baik. Didik dengan pukulan hanya memburukkan keadaan...

Salam 2012 : Hidup Mahasiswa.. Salam Perjuangan...

Sunday, September 18, 2011

Nikmat Berusaha ...


Hari ini seperti biasa penulis akan meneruskan pencarian untuk menampung pengajian. Perbezaan hari ini dengan minggu lepas adalah strategi pemasaran. Diharapkan hari ini dipermudahkan segala urusan ditajamkan lidah agar dapat meyakinkan pendengar untuk menerima khidmat penulis.

Dunia ini luas terbentang. Rezeki di mana-mana. Kita hanya perlu berusaha untuk mencarinya. Hasilnya hanya Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Memberi. Jika kita sudah berusaha namun tidak berhasil, maka ketahuilah Allah akan memberi pada lain waktu atau mahu memberi yang lebih baik.

Ungkapan yang paling sesuai adalah 'Sabran ala Sabran'. Bersabar di atas bersabar. Dengan kata yang lain, bersabar dalam bersabar. Jika sabar kita mempunyai had bererti sabar kita ini terhad sedangkan rahmat Allah Maha Luas. Kesabaran kita dalam berusaha adalah satu nikmat yang Allah beri kepada kita dalam keadaan kita tidak menyedarinya.

Sesungguhnya, jika tidak ada sebarang hasil dari usaha kita selama ini, ketahuilah ada nikmat yang diperoleh. Iaitu nikmat berusaha dan nikmat mencuba. Semoga dengan usaha kita pada hari ini membuka pintu-pintu rezeki kita yang lain. InsyaAllah....[]:-) =


Sunday, September 4, 2011

Esok yang bakal tiba


Kebiasaannya penulis menulis idea motivasi kegagalan untuk diri sendiri dan dimuat naik untuk manfaat dan perkongsian ramai. Namun malam ini seakan-akan kosong dan berlalu begitu sahaja. Mungkin bersedia untuk esok yang mendebarkan. Mungkin juga penulis takut. Mungkin apa sahaja yang bermain di minda.

Seperti pengembara yang lain, esok penulis akan bertolak ke UPM untuk menyambung pengajian. Serta mencari kerja sampingan bagi membiayai pengajian ini. Sayangnya, pencapaian yang membanggakan bukanlah jaminan untuk mendapat pekerjaan. Rezeki dari Allah dan penulis telah mencuba mencari peluang keemasan iaitu di UPM sendiri namun seperti biasa : GAGAL.

Kini pengembara yang kerdil ini perlu bersaing untuk mencari kerja di luar dan perlu lebih fokus untuk pengajian lebih tinggi : Dan itu bukannya sesuatu yang mudah. Kita hanya perlu berusaha dan Allah yang akan menentukan hasilnya.

Harap agar jasad ini mampu bertahan menahan rintangan dan duri yang akan tiba. Semoga esok dan seterusnya memberi sinar bahagia dan mendapat petunjuk dan bimbinganNya. Semoga kita dapat terus melihat nikmat Allah yang maha sempurna dan tidak tertutup dek hati yang gelita...




Tuesday, July 26, 2011

Keajaiban Dunia Yang Ke-8


Secara umumnya dunia ini mempunyai banyak misteri yang tidak dapat diterokai. Kita sibuk meneroka angkasaraya, namun di tanah dan bumi ini juga masih belum dijejaki keseluruhannya.

Ada pulau di selatan Argentina yang berwarna kemerahan. Sekali imbas umpama cerita dalam TV yang menayangkan pengembaraan ke dunia asing sedangkan ia masih berada di bumi dan ia wujud.

Terdapat juga binaan-binaan manusia yang menjadi keajaiban pada masyarakat dunia dan diiktiraf. Antaranya adalah :


1) Piramida

2) Taj Mahal

3) Tembok Besar Cina

4) Menara Pisa

5) Kuil Angkor

6) Menara Eiffel

7) Kuil Parthenon


Namun, keajaiban dunia sebenarnya adalah pada yang kelapan iaitu yang paling utama : MATA. Kita mampu melihat dan menikmati kesemuanya. Pancaindera manusia adalah ciptaan agung Yang Maha Kuasa yang menjadikan kita dengan segala rahmatnya.

p/s : Selamat Mengembara


Wednesday, July 13, 2011

Perjalanan


Mari memulakan perjalanan kita hari ini untuk menuju ke arah kejayaan. Pandanglah ke belakang untuk memastikan anda sedang bergerak.


Monday, July 4, 2011

Pengembara & Destinasi


Empunya catatan ini bernama Muhamad Fairuz, seorang pengembara dari Jerantut, Pahang, menjelajah kehidupannya dan mencatatkan apa yang didapatinya semasa pengembaraannya agar dapat dikongsi bersama. Dengan perkongsian yang sedikit ini, diharapkan ia mampu menjadi wadah dalam menyampai ilmu dan maklumat dalam bentuk sastera dan ilmiah.

Segala cadangan dan perbincangan boleh dilakukan di sini dalam memperbaiki diri, memperbaiki catatan agar tidak terkeluar dari landasan pengembaraan.

Kita adalah pengembara dan kita akan tiba jua ke destinasi kita. Sediakan bekalan yang cukup kerana destinasi itu cuma ada DUA tempat. Harapan atau kepanasan.

Segala kesilapan pengembara ini harap dapat dimaafkan. Apa yang baik jadikan sebagai panduan dan ingatan dan segala yang buruk doakanlah pengembara ini agar mendapat Hidayah dari Ilahi. Wassalam..


Template by:
Free Blog Templates