Dan orang-orang yang bijaksana itu sentiasa mengambil peluang bukannya sekadar menunggu...

Friday, January 20, 2012

Kreativiti dalam Menuntut Ilmu

Ilmu perlu dituntut dan bukannya ia datang sendiri kecuali penuntut atau pelajar itu adalah seorang yang kasyaf atau dianugerahkan ilmu laduni. Pelajar biasa atau manusia normal akan diajar di sekolah dan universiti dan akan diberikan sijil, diploma atau ijazah selepas lulus ujian.

Sistem ini nampak berkesan dengan setiap tahun pihak universiti atau kolej mengeluarkan beribu-ribu graduan setiap tahun. Graduan ini pula semakin bertambah sehingga melebihi permintaan pekerjaan yang tersedia.

Namun, pekerjaan bukanlah aspek utama yang ingin disentuh. Perkara pokok atau dasar dalam isu ini adalah sejauh mana sistem peperiksaan di IPT ini mampu melahirkan pelajar yang kreatif.

Saban hari pelajar pergi kuliah dan pulang. Pada sebelah malam aktiviti mereka adalah menyiapkan tugasan dan membuat nota untuk persediaan peperiksaan.

Rutin ini berulang setiap hari, setiap minggu dan selama enam atau lapan semester. Jadi, bagaimana nilai kreativiti seseorang pelajar itu jika diarah melakukan ini sahaja tanpa menonjolkan kemampuan diri.

Tidak semua pelajar menonjolkan diri dalam beberapa entiti atau organisasi seperti Majlis Perwakilan Pelajar, Majlis Tertinggi Mahasiswa, persatuan dan kelab. Hanya sepuluh peratus sahaja yang menceburi dalam aktiviti ini.

Selebihnya, mereka diajar untuk mengikut dan terus mengikut. Peraturan demi peraturan, skema demi skema sehingga ada lagi masalah pelajar yang menghafal nota seratus peratus menjadikan intelektualnya skema, seperti dirinya.

Natijahnya, apabila mereka keluar bekerja kelak sebagai guru atau pegawai, mereka sekali lagi akan melahirkan generasi pelajar yang perlu mengikut peraturan dan skema. Akhirnya nilai kreativiti diabaikan dan fenomena ini akan menjadi satu kitaran semula yang menakutkan.

murid diajar mengikut peraturan guru dan guru perlu mengikut peraturan kementerian. Bukan berniat untuk menyalahkan sesiapa, cuma berniat mahu nilai kreativiti ini diutamakan. Kita tidak mencari pelajar yang menghafal nota dalam buku tetapi mencari pelajar yang mampu memanipulasikan nota itu membentuk satu perkara yang baharu.

Dengan ini, pelbagai ilmu baharu dan percubaan berani mati mereka akan meningkatkan nilai intelektual seterusnya membentuk generasi yang kreatif dan inovatif serta tidak mengenepikan unsur menghormati dan mematuhi peraturan..


0 comments:

Post a Comment

Template by:
Free Blog Templates