Dan orang-orang yang bijaksana itu sentiasa mengambil peluang bukannya sekadar menunggu...
Showing posts with label Bahasa Arab. Show all posts
Showing posts with label Bahasa Arab. Show all posts

Tuesday, February 14, 2017

Dam Ular Gergasi (Jawi & Bahasa Arab)

Alhamdulillah...

Baru-baru ini saya berjaya merekacipta dam ular gergasi sebesar 16 kaki. Design yang memakan masa selama berminggu-minggu ini berjaya dipraktikkan kepada student sendiri dalam aktiviti kuiz. Berjaya jawab soalan maka student atau peserta akan baling dadu (Dadu pun gergasi), serta melangkah sebanyak mana yang ditunjukkan dadu itu.

Berikut dipaparkan gambar sepanjang program:


Pelajar lelaki sedang mendahului 

Peserta mula melemparkan dadu.
Boleh cari bantal dadu (harga dalam Rm100) atau buat sendiri dari kotak.





Inilah gambarannya dam ular gergasi & dalam font jawi serta bahasa Arab. nombor bilangan kotak tak sampai 100 kerana saiz telah mencecah lebar 12 kaki.

Kepada sesiapa yg berminat boleh menghubungi saya (Whattsupp) 0 - 1 - 3 - 3 - 1 - 1 - 1 - 0 - 0 - 2 atau balas/komen di sini. Saiz 16 kaki x 12. Harga Rm500 Kos Cetak & Design serta termasuk pos.



...




Tuesday, May 17, 2016

Jabatan Bahasa Arab KUIPSAS



Sertai kami di Jabatan Bahasa Arab

Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah

Km8 Jalan Gambang 25150 Kuantan Pahang

keterangan lanjut : www.kuipsas.edu.my




Saturday, September 21, 2013

Siri belajar bahasa arab daripada al-Quran : Surah al-Mulk.



Siri belajar bahasa arab daripada al-Quran : Surah al-Mulk.


Lazimkah anda dengan surah ini? sedar @ perasankah kita pada ayat ini?




jika tidak ingat tasrif (susunan/sifir) dalam Arab, baca ayat ini sebagai pemula/formula.

haza : itu (utk seorang lelaki).
allazi : yang (utk seorang lelaki)
huwa : dia ( seorang lelaki)
yansuru : membantu ( feel mudori' utk huwa)

indahnya Kalam Allah []:-)=

Tatbiq/praktikkan utk surah yg lain pula.


Thursday, January 17, 2013

kelas/tuisyen persendirian (Kafa & bahasa Arab) sekitar serdang, bangi dan sri kembangan

Saya merupakan pelajar upm (bahasa Arab), jika ada sebarang permintaan untuk memerlukan tenaga pengajar bagi kelas/tuisyen persendirian sekitar serdang, bangi dan sri kembangan bagi kelas KAFA (al-Quran & fardu ain dan Bahasa Arab), anda boleh menghubungi saya

Muhamad Fairuz
019-9396526



Thursday, November 1, 2012

Hati, Akal & Nafsu

 


Semasa pembentangan kertas kerja di KUISAS, Perak, penulis ditanya tentang salah satu puisi Imam As-Syafie yang berbunyi:



Ilmuku sentiasa bersamaku.Ia amat bermanfaat bagiku bila diamalkan. Hatiku adalah gedung ilmu, dan bukan perut yang menampungnya.
Ketika aku berada di rumah, ilmuku berada di sana. Dan ketika aku pergi ke pasar, ilmuku selalu mengikutiku ke mana jua aku pergi.


Soalan daripada salah seorang peserta itu pula mengatakan bahawa akal atau otak yang memainkan peranan sebagai penggerak dan berfikir secara kognitif, bukannya di hati. Justeru, mengapa Imam Al-Syafie mengatakan Hati adalah segala-galanya?





 Hal ini kerana (pada pandangan dan kajian penulis) unsur hati ini adalah lambang yang terbaik untuk menggambarkan penggunaan kuasa dan kepimpinan seseorang. Hati adalah raja bagi sekujur tubuh dan rakyatnya adalah anggota badan yang lain. Apabila raja ini rosak dan fasik, maka sudah pastilah rakyatnya akan melakukan perkara yang sama atau ditimpa musibah. Namun, jika raja ini berilmu dan terpimpin, sudah pasti negara akan maju dan makmur.

Ini bertepatan dengan Hadith Rasulullah S.A.W. yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang bermaksud, “Sesungguhnya dalam jasad anak Adam itu ada seketul daging, jika ianya baik nescaya baiklah anggota tubuhnya dan jika jahat, nescaya jahatlah seluruh anggota tubuhnya.Ketahuilah itu adalah Qalb (Hati).”
 
Hati yang mengawal segala perbuatan. Akal membekalkan ilmu dan maklumat tentang kesan dan akibat sesuatu perbuatan. Nafsu pula pada kebiasaan orang sederhana, ia mempengaruhi ke arah kejahatan, walaupun nafsu juga boleh digunakan ke arah yang baik dan gemilang.

Justeru, dengan ilmu dari akal dan hasitan nafsu, HATI yang akan membuat keputusan sama ada mahu memilih yang baik atau buruk. Hati adalah pusat dan segala-galanya bagi manusia. Jagalah hati dengan baik kerana ia adalah tempat yang suci dan jangan kotorinya dengan dosa.


[]:-)=

 

Wednesday, October 24, 2012

Cukuplah Allah itu bagiku (Wahai Hati)






Hidup ini adalah ujian dan gurunya adalah rintangannya
Apabila aku berjaya mengharunginya banyak pula ujian mendatang


Aku menjawab kesemua ujian itu sepanjang hidupku tanpa mengetahui
markahnya atau ia terhenti di situ


Hatiku berkata : adakah ini jalan kejayaan
atau permainan hidup di bumi yang luas ini


Persoalan itu sentiasa berterusan dan menunggu
hikmah di setiap kesengsaraan


Sabarlah wahai hatiku, ketahuilah kau adalah hati
yang memiliki nafsu, ilmu dan pengetahuan


Jika engkau hendak bercinta engkau perlu (terlebih dahulu) menyintai
Tuhanmu pemilik segala rahmat


Engkau bergembira ketika datang kepadamu mawar
sehingga engkau terlupa setiap mawar itu berduri


Engkau khayal dalam kecantikannya sehingga terluka
apabila mencapainya dengan mata yang terlena (kerana terkena durinya)


Peliharalah nafsu itu sebelum nafsu itu menjaga engkau
kerana ia adalah sesuatu yang bergerak dan tidak tetap (sukar dikawal)


Janganlah risau tentang sesuatu
yang tidak engkau miliki dalam hidupmu


Sebaliknya bersyukur akan apa yang ada di sisimu
selagi mana ia masih ada dalam hidupmu yang gembira itu


Wahai hatiku kembalilah menjadi milikku
marilah bersamaku ktika suka dan duka






[]:-)=   Terjemah Hasbi Rabbi Ya Qalbi...24/10/2012/Bilik Seri Setia 6 PM. 



حسبي ربي يا قلبي




Monday, May 14, 2012

Berani Mencuba (Sempena Minggu Bahasa Arab UPM)


Alhamdulillah Minggu Bahasa Arab UPM 2012 melabuhkan tirainya dengan pelbagai aktiviti yang dijalankan. Banyak bakat-bakat terpendam berjaya dicungkil dan bakat yang sedia ada ditambah dan dimurnikan lagi dengan persaingan sihat dan bermutu.

Penulis selaku AJK merasa ia adalah fenomena yang tepat kerana Minggu Bahasa Arab ini adalah medan untuk pelajar mempersembahkan tahap kemahiran tersembunyi masing-masing dengan cara dan situasi terhandal. 


Pelajar dan kemahiran berbahasa memang tidak dapat dipisahkan. Jika dipisahkan, pincanglah ia ibarat memandu tanpa lesen, perhimpunan tanpa permit dan pemimpin tanpa pengikut. Pelajar yang berkemahiran berbahasa yang baik pula ibarat pemandu berhemah atau seperti perhimpunan yang barakah, serta pemimpin yang membawa pengikutnya takut kepada Allah.


Kemahiran adalah nilai tambah dalam CGPA. CGPA yang tinggi tidak bermakna seseorang itu bagus dan berkesan tanpa sijil dan penyertaan mereka dalam aktiviti luar kelas. Kita tidak mahu melahirkan pelajar fotostat yang boleh menghafal nota dan menulis kembali ketika peperiksaan. Kita mahu pelajar menguasai atau sekurang-kurangnya faham dan mampu berkolaborasi dengan ilmu itu.

Inilah yang dikatakan semangat berani mencuba. Dengan aktiviti yang pelbagai, pelajar boleh mencuba aktiviti apakah yang menjadi minat dan kepakaran masing-masing. Selagi mereka tidak mencuba, mereka tidak akan tahu kebolehan mereka. 


Teruskan mencuba kerana manusia ini ada banyak kelebihan. Kita tidak tahu kita mempunyai kemahiran yang bagaimana selagi tidak mencuba. 

Akhir kata, jangan takut untuk mencuba. Jika percubaan kita ini berjaya, kita akan menikmati hasilnya. Dan jika gagal, nikmatilah pembelajaran darinya.

Sekian, []:-)=

Pengarah berjiwa AJK...


 



Sunday, March 25, 2012

Minggu Bahasa Arab UPM 2012


Minggu Bahasa Arab : 7-11 mei.

Antara aktiviti : Debat Bahasa Arab, kuiz, esei, multimedia,
dialog, choral speaking

(Hadiah menarik menanti pemenang)





Friday, January 27, 2012

Pelajari bahasa lain namun bertutur bahasa yang lain


Salah satu masalah dalam mempelajari bahasa adalah kita belajar bahasa lain (A) tetapi bertutur dalam bahasa yang lain (Bahasa B). Sebagai contoh, kita mempelajari Bahasa Arab tetapi di rumah dan di jalanan kita bertutur dalam Bahasa Melayu. Apa yang dipelajari tidak selari dengan implimentasi.

Justeru, nama-nama objek dan kosa kata yang dihafal tidak mampu diguna dan diaplikasi menjadi ayat yang betul. Ini akan menjauhkan kita dari bahasa A yang dipelajari.

Bahasa adalah pengantara. Ia tidak dari daripada kita berkomunikasi dengan menggunakan bahasa yang dipelajar. Sama ada kita suka atau tidak, bahasa ini tetap akan hilang jika tidak diamalkan. Orang yang fasih berbahasa arab sekalipun jika duduk di pedalaman Sarawak, akan melupai Bahasa Arab ini sebaliknya mampu berbahasa Sarawak.

Inilah di antara keunikan Ilmu Allah yang Maha Luas. Sebagaimana kita belajar solat dan kita solat, begitu juga kita belajar bahasa dan mempraktikkannya. Ilmu ini akan menjadi lebih kuat dan kaya bahkan membuka cabang-cabang ilmu baharu.

Semakin kita mendalami ilmu ini semakin dirasakan ilmu ini semakin besar. Usaha ke atas ilmu dan pencarian inilah yang membuatkan kita sedar Ilmu Allah adalah terbesar dan tiada taranya. Setitis ilmu ini sudah membuatkan kita mencari hampir sepanjang usia.

( Maaf, artikel lari tajuk) []:-)=



Wednesday, January 25, 2012

Kesilapan Dalam Bahasa Arab

الطالب مجتهد

الطالب المجتهد

Soalan pertama, adalah ayat di atas membawa makna yang serupa? Jika ya, fikirkan jawapan anda sekali lagi. Jika tidak, apakah perbezaan kedua-dua ayat di atas?

Sudah tentu kita sedar dengan jelas bahawa beza kedua-dua ayat ini terletak pada huruf Alif dan Lam. Tetapi timbul pula kemusykilan lain iaitu apakah ia membawa perbezaan yang besar?

Jika dalam penulisan, sudah tentu ayat ini berbeza. Jika dalam percakapan, aspek nahu kurang diambil kira selagi mana ayat ini menyampaikan 80% maksud asal.

Dalam penulisan, masalah alif dan lam memberi pengaruh kepada beberapa aspek seperti ma'rifah (Kata nama khas), Khobar(Tidak dapat dijelaskan kerana tiada dalam Bahasa Melayu dan mana-mana bahasa), dan lain0lain lagi.

Dalam konteks ayat di atas, perbezaannya adalah seperti berikut:


الطالب مجتهد

Pelajar itu rajin.



الطالب المجتهد

Pelajar yang rajin itu

Contoh pertama adalah ayat yang lengkap manakala contoh kedua tergantung ayatnya. Ini menjadikan penambahan Alif dan Lam menjadikan perkataan 'Mujtahid' (Rajin) sebagai sifat kepada 'Tolib' (Pelajar) dalam contoh yang kedua.

Contoh pertama tanpa penambahan Alif dan Lam menjadikan perkataan 'Mujtahid' (Rajin) sebagai penjelasan dan pelengkap kepada 'Tolib' (Pelajar).

Selamat Beramal []:-)=



Keistimewaan Bahasa Arab (II)


Antara keistimewaan Bahasa Arab adalah terdapatnya perkataan yang membawa maksud yang pelbagai. Hanya dengan sati kalimah (Perkataan) ini, sekurang-kurangnya dia membawa tiga maksud bergantung kepada penggunaannya dalam konteks ayat.

Antara perkataan yang dimaksudkan adakah :

عَمَلِيَّة
'Amaliyyah

Makna 1 : Proses
Makna 2 : Operasi (Penggunaan dalam perkara berkaitan Polis)
Makna 3 : Pembedahan (Dalam bidang kedoktoran)

جُذُر
Juzur

Makna 1 : Kata asal atau dasar (Dalam konteks bahasa atau sintaksis dan morfologi)
Makna 2 : Akar pokok (Dalam bidang pertanian)
Makna 3 : Punca kuasa (Dalam ilmu matematik)

Banyak lagi contoh lain yang membawa maksud pelbagai. Antaranya adalah 'Ain (عين), Saat (ساعة) dan lain-lain lagi. Kepelbagaian ini membuktikan bahasa ini fleksibel dan luas. Jangan takut dan khuatir tidak dapat mempelajarinya kerana dia berbentuk bebas dan terbuka.

Selamat mencuba []:-)=




Bahasa Inggeris Bahasa Kafir?


"Kau dah pandai cakap bahasa kafir sekarang semenjak balik dari luar negara."

"Buat apa belajar bahasa inggeris? Bukankah itu bahasa kafir?"


Dua dialog ini biasa didengar oleh orang kampung atau orang tua di kalangan kita. Dialog ini berkait dengan Islam dan Kafir dalam sesuatu perkara. Namun, hakikatnya adakah Bahasa Inggeris Bahasa Kafir?

Soalan ini membawa penulis mengkaji dan mencari jawapan untuk menyelesaikan spekulasi dan pemikiran ini. Secara teknikal. tiada bahasa yang kafir. Yang ada hanyalah orang yang kafir apabila dia tidak memeluk agama Islam. Ia tidak berkaitan dengan bahasa yang digunakan.

Umat Islam terdapat di mana-mana di seluruh dunia dengan pelbagai kaum. Setiap kaum ini pula merujuk kepada bahasa yang berlainan. Salah satunya sudah tentu umat Islam di Amerika atau England yang bebrtutur dalam Bahasa Inggeris. Jadi, adakah mereka juga kafir jika menggunakan bahasa ini? Sudah tentu tidak.

Justeru, tidak ada bahasa yang kafir. Bahasa Inggeris juga boleh mengjadi penghubung kepada umat Islam di seluruh dunia selain Bahasa Arab. Jadi, pelajarilah bahasa agar kita tidak tersesat dan tertipu.

[]:-)=


Status Bahasa Arab Di Malaysia


Terdapat persoalan tentang status Bahasa Arab di Malaysia, adakah bahasa ini dipandang serius oleh masyarakat Islam? Adakah masyarakat ini meminati Bahasa Arab ini?

Bahasa Arab adalah bahasa asing. Ia lebih rendah daripada Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu. Keadaan dan kedudukan ini meletakkan Bahasa Arab tidak diberi keutamaan oleh dalam segala hal. Bermula dari tumpuan, fokus sehinggalah kepada peruntukan, kesemuanya serba kekurangan.

Justeru, adalah menjadi perjuangan kita untuk memperkenal dan memperkasakan Bahasa Arab ini kerana ini adalah bahasa kebanggaan umat Islam. Jika bahasa Melayu boleh menyatukan semua kaum di Malaysia ini, maka Bahasa Arab adalah bahasa yang boleh menyatukan umat Islam di seluruh dunia.

Doa dan salam dalam Bahasa Arab. Ibadah dan fardu lain juga dalam Bahasa Arab. Nescaya Bahasa Arab ini adalah wadah terbaik untuk menyatukan kita.

Pelajarilah Bahasa Arab ini kerana setiap hari kita menggunakannya. Solat, zikir, salam, niat, dan doa segalanya dalam Bahasa Arab. Pelajari dan hayati maksudnya semoga hidup dan ibadah kita lebih bermakna.

Salam Perjuangan..[]:-)=






Kesalahan Terjemahan Bahasa Melayu


Terjemahan memainkan peranan penting dalam memindahkan maklumat.

Jika terjemahan yang dilakukan adalah salah, maka maklumat yang dipindahkan juga adalah salah.

Perkataan 'Tabi'e" yang diterjemahkan kepada "Semulajadi" adakah ia membawa makna yang betul dan tepat? Semulajadi bermaksud terjadi sendiri tanpa apa-apa kuasa. Jika kita menyebut tentang alam semulajadi, adakah kita sedang menyatakan alam ini terjadi dengan sendiri?

Penulis bukanlah mengkritik atau mengatakan Bahasa Melayu teruk, kenyataan ini sekadar pertanyaan sejauhmanakan terjemahan itu tepat dan membawa makna asal.

Kesilapan terjemah akan membawa kepada kesilapan makna. Kesilapan makna kadang-kadang membawa kepada kesilapan dalam memahami sesuatu perkara. Bahkan lebih teruk daripada itu pembaca tersilap memahami sesuatu perkara yang berkaitan akidah.

Justeru, hati-hati dalam menterjemah.



Rahsia Mempelajari Bahasa


Empat kemahiran asas dalam mempelajari bahasa iaitu mendengar, bertutur, membaca dan menulis. Kemahiran mendengar dan membaca dipanggil input atau kita mendapat maklumat dan kemahiran. Kemahiran bertutur dan menulis pula diklasifikasikan sebagai penghasilan atau produk kita.

Bermula dengan menerima pelajaran kemudian mempraktikkan dengan cara bercakap dan menulis menjadikan ilmu dan perkataan yang diterima dapat kekal dalam satu jangka masa tertentu bergantung pada usaha.

Jika menemui satu perkataan baharu, hafal. fahami dan gunakan dalam perbualan seharian atau semasa latihan. Sebagai contoh, perkataan "kitab" atau buku sering digunakan dan didengari membuatkan kita mudah mengingati dan mempraktikkannya.

Sebaliknya, perkataan "Sulahfah" atau kura-kura, amat jarang didengar atau mungkin ini adalah pertama kali, jadi sudah tentu selepas ini kita akan melupainya jika tidak disusuli dengan aplikasi terhadap perkataan ini.

Justeru, bahasa adalah komunikasi. Jika tidak menggunakannya, ia akan hilang di bibir dan di minda kita.


Selamat mencuba....[]:-)=

P/s : Gambar sekadar hiasan...



Tuesday, January 24, 2012

Keunikan Bahasa Arab Bahasa Al-Quran


Bahasa Arab adalah Bahasa Al-Quran. Bahasa ini standart dan berseni yang teramat agung. Tidak ada siapa pun yang mampu melawan Bahasa Arab ini. Penyair-penyair agung Arab Jahiliyah menggantung puisi mereka dalam Kaabah sebagai tanda puisi itu adalah yang paling hebat. Namun, selepas kedatangan Al-Quran, kesemua mereka menanggalkan puisi mereka sebagai tanda menyerah kalah.

Salah satu keistimewaan Al-Quran dan Bahasa Arab adalah ketinggian bahasa. Bahasa ini mempunyai perkataan seerti seperti bahasa yang lain namun sebenarnya jika diteliti dengan mendalam, perkataan seerti ini sebenarnya mempunyai sedikit perbezaan di hujungnya.

Sebagai contoh, perkataan Falah (الفلاح) dan Najah (النجاح). Kedua-dua perkataan ini bermaksud kejayaan. Namun sebenarnya ada perbezaan iaitu kejayaan di had atau batasan yang mana.

Falah bermaksud kejayaan jangka masa panjang. Sebab itulah kita temui dalam Al-Quran dalam surah Al-Mukminun : قد أفلح المؤمنون

Kata kerja 'Aflaha' digunakan sebagai tanda orang mukmin ini berjaya dalam jangka masa yang panjang iaitu di dunia dan di akhirat

Begitu juga dengan laungan Azan yang berbunyi :

حي على الفلاح

Maksudnya : Marilah menuju kejayaan. Dengan kata yang lain, marilah menuju kejayaan di dunia dan di akhirat.

Bagi perkataan 'Najah' pula, bagi pelajar Bahasa Arab, kita sering temui perkataan ini dalam karangan, di hujung soalan peperiksaan, di mural sekolah dan sebagainya. Ia merujuk kejayaan jangka masa singkat iaitu peperiksaan.

Justeru, Bahasa Arab adalah bahasa istimewa. Kenali dan pelajarilah bahasa ini kerana ia akan membawa kita kepada keagungan Bahasa Al-Quran dan rahsia-rahsia yang lebih bermakna.

Selamat Beramal []:-)=




Saturday, January 21, 2012

Bahasa Arab di sekeliling kita

Anda sukar mempelajari Bahasa Arab? Terlalu banyak perkataan dan kosa kata yang perlu dihafal? Anda menghafal tetapi sukar mengaplikasikannya? Anda mengaplikasi tetapi salah dan berhenti?

Secara teknikal, persoalan di atas telah pun dijawab oleh perkara-perkara atau objek yang berada di sekeliling kita. Buka minda dan perhatikan sekeliling anda apakah objek dan perilaku yang berkaitan dengan Bahasa Arab ini.

Di sebelah anda terdapat buku atau kitab? Anda sedang duduk di atas kerusi? Anda melihat motto sekolah anda Ilmu, Iman dan Amal?

Ini semua adalah perkataan Bahasa Arab yang diterima ke dalam bahasa Melayu. Penggunaannya adalah sama dan membawa maksud yang serupa. Hampir seribu perkataan yang mempunyai sifat sebegini dan akan diterangkan dalam bab yang seterusnya.

Secara ringkas, perkataan seperti kitab (كتاب), Majlis (مجلس) dan Amal (عمل) banyak digunakan dalam bahasa Arab ini. Dengan mengingat unsur dan perkataan biasa dalam Bahasa Melayu ini membantu kita membina ayat dalam bahasa Arab dengan mudah dan ringkas.

Contoh ringkas adalah seperti berikut:

Buku mana yang anda mahu?
أي كتاب تريد؟

Majlis ini amat berfaedah
هذا المجلس مفيد

Apa yang awak lakukan?
ماذا تعمل؟

Justeru, Bahasa Arab berada di sekeliling kita. Nikmatilah ia kerana kita sememangnya telah mempelajarinya secara tidak langsung.


Friday, January 20, 2012

Kesilapan Dalam mempelajari Bahasa Arab


Bahasa Arab sama seperti bahasa-bahasa yang lain dari aspek mempelajarinya. Ia terdiri dari fonem, fonetik dan fonologi. Kita mengenal huruf demi huruf, cara bunyian dan sebutan serta gabungan huruf ini.

Gabungan ini kemudiannya mempunyai makna tertentu. Kalimat seperti "Kataba", hasil gabungan huruf Kaf, Ba' dan Ta' membawa makna menulis atau telah menulis. Penambahan beberapa perkataan lagi akan menjadikan ayat ini sempurna.

Namun, antara kesilapan yang sering dilakukan pelajar tidak kira usia adalah semasa berada di dewan peperiksaan atau ujian bulanan. Dalam subjek Insya' atau karangan, mereka akan dibekalkan dengan karangan dan ia perlu dihafal bulat-bulat. Hafalan ini hanya perlu ditulis kembali semasa peperiksaan ini.

Insya' adalah karangan, dan karangan adalah binaan dan menyusun ayat. Jika pelajar penulis kembali apa yang di hafal, itu adalah subjek hafazan. Pelajar ini diajar untuk menghafal bukannya membina. Kesannya, pelajar ini kemudiannya tidak mampu mencipta karangan tetapi bergantung kepada hasil hafalannya sama ada kena dengan soalan atau tidak.

Justeru, subjek insya' perlu diadaptasi dengan betul dan mereka perlu mengarang untuk mengetahui di mana mereka salah. Jika menghafal dari buku, sudah tentu ayat bahasa itu betul kerana penulis buku itu adalah seorang yang pakar. Tulislah, binalah dan karanglah seberapa banyak yang mungkin atas nama mencuba agar kita memiliki keterampilan dalam berbahasa.

Gambar : Aktiviti Ar-Rabi' Fil Jami'ah 2011 (Bac Bahasa Arab UPM)


Arab VS Melayu


Sedikit perkongsian tentang orang Arab dengan orang Melayu. Ada satu perkara utama yang membezakan dua bangsa ini iaitu gaya percakapan.

Orang Arab lebih lantang bersuara dan tidak menyembunyikan perasaan. Jika terjadi kemalangan kecil atau berebut parkir, mereka akan terus berkelahi. Setelah penat, mereka berbaik semula seperti sahabat yang sudah lama tidak berjumpa.

Begitu juga dengan ucapan terima kasih. Mereka lebih kerap berterima kasih sedangkan orang melayu agak pemalu dengan ucapan ini. Kita sukar berterima kasih seolah-olah lafaz ini terlalu berat dan mahal untuk diungkapkan.

Orang Arab juga suka bercakap. Entah apa yang mereka utarakan dan bicarakan, mereka sahaja yang tahu. Orang Melayu agak pendiam tetapi dibuktikan dengan perbuatan. Kita banyak bekerja daripada bercakap. Orang Arab pula bercakap tetapi kadangkala mereka tidak melakukan apa yang mereka bicarakan.

Justeru, perbezaan ini adalah untuk kita saling menghormati dan kenal sesama manusia. Indahnya manusia mengingatkan kita kepada Kesempurnaan Yang Maha Mencipta.




Template by:
Free Blog Templates