Dan orang-orang yang bijaksana itu sentiasa mengambil peluang bukannya sekadar menunggu...

Friday, September 7, 2012

Indahnya Hidup Ini


Sebuah kereta kebal dibuat untuk berada di tengah medan perang dan bukan hanya bergerak bangga melintasi perbarisan dan pameran


Jemari itu gunanya untuk tasbih dan amal bukannya diletakkan perhiasan yang mengganggu mata yang lena 

Demikian juga manusia diciptakan untuk berjuang dan terus hidup, bukannya menunggu nafas ini terhenti

Ia tidak lari dari merentasi rintangan dan onak duri kerana kesakitan itu akan membuatkan manusia sedar jiwa mereka masih hidup


Teruskan melangkah dan selamat menikmati perjalanan hingga sampai ke tujuan.

Apabila kita tersalah atau tersadung, itu adalah ijazah yang diperoleh sebagai tanda berjaya mengharungi satu ujian

Jangan takut kesalahan, tetapi jangan ulangi kesalahan yang sama. Ada kebaikan dalam kesalahan dan jangan sesalinya kecuali hati manusia itu telah mati

Langit yang gelap itu tidak semestinya mendung, dan mendung itu tidak semestinya hujan. 
Dan ingatlah hujan itu tidak semestinya menghalang dan sukar sebaliknya rezeki dari Ilahi yang gagal dibaca oleh hati manusia yang tertidur

Dan andai engkau ditimpa hujan itu ketahuilah ia hanya air yang membasahi dan bukannya api yang membakar
Teruskan melangkah dan berpaling ke belakang untuk memastikan anda terus melangkah

Genggam KEYAKINAN dalam HATI, jangan pernah dilepaskan genggaman itu
Ketahuilah indahnya hidup ini bukanlah dengan banyaknya kesenangan
Tetapi ingatlah hidup ini akan indah jika kita banyak melafazkan Syukur


Wednesday, September 5, 2012

Jawapan di Setiap Doa

 
 
Dingin malam ini mengundang persoalan
Menanti jawapan dengan doa yang beruntaian
Dingin ini tidak menjanjikan hujan
Hanya menyentuh tabir kenangan
Menghitung dosa dan amalan
Antara perjuangan dalam kehidupan

Sepasang tangan mendongak ke langit
Dan sepasang mata menunduk ke bumi 
Ketulusan hati sebagai bekalan
Bisikan ini yang penuh pengharapan
Tiada sempadan dan garis dapat memisahkan
Antara doa dan jawapanNya itu

Tangan ini masih menadah ke langit
Lama mana manusia berada di dunia ini
Tiada gunanya jika biarkan malam ini berlalu
Kerana waktu ini pasti akan berlalu
Hanya tinggal doa yang tiada awal dan akhir

Satu jawapan yang masih belum terima
Adakah doa ini gugur di pertengahan
Atau ia langsung tidak kedengaran
Gelap ini masih berlalu bersama kesepian
Sunyi daripada sebarang jawapan

Ketahuilah dingin ini akan berlalu
Akan ada sinar di ufuk timur
Gelas malam ini pasti akan berlalu
Dan hari yang baru akan menjelma
Menyedarkan dari lamunanku
Agar mencari jawapan dalam cahaya itu

Tuesday, September 4, 2012

SiNaR

 
 
Ada sinar yang menyuluh hidup ke arah haluannya
Manusia sering bertanya ke mana tuju arah sinar itu
Di sanakah tempat mereka di dunia ini
Atau terletak dalam selera hati mereka
Keruan ini memberikan hidup ini lebih makna
 
Ingin sesekali mengenal hidup dan perjuangan 
dan menyuburkan rasa cinta pada cabaran
agar dunia jadi saksi kepada liku-liku yang diharungi
adalah bukti bahawa manusia itu telah diuji
dengan hati yang berdarah dan jasad yang parah
 
Agar kita berani mengemudi
ke mana sahaja arah yang ditujui
Kerana bila guruh bergetar
dan bumi pun bergegar
sinar itu akan terpadam
namun kita tetap teguh berdiri
sebagai lambang perjuangan sejati
 
Kita tidak akan herhenti di situ
Sebagai saksi kepada kehidupan yang berlalu
Kerana waktu tetap berjalan walau terhenti langkah
cabaran silih berganti walau manusia sering terngadah
dan arah tuju manusia akan menjadi satu cerita lagenda 
 
manusia itu terperangkap antara dua
antara ciptaan terbaik atau makhuk yang mudah lupa
tetaplah berada pada arah yang benar
agar tiba di hujung sinar itu
yang menjanjikan seribu kejayaan kepada mereka yang tabah
dan sabar dalam mengharungi dugaan

Monday, September 3, 2012

Gelas Separuh Kosong





 Kita minum air setiap hari untuk kesihatan, keberkatan, tenaga dan meneruskan kehidupan sebagai ibadah di sisiNya. Ajaibnya ciptaan Ilahi, dengan air yang berada dalam tubuh kita hampir 70 peratus, apabila badan terluka, darah yang mengalir keluar. Ini adalah salah satu kebijaksanaan Allah S.W.T. 

Air sering diletakkan di dalam gelas untuk diminum. Jika kosong, bermakna air di dalam gelas itu sudah selesai di minum oleh sesiapa sahaja yang berada di situ. Namun, timbul satu persoalan tentang satu perkara yang manusia boleh melihatnya dari aspek pemikiran.

Bagaimana jika gelas itu mempunyai setengah air sahaja di dalamnya? Bagaimana kita mahu menyebutnya? Adakah gelas itu separuh penuh atau gelas itu separuh kosong?

Kita menganggap soalan ini adalah soalan yang biasa sahaja. Namun, kesan soalan ini membawa kepada makna dan pemahaman yang agak tinggi iaitu pembentukan pemikiran. Gambaran gelas dengan air yang setengah di dalamnya. 



Jika seseorang itu berkata, "Gelas ini separuh kosong." bermakna dia mempunyai pemikiran yang pesimis. Separuh kosong adalah dia melihat tiada separuh lagi air di dalamnya iaitu menggambarkan pemikir atau orang yang berkata itu melihat dari pandangan negatif atau perkara yang masih belum sempurna. Dengan makna yang lain, dia tidak melihat akan air yang ada di dalam gelas itu sebaliknya melihat kekosongan yang terdapat di bahagian atas gelas.

Sebaliknya jika dia berkata, "Gelas ini separuh penuh." bermakna seseorang itu melihat sesuatu perkara dari pandangan yang optimis. Separuh penuh melambangkan separuh daripada gelas itu sudah berjaya dipenuhi air atau dalam kata yang mudah, separuh daripada usaha kita telah berhasil. Hanya tinggal separuh lagi yang perlu diusahakan. Ini adalah pandangan mata yang positif.

Justeru, tetapkanlah diri dengan pemikiran 'Gelas Separuh Penuh' agar kita dapat melihat sesuatu perkara itu dengan optimis dan positif.


Selamat beramal []:-)=


















Template by:
Free Blog Templates