Aku bertanya kepada pokok
Mengapa kau memberi buah yang enak
Kepada manusia yang membaling kau dengan batu
Lantas dia menjawab telus
Jika aku memberi mereka batu
Aku dan mereka tiada bezanya
Aku bertanya lagi kepada sang pokok
Apa yang ada di balik hijab ini
Lantas dia menjawab
Taman Syurga yang indah sudah dijanjikan
Jiwa yang mula bercahaya meminggirkan kegelapan
Membezakan manusia yang buta mata atau buta hati
Aku bertanya lagi kepada pokok
Bilakah kau akan dijulang oleh manusia ini
Lantas kau menjawab
Aku dan manusia tiada bezanya
Hakikat kehidupan ini tiada satu pun milik kita
Bila aku sudah mati, mereka pasti menjulangku
Untuk membawa aku ke tempat asalku
Aku bertanya lagi kepada pokok
Mengapa keyakinan kau bergoyang
Adalah angin yang menggoncang
Atau burung yang menumpang.
Tetaplah kau berdiri teguh dan berani
Kerana selepas badai taufan menjelma
Episod ini akan menjadi ingatan
Dan hari baru kembali bermula
0 comments:
Post a Comment