Pagi ini suasana suram kerana ketiadaan air di rumah. Hanya titisan-titisan air kecil sahaja yang keluar dari mulut paip dapur. Sukar untuk memasak dan membasuh pinggan. Hari Jumaat pula kaum ibu agak tergesa-gesa kerana menyediakan hidangan untuk suami dan anak-anak sebelum atau selepas Solat Jumaat.
Air masih menitik perlahan di pili. Ibu menyuruhku menadah menggunakan botol 1.5 liter. Aku menurut perintah. Dalam hati terdetik adakah mungkin beberapa botol kosong ini dapat dipenuhi hanya dengan titisan air yang bakal terhenti bila-bila masa.
Saat berganti saat dan titisan demi titisan, botol 1.5 ml yang pertama penuh. Ajaibnya hanya dengan titisan air sahaja botol itu mampu diisi penuh.
Botol kedua pula diganti dan hampir sejam berlalu botol ini juga diisi penuh. Botol yang ketiga pula diletakkan dan setelah hampir penuh, titisan ini berhenti.
Benarlah kata orang, air yang menitis boleh menghakis batu yang kuat kerana titisan yang lembut itu jika berulang-kali ia mampu mengalahkan kekuatan batu.
Air yang menitis juga, walaupun amat sedikit, tetapi jika menitis dengan berterusan mampu memenuhkan botol atau baldi. Sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit. Sehari selembar benang, lama-lama jadi kain. Sehari sepotong ayat, lama-lama jadi buku.
Selamat belajar daripada alam.
[]:-)=
0 comments:
Post a Comment