Dan orang-orang yang bijaksana itu sentiasa mengambil peluang bukannya sekadar menunggu...

Thursday, July 26, 2012

Penakulan Seorang Pakcik


Malam pertama Ramadhan, saya kembali ke kampung halaman untuk menyambut Ramadhan bersama keluarga. Isyak hampir menjelma dan saya menuju ke masjid untuk berjemaah dan memulakan terawih pertama. Kereta amat banyak.

"Aduh, rugi pula rasanya bawa kereta malam ini! Susahnya mencari parking."bisik hatiku sendirian. Setelah beberapa ketika akhirnya berjaya meletakkan kereta di hadapan kanopi khas untuk moreh atau berbuka.

"Assalamualaikum, Pakcik." salam diberi kepada seorang pakcik yang amat dikenali.

"Waalaikumsalam." spontan dia menjawab salam.

"Banyak betul kereta malam ini. Susah saya mahu mencari parking."

"Jangan risau. Bawa sahaja motor. Malam ke-15 baru bawa kereta."

Ringkas pakcik itu menjawab. Seolah-olah dia sudah mengetahui apa yang bakal berlaku. Namun, itu bukanlah ilmu ramai atau nujum yang tahu akan apa yang akan berlaku. Sebaliknya itu adalah penakulannya yang berdasarkan pengalaman-pengalaman lalu.

Adakah peristiwa ini akan berulang kembali? Masjid akan penuh pada permulaan Ramadhan yang membawa rahmat tetapi berkurangan pada pertengahannya. Harap agar tahun ini tidak berlaku sebagaimana tahun-tahun sebelumnya. Inilah kuasa iman dan istiqamah. Bulan ini adalah bulan mulia, bulan cinta. Buktikan kecintaan dan iman kita dalam mengabdikan diri kepadaNya.

Selamat beramal []:-)=


Bulan Cinta

Bulan ini bulan cinta
Permulaannya adalah rahmat
Bagi jiwa-jiwa yang bersinar cinta itu
Malam yang membawa rindu untuk berbicara
Dengan pemilik cinta itu
Dan siang yang menjelma dengan seribu satu ranjau
Yang sering menduga iman


Bulan ini bulan cinta
Hanya waktu yang mampu memisahkan kita
Kemudian bertemu kembali setelah sampai satu masa
Aku tidak tahu apakah aku akan tiba pada waktu itu
Kerana nafasku bukanlah aturanku
Dan mungkin ini adalah bulan cinta terakhirku


Pada bulan cinta ini
Kita satukan bina jalan kedamaian
Kita alirkan air mata untuk membasuh dosa
Agar api yang menyala itu terpadam
Dan menyuburkan taman-taman syurga
Sebagai destinasi bagi pemilik cinta ini


Pada bulan cinta ini
Janganlah bertuhankan cinta dunia
Agungkan manusia yang tidak pernah kenal erti setia
Bawalah cinta itu untuk satu pengabdian
Kerana setelah bulan ini berlalu
Rahmat dan ketenangannya juga dibawa bersama
Yang tinggal hanya cinta yang setulus jiwa


Dan tetaplah dengan cinta ini
Cinta yang telah bersemi sepanjang bulan
Dengan amal dan harapan
Walaupun bulan ini tiada lagi bersamaku
Tapi hati ini telah dibawa pergi
Doa pun bersemi agar bertemu kembali
Dan cinta pun bermula


Wednesday, July 18, 2012

Sehebat-hebat Manusia (Versi baru)


Sehebat-hebat Manusia


Sehebat mana manusia itu
 dia tetap mempunyai 24 jam dalam satu putaran siang dan malamnya.
dia akan membiarkan masa lalunya lenyap dan memelihara masa kini 

agar masa hadapannya terpelihara 


Sehebat mana manusia itu, 
dia juga perlu tidur, rehat, 
berlapang-lapang dan bersenang menghilangkan kegusaran.
Apabila hilang lelahnya itu nescaya bangunlah tangannya mencapai cita

 
 Sehebat mana manusia itu
 dia tetap memiliki dua tangan dan tulang empat kerat untuk melakukan kerja seharian.
Majikannya adalah kuasa minda dan positif adalah pekerjanya
Dia membina potensi diri agar mampu berdiri sama tinggi dengan matlamatnya
Dan hidupnya menjadi bernilai kerana manusia itu semahal matlamatnya


Dengan bangunan yang semakin tinggi dan jalan yang semakin berserabut, 
dia merentas lorong-lorong sufi
Jalan itu adalah yang tidak dilalui namun dihadapinya dengan cekal
Hanya mereka yang tabah dapat menempuh jalan berliku
Kerana di hujungnya ada destinasi yang diimpikan
Dia bersungguh melawan nafsu agar dapat mencapai apa yang dihajatkan


Di matanya matlamat yang menyala dan memberi sinaran itu pada setiap musuhnya
Dia melipat gandakan usaha sepanjang hari agar memperoleh hasil yang memuaskan
Apabila mereka mula menyuburkan hasad, dia segera mengurangkan kebencian
Tatkala orang lain sibuk melakukan hal-hal yang besar, 
dia memutar waktunya melakukan hal-hal yang baik


Sehebat mana manusia itu
 dia tetap akan melakukan kesalahan kerana tiada manusia yang sempurna.
Tetapi dia tidak menyalahkan orang lain atas kesalahannya sendiri
Dia sibuk memperbaiki diri sedangkan orang sekitarnya sibuk memperbaiki orang yang lain.
Hatinya penuh keazaman dan kosong mindanya ketika beralasan
Ketika pemuda lain sibuk dengan angan dan cinta, dia memecahkan atom prasangka


Sehebat mana manusia itu
 dia tetap memakai baju dengan menyarung dari atas ke bawah kecuali baju khas seperti angkasawan atau uniform seragam serta kemeja.
Pakaiannya adalah taqwa yang menyelamatkannya dari leka sedangkan ia hanya satu retorik bagi pandangan mata yang alpa
Sehebat mana manusia itu, dia pasti dan wajib memakai seluar dengan memasukkan satu kaki untuk sebelah kaki seluar dalam satu masa. Kemudian barulah diikuti dengan kakinya yang lagi satu.


Sehebat mana pun manusia itu, 
dia tetap sama seperti kita.
Kita berkongsi makanan dan udara tetapi berlainan hasilnya.
Bumi kita adalah sama namun kita berada di dunia yang berbeza
Dalam tekanan yang naik dan turun serta iman yang bertambah dan berkurang, kita masih sama dengannya.
Dan hidupnya seperti manusia lain kerana dia adalah manusia biasa.
Kecuali satu perkara yang ada pada manusia yang hebat ini, : 
Usaha yang luar biasa.




Template by:
Free Blog Templates