Dan orang-orang yang bijaksana itu sentiasa mengambil peluang bukannya sekadar menunggu...

Monday, January 7, 2013

Jalan Yang Tidak Dilalui (2)


Apa pilihan yang manusia ada
Ketika jalan tiba di bukit,
Sama ada turun dengan laju atau naik dengan kesusahan
Masuk ke dalam gua yang gelita atau tunggu gua itu membuka jalan
Menang dalam kesusahan atau tunggu kemenangan datang dalam angan


Terlepas dari mulut singa masuk pula ke mulut buaya
Pepatah ini mengatakan hidup adalah ujian
Dan apabila selesai satu ujian datang pula ujian yang lain
Manusia tidak akan boleh menang melainkan dengan sabar dan berani
Sabar dengan iman dan kesemuanya akan menjadi senang
Berani dengan rasa takut tetapi masih bersenjatakan doa yang tajam


Risau ada wajah yang dikenali ketika menghampiri penamat
Adakah itu seteru atau musuh dalam buku
Wajah itu tersenyum dengan senyuman yang menggoda
Namun ingatlah bahawa hati manusia ini berbeza
Sama ada ia merah yang membakar atau putih dan bersinar


Mara dengan doa dan harapan
Harungi jalan ini kerana di hadapannya ada musim bunga
Tiba ke destinasi dan nikmati keindahannya
Kerana setelah perjalanan yang penuh sengsara, keindahan menanti.
Sesungguhnya bersama-sama dengan kesusahan itu adalah kesenangan


Jalan Yang Tidak Dilalui




Resah ini tidak pernah hilang
Selagi perjalanan ini masih belum sempurna
Gerakkan hatiku untuk memandang cahaya itu
Kerana hujungnya ada sesuatu yang bersinar di hati


Apabila peta jalanan ini hilang
Jalan ku sumbing dan tenggelam
Tanpa suara sumbang yang mencela
Aku tetap tidak melangkah dan ternganga


Lidahku menjadi kaku sekaku langkahku
Ia belum berakhir selagi langkah ini belum bermula
Ku berhadapan dengan jalan yang gelita
Sedang di hatiku tersemat impian yang menyala


Kulangkahkan kaki menuju haluan
Sedang tiada musuh atau sekutu di jalan ini
Dua baris keramat sentiasa meniti di bibir
Jalan ini jalan yang tidak dilalui
Hanya yang tabah dan sabar akan menempuh kejayaan
Sunyi yang membayangi gelita ini
Mengundang gerimis di hati
Memadam rindu pada hujung jalan
Menjadikan hala dan azam lebur di pertengahan 


Namun sentiasa sematkan dalam diri
Perkara yang terbaik bukanlah tiba di hujungnya dengan jaya
Tetapi ia datangnya dari jalan yang berliku
Dari pengalaman kita bersabar dan berani
Dari kita membenci sesuatu yang baik untuk diri





Pedulikanlah mereka yang berkata ‘tidak’
Pekakkan telinga biar suara merdu itu memujuk
Halang ia dari menjadi sebahagian dari diri itu
Kerana kalimah itu datangnya dari orang yang sentiasa berkata ‘tidak’




Jalan berliku ku harungi dengan tenang
Tanpa sesalan dan tanpa
Makin jauh perjalanan makin dekat dengan harapan
Luas pandangan ini terasa sebuah pengorbanan
Jalan ini tidak sempurna seperti dirancang
Seolah-olah merancang gagal kerana gagal dalam merancang


Sunday, December 9, 2012

Zon Selesa Harimau Malaya



Selamanya..... Selamanya.... 
Selamanya..... Harimau Malaya!

Begitulah laungan lagu yang dinyanyikan di Stadium Bukit Jalil ketika Malaysia bertemu Thailand. Ramai yang menjangka kita mampu menjinakkan Thailand namun keputusan seri pula yang dicatat.

Penulis tidak mahu menyentuh soal pemain mahupun jurulatih, tetapi sekadar berkongsi satu paparan daripada pengarang buku The Success Principles iaitu Jack Canfield. Ia berkaitan Zon Selesa dan faktornya dalam mempengaruhi minda seseorang.

Zon selesa yang dimaksudkan adalah kawalan minda manusia apabila berada di satu tempat atau situasi, ia akan berfungsi untuk menyatakan tempat atau keadaan ini mencemaskan ataupun sebaliknya. Contoh mudah, apabila si miskin berada di The Mines, Petronas Twin Tower atau Bukit Bintang, Zon selesa mereka akan berfungsi menyatakan ini bukannya tempat mereka.

Dalam perlawanan tempoh hari juga, penulis menyaksikan perayaan gol jaringan Shahrul Idlan yang akan keterlaluan sehingga keluar dari padang menuju penonton. Ini diikuti oleh rakannya yang lain akibat terlalu gembira dengan jaringan. 

Secara teorinya, Zon Selesa ini turut berperanan atau terkesan dengan tindakan yang dilakukan. Zon selesa beberapa pemain telah meningkat dan menjadikan mereka berpuas hati dengan gol dan situasi tersebut. Akibatnya, mereka hanya bertahan dan mengharapkan keputusan itu kekal untuk dibawa ketika aksi timbal balik minggu hadapan.

Justeru, buat pemain dan peminat, kenali dan awasi zon selesa anda agar tidak cepat berpuas hati dan terlalu gembira dalam perjuangan. Pastikan zon selesa anda berada di tahap rendah agar sentiasa berada dalam keadaan kecemasan dan bingkas memperbetulkan situasi bahaya itu. 

Ikhlas : Peminat Selamanya Harimau Malaya.

 

Monday, November 19, 2012

Darah dan Air Mata Palestin

 
 

Malam ini aku adalah pejuang, sejak mereka (Israel) memulakan serangan yang dahsyat.

Tiada bantuan sedangkan seluruh alam mengetahui perkhabaran ini

Ini bukanlah lagu tangisan atau rintihan dan ratapan dalam puisi.

Bahkan adalah kerinduan pada tentera Allah yang hadir bersama pertolongan (Nya)

Tidak sesekali aku tinggalkan bumi di mana tempat bermula perjalananku (hidupku).

Di sinilah cinta yang tidak tercapai oleh manusia, lebih tinggi dari langit dan bulan.

Aku harus memenangi pertempuran ini, sebelum pertempuran ini memadamkan masaku (menemukan ajalku)

Malah engkau tersenyum dan tertawa ketika berita ini kedengaran tentang apa yang berlaku di mata manusia.

Engkau masih mendiamkan diri di rumah yang selesa dan engkau menciptakan musuh dalam dirimu sendiri secara rahsia.

Aku kasihan akan engkau kerana tidak ada kerisauan tentang saudara engkau di waktu malam dan pagi.

Jika engkau berada di belakang tirai (peperangan ini) engkau akan lihat kami berlumuran darah dan air mata seperti hujan.

Wahai sahabatku inilah perjuangan kita, ingatlah bahawa kita adalah muslimin dengan kekuatan dan kesabaran.

Mungkin kita dari dua dunia yang berbeza namun ketahuilah bahawa agama kita adalah agama Yang Maha Perkasa.
 
 
 

Thursday, November 1, 2012

Hati, Akal & Nafsu

 


Semasa pembentangan kertas kerja di KUISAS, Perak, penulis ditanya tentang salah satu puisi Imam As-Syafie yang berbunyi:



Ilmuku sentiasa bersamaku.Ia amat bermanfaat bagiku bila diamalkan. Hatiku adalah gedung ilmu, dan bukan perut yang menampungnya.
Ketika aku berada di rumah, ilmuku berada di sana. Dan ketika aku pergi ke pasar, ilmuku selalu mengikutiku ke mana jua aku pergi.


Soalan daripada salah seorang peserta itu pula mengatakan bahawa akal atau otak yang memainkan peranan sebagai penggerak dan berfikir secara kognitif, bukannya di hati. Justeru, mengapa Imam Al-Syafie mengatakan Hati adalah segala-galanya?





 Hal ini kerana (pada pandangan dan kajian penulis) unsur hati ini adalah lambang yang terbaik untuk menggambarkan penggunaan kuasa dan kepimpinan seseorang. Hati adalah raja bagi sekujur tubuh dan rakyatnya adalah anggota badan yang lain. Apabila raja ini rosak dan fasik, maka sudah pastilah rakyatnya akan melakukan perkara yang sama atau ditimpa musibah. Namun, jika raja ini berilmu dan terpimpin, sudah pasti negara akan maju dan makmur.

Ini bertepatan dengan Hadith Rasulullah S.A.W. yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang bermaksud, “Sesungguhnya dalam jasad anak Adam itu ada seketul daging, jika ianya baik nescaya baiklah anggota tubuhnya dan jika jahat, nescaya jahatlah seluruh anggota tubuhnya.Ketahuilah itu adalah Qalb (Hati).”
 
Hati yang mengawal segala perbuatan. Akal membekalkan ilmu dan maklumat tentang kesan dan akibat sesuatu perbuatan. Nafsu pula pada kebiasaan orang sederhana, ia mempengaruhi ke arah kejahatan, walaupun nafsu juga boleh digunakan ke arah yang baik dan gemilang.

Justeru, dengan ilmu dari akal dan hasitan nafsu, HATI yang akan membuat keputusan sama ada mahu memilih yang baik atau buruk. Hati adalah pusat dan segala-galanya bagi manusia. Jagalah hati dengan baik kerana ia adalah tempat yang suci dan jangan kotorinya dengan dosa.


[]:-)=

 

Wednesday, October 24, 2012

Cukuplah Allah itu bagiku (Wahai Hati)






Hidup ini adalah ujian dan gurunya adalah rintangannya
Apabila aku berjaya mengharunginya banyak pula ujian mendatang


Aku menjawab kesemua ujian itu sepanjang hidupku tanpa mengetahui
markahnya atau ia terhenti di situ


Hatiku berkata : adakah ini jalan kejayaan
atau permainan hidup di bumi yang luas ini


Persoalan itu sentiasa berterusan dan menunggu
hikmah di setiap kesengsaraan


Sabarlah wahai hatiku, ketahuilah kau adalah hati
yang memiliki nafsu, ilmu dan pengetahuan


Jika engkau hendak bercinta engkau perlu (terlebih dahulu) menyintai
Tuhanmu pemilik segala rahmat


Engkau bergembira ketika datang kepadamu mawar
sehingga engkau terlupa setiap mawar itu berduri


Engkau khayal dalam kecantikannya sehingga terluka
apabila mencapainya dengan mata yang terlena (kerana terkena durinya)


Peliharalah nafsu itu sebelum nafsu itu menjaga engkau
kerana ia adalah sesuatu yang bergerak dan tidak tetap (sukar dikawal)


Janganlah risau tentang sesuatu
yang tidak engkau miliki dalam hidupmu


Sebaliknya bersyukur akan apa yang ada di sisimu
selagi mana ia masih ada dalam hidupmu yang gembira itu


Wahai hatiku kembalilah menjadi milikku
marilah bersamaku ktika suka dan duka






[]:-)=   Terjemah Hasbi Rabbi Ya Qalbi...24/10/2012/Bilik Seri Setia 6 PM. 



حسبي ربي يا قلبي




Friday, September 7, 2012

Indahnya Hidup Ini


Sebuah kereta kebal dibuat untuk berada di tengah medan perang dan bukan hanya bergerak bangga melintasi perbarisan dan pameran


Jemari itu gunanya untuk tasbih dan amal bukannya diletakkan perhiasan yang mengganggu mata yang lena 

Demikian juga manusia diciptakan untuk berjuang dan terus hidup, bukannya menunggu nafas ini terhenti

Ia tidak lari dari merentasi rintangan dan onak duri kerana kesakitan itu akan membuatkan manusia sedar jiwa mereka masih hidup


Teruskan melangkah dan selamat menikmati perjalanan hingga sampai ke tujuan.

Apabila kita tersalah atau tersadung, itu adalah ijazah yang diperoleh sebagai tanda berjaya mengharungi satu ujian

Jangan takut kesalahan, tetapi jangan ulangi kesalahan yang sama. Ada kebaikan dalam kesalahan dan jangan sesalinya kecuali hati manusia itu telah mati

Langit yang gelap itu tidak semestinya mendung, dan mendung itu tidak semestinya hujan. 
Dan ingatlah hujan itu tidak semestinya menghalang dan sukar sebaliknya rezeki dari Ilahi yang gagal dibaca oleh hati manusia yang tertidur

Dan andai engkau ditimpa hujan itu ketahuilah ia hanya air yang membasahi dan bukannya api yang membakar
Teruskan melangkah dan berpaling ke belakang untuk memastikan anda terus melangkah

Genggam KEYAKINAN dalam HATI, jangan pernah dilepaskan genggaman itu
Ketahuilah indahnya hidup ini bukanlah dengan banyaknya kesenangan
Tetapi ingatlah hidup ini akan indah jika kita banyak melafazkan Syukur


Wednesday, September 5, 2012

Jawapan di Setiap Doa

 
 
Dingin malam ini mengundang persoalan
Menanti jawapan dengan doa yang beruntaian
Dingin ini tidak menjanjikan hujan
Hanya menyentuh tabir kenangan
Menghitung dosa dan amalan
Antara perjuangan dalam kehidupan

Sepasang tangan mendongak ke langit
Dan sepasang mata menunduk ke bumi 
Ketulusan hati sebagai bekalan
Bisikan ini yang penuh pengharapan
Tiada sempadan dan garis dapat memisahkan
Antara doa dan jawapanNya itu

Tangan ini masih menadah ke langit
Lama mana manusia berada di dunia ini
Tiada gunanya jika biarkan malam ini berlalu
Kerana waktu ini pasti akan berlalu
Hanya tinggal doa yang tiada awal dan akhir

Satu jawapan yang masih belum terima
Adakah doa ini gugur di pertengahan
Atau ia langsung tidak kedengaran
Gelap ini masih berlalu bersama kesepian
Sunyi daripada sebarang jawapan

Ketahuilah dingin ini akan berlalu
Akan ada sinar di ufuk timur
Gelas malam ini pasti akan berlalu
Dan hari yang baru akan menjelma
Menyedarkan dari lamunanku
Agar mencari jawapan dalam cahaya itu

Tuesday, September 4, 2012

SiNaR

 
 
Ada sinar yang menyuluh hidup ke arah haluannya
Manusia sering bertanya ke mana tuju arah sinar itu
Di sanakah tempat mereka di dunia ini
Atau terletak dalam selera hati mereka
Keruan ini memberikan hidup ini lebih makna
 
Ingin sesekali mengenal hidup dan perjuangan 
dan menyuburkan rasa cinta pada cabaran
agar dunia jadi saksi kepada liku-liku yang diharungi
adalah bukti bahawa manusia itu telah diuji
dengan hati yang berdarah dan jasad yang parah
 
Agar kita berani mengemudi
ke mana sahaja arah yang ditujui
Kerana bila guruh bergetar
dan bumi pun bergegar
sinar itu akan terpadam
namun kita tetap teguh berdiri
sebagai lambang perjuangan sejati
 
Kita tidak akan herhenti di situ
Sebagai saksi kepada kehidupan yang berlalu
Kerana waktu tetap berjalan walau terhenti langkah
cabaran silih berganti walau manusia sering terngadah
dan arah tuju manusia akan menjadi satu cerita lagenda 
 
manusia itu terperangkap antara dua
antara ciptaan terbaik atau makhuk yang mudah lupa
tetaplah berada pada arah yang benar
agar tiba di hujung sinar itu
yang menjanjikan seribu kejayaan kepada mereka yang tabah
dan sabar dalam mengharungi dugaan

Monday, September 3, 2012

Gelas Separuh Kosong





 Kita minum air setiap hari untuk kesihatan, keberkatan, tenaga dan meneruskan kehidupan sebagai ibadah di sisiNya. Ajaibnya ciptaan Ilahi, dengan air yang berada dalam tubuh kita hampir 70 peratus, apabila badan terluka, darah yang mengalir keluar. Ini adalah salah satu kebijaksanaan Allah S.W.T. 

Air sering diletakkan di dalam gelas untuk diminum. Jika kosong, bermakna air di dalam gelas itu sudah selesai di minum oleh sesiapa sahaja yang berada di situ. Namun, timbul satu persoalan tentang satu perkara yang manusia boleh melihatnya dari aspek pemikiran.

Bagaimana jika gelas itu mempunyai setengah air sahaja di dalamnya? Bagaimana kita mahu menyebutnya? Adakah gelas itu separuh penuh atau gelas itu separuh kosong?

Kita menganggap soalan ini adalah soalan yang biasa sahaja. Namun, kesan soalan ini membawa kepada makna dan pemahaman yang agak tinggi iaitu pembentukan pemikiran. Gambaran gelas dengan air yang setengah di dalamnya. 



Jika seseorang itu berkata, "Gelas ini separuh kosong." bermakna dia mempunyai pemikiran yang pesimis. Separuh kosong adalah dia melihat tiada separuh lagi air di dalamnya iaitu menggambarkan pemikir atau orang yang berkata itu melihat dari pandangan negatif atau perkara yang masih belum sempurna. Dengan makna yang lain, dia tidak melihat akan air yang ada di dalam gelas itu sebaliknya melihat kekosongan yang terdapat di bahagian atas gelas.

Sebaliknya jika dia berkata, "Gelas ini separuh penuh." bermakna seseorang itu melihat sesuatu perkara dari pandangan yang optimis. Separuh penuh melambangkan separuh daripada gelas itu sudah berjaya dipenuhi air atau dalam kata yang mudah, separuh daripada usaha kita telah berhasil. Hanya tinggal separuh lagi yang perlu diusahakan. Ini adalah pandangan mata yang positif.

Justeru, tetapkanlah diri dengan pemikiran 'Gelas Separuh Penuh' agar kita dapat melihat sesuatu perkara itu dengan optimis dan positif.


Selamat beramal []:-)=


















Wednesday, August 15, 2012

Barat VS Islam


Dewasa ini, minda anak muda dan tua banyak terpengaruh oleh Barat yang menyesatkan. Penulis tidak menafikan Barat juga mempunyai Islam dan Islam ini diamalkan dengan sempurna dan menyeluruh. 

Namun, budaya non-muslim barat masih ditiru dan dijadikan panduan dalam kebanyakan perkara. Pakaian, makanan, pergaulan dan hubungan kekasih ala Barat telah memasuki minda remaja Islam di Malaysia. 

Tahukah mereka dan anda, bahawa negara Barat berada lebih rendah kedudukannya dari negara kita dari sudut-sudut ini? Adakah kita sedar, negara-negara ini mempunyai krisis jati diri dan moral yang sangat teruk? 

Jika kita tahu, adakah kita masih akan mengikut negara-negara ini? Dalam ilmu logik, jika kita mahu jadi baik, kita mesti ikut orang yang baik. Atau jika kita mahu menuju ke Kedah contohnya, kita perlu mengikut papan tanda ke negeri itu. 

Mana mungkin kita hendak jadi baik namun kita mengikut jejak orang yang jahat atau buruk. Negara Barat yang lebih rendah moralnya tidak boleh dijadikan contoh kerana mereka lebih rendah. Masalah sosial di sana amat menakutkan namun kita masih mengikut mereka, adakah kita tidak melihat ini adalah situasi yang bertentangan dengan akal?

Justeru, panduan terbaik ada di depan mata. Orang yang baik ada di sekeliling kita. Sifat-sifat baik masih ada dan kita hanya mampu lihat dan ikut contoh yang mereka berikan. Budaya dan adab yang baik masih ada terutama di masjid, madrasah dan lain-lain, carilah diri anda di sana agar anda temui petunjuk yang membuka jalan ke Syurga.

[]:-)=


Penyamun & Gadis


Beberapa peristiwa di bulan Ramadhan ini yang dilaporkan oleh akhbar harian amat aneh dan menghairankan. Berita pertama tentang seorang gadis belasan tahun yang dibakar oleh teman lelakinya selepas sahur. Seterusnya diikuti gadis belasan tahun juga yang hampir diculik namun kenderaan penculik yang terbabas dan melanggar bahu jalan menyelamatkan gadis itu.

Timbul dua persoalan yang bermain di minda. Pertama, penyamun dan perompak semakin berleluasa. Ada yang didapati bersalah namun dilepaskan kerana dia adalah seorang atlet. Ada juga yang dibiarkan kesnya tergantung. Namun, Ramadhan ini tidak mampu mengubah individu ini menjadi insan baik.

Persoalan kedua berkisar tentang gadis itu. Apakah yang dilakukan oleh anak gadis itu di luar rumah pada waktu malam dan sahur? Di mana ibu dan bapanya? Adakah dia mendapat izin penjaga untuk keluar rumah? Hal ini mendatangkan fitnah dan bahaya kepada dirinya sendiri.

Justeru, jagalah keluarga kita sepanjang masa kerana ia adalah amanah dan tanggungjawab yang akan dipersoalkan. Selamat beramal.

Saturday, August 11, 2012

Universiti Ramadhan

 
Ramadhan bukan sahaja tentang menambahkan amal ibadah tetapi juga memperbaiki kesilapan sebelum ini. Kejayaan Ramadhan hanya dapat dilihat dengan perubahan ke arah kebaikan yang berjaya dilakukan hasil didikan pada bulan barakah ini.

[Al-Baqarah] ayat 183.

“ َيَا أَيُّهَا الَّذِيْنَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِيْنَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ


"Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas umat-umat sebelum kamu, agar kamu bertakwa."

Universiti Ramadhan 

Dalam Universiti ini, kita boleh membuat satu kajian tentang Ramadhan sebagaimana dalam ayat yang disebutkan di atas. Ia merangkumi tujuan, tema, method atau kaedah dan dapatan. Satu Tesis tentang Ramadhan mampu dihasilkan jika benar-benar dibuat sedemikian. Atas dasar inilah Ramadhan dikatakan adalah universiti yang akan melahirkan pelajar cemerlang dari sudut iman dan amalnya bagi mereka yang mengikuti kaedah yang benar dan ikhlas.

Tajuk : Puasa
Metodologi : 'Sebagaimana umat terdahulu'.
Dapatan : Taqwa

Selamat beramal...[]:-)=

OFFICE

Tahukah anda: Walaupun hari ini OFFICE tutup n tidak perlu 'thumb in' di waktu OFFICE, tetapi diri ini tetap menggunakan alpikasi Microsoft OFFICE utk menyelesaikan beberapa tugasan []:-)=

Friday, August 10, 2012

Kekejaman seorang penulis




Kadangkala penulis sesuatu manuskrip, karya atau buku adalah seorang yang kejam. Kejam kepada buku atau karya itu dan juga kejam pada dirinya sendiri. Kekejaman ini dapat dilihat dalam karya beliau hasilkan sama ada mencapai tahap atau sebaliknya.

Maksud kejam di sini bukanlah kejam seperti Israel atau Amerika yang membunuh sesuka hati. Kejam ini bukanlah seperti seorang ayah yang dera anaknya kerana tekanan kerja dan lain-lain. Kejam ini adalah salah satu ciri penulis yang hanya bertindak kejam ke atas karyanya sahaja.

Adakalanya penulis terpaksa memotong dan membuang sebahagian atau beberapa bab dalam manuskrip beliau untuk menggantikannya dengan pengisian yang lain atas nasihat dan pembetulan dari editor. Ini penting bagi memastikan karya itu baik dan matang serta memberi kesan yang lebih kepada pembaca.

Penulis dengan berat hati dan sedaya upaya berlaku ikhlas akan mengisi kekosongan bab itu dan diganti dnegan pengisian yang baru dalam usaha mencapat skrip yang sempurna untuk tatapan ramai. Dengan ini, hanya buku dan terbitan yang bermutu dapat dihasilkan selepas bertindak kejam dengan memadam beberapa bab hasil penulisan sendiri yang dilakukannya dengan amat susah payah.

Segalanya demi dakwah melalui pena ini. Penulisan kerana Allah dan keranan menyebarkan keindahan Islam. Kejernihan dalam karya perlu dan penulis perlu ikhlas dalam penjernihan itu agar matlamat asas ini mampu dicapai.

Semoga 'penulis kerdil' ini berjaya suatu hari nanti. aminn....

[]:-)=


Template by:
Free Blog Templates