Dan orang-orang yang bijaksana itu sentiasa mengambil peluang bukannya sekadar menunggu...

Tuesday, April 10, 2012

Pemilik hati Suci


Melihat hujan turun dengan berdendangkan lagu

Hati kita turut berbunga

Menari dengan tarian tanpa arah

Cuba untuk mencapai pelangi

Hingga terlupa bila hujan ini berakhir

Lagu ini akan terhenti

Namun hati kita masih bergelora

Kerana bisikan hati yang kita mulakan

Tidak terbatas sehingga kita mati




Jangan berikan hatimu itu padaku

Penjarakan ia dengan pagar rindu

Biarkan ia kosong agar kembali sunyi

Untuk berfikir tentang tujuan dan destinasi

Apabila cahaya iman itu bersemi

ia akan sedar baik dan buruk

dan tahu bahawa aku adalah dosa baginya




Berikan iman pada hatimu

Lalu berikan hatimu itu padaku

Apabila sampai tempoh waktunya

Jangan kau serahkan hatimu sebelum sampaai waktunya

Kelak kita tidak akan temui jalan pulang

Seperti bayang dalam air

Bila dicapai ia kan hilang

Kerana aku tidak sempurna

Dan kelemahan aku adalah wanita




Bersabarlah dengan kesabaran Maryam

Jangan terpedaya dengan dunia

Sekalipun ia menjanjikan seribu bahagia

Sampai masanya ia akan musnah

Dan hanya meninggalkan titik hitam di dalam hati




Biar berpisah dari bersalah

Biar mati dari mengingkari

Kerana Syurga yang terindah itu

Hanya untuk pemilik hati yang suci






Sunday, March 25, 2012

Minggu Bahasa Arab UPM 2012


Minggu Bahasa Arab : 7-11 mei.

Antara aktiviti : Debat Bahasa Arab, kuiz, esei, multimedia,
dialog, choral speaking

(Hadiah menarik menanti pemenang)





Monday, March 19, 2012

Bagaimana mahu menulis artikel yang baik


Petikan daripada Seminar Penulisan Jurnal 17 Mac 2012 di Fakulti Pendidikan UKM oleh Dr Ghazali Yusri Abd Rahman.

Artikel yang ditolak oleh penerbitan atau jurnal tidak semestinya tidak baik. Mungkin ada kekurangan teknikal sahaja yang menyebabkan ia tertolak seperti format tidak selari, skop jurnal, kelemahan analisis dan sebagainya.

Untuk menghasilkan artikel yang baik, beberapa ciri perlu diambil kira. Antaranya adalah:

1. Tajuk :
Perlu jelas dan melambangkan artikel keseluruhannya. Sebaiknya tajuk perlu menarik dan memukau pembaca.

2. Abstrak :
Pendahuluan ringkas, objektif, metodologi, dapatan dan implikasi (Jumlah perkataan 150-300).

3. Pendahuluan :
Latar belakang kajian, teori, kajian lampau, pernyataan masalah, objektif dan kajian baru yang mahu dipaparkan.

4. Metodologi :
Populasi, sampel, rasional persampelan.

5. Dapatan kajian :
Disusun mengikut soalan kajian. Sama ada statistik atau huraian analisis.

6. Perbincangan :
Kritis dan mantap. Perbincangan dikaitkan dengan teori dan membentangkan dapatan baru dan bandingkan dengan dapatan yang terdahulu. Penulisan perbincangan dilakukan dengan sistematik.

7. Kesimpulan & Cadangan :
Nyatakan sumbangan kajian terhadap keadaan semasa. Pernyataan sumbangan ini boleh juga dilakukan dengan mengambil pandangan mana-mana individu atau kajian sebagai sokongan.

Contoh : Saranan supaya sastera perlu diajar di peringkat sekolah berdasarkan pandangan ..... .

8. Penutup :
Nyatakan dapatan secara ringkas.

9. Rujukan :
Kenalpasti format dan tentukan rujukan 5 tahun sebelum.

10. Biografi (Jika diminta).


*Boleh mengambil salah satu kajian dari jurnal yang mahu dihantar sebagai bahan sorotan literatur sebagai tanda kita membaca jurnal yang mahu dihantar.

*Jangan rasa inferior semasa menulis kerana tiada manusia yang sempurna. Cuma belajar dari kesilapan.



Faktor-faktor artikel ditolak


Petikan daripada Seminar Penulisan Jurnal 17 Mac 2012 di Fakulti Pendidikan UKM oleh Dr Ghazali Yusri Abd Rahman.

Sambungan daripada artikel di bawah iaitu Tips menulis jurnal yang berkesan, artikel ini akan membentangkan beberapa sebab mengapa artikel yang dihantar di jurnal ditolak. Antara sebab itu adalah:

1. Analisis yang sempit dan terhad.

2. Analisis dan perbincangan tidak menarik.

3. Artikel dihantar ke jurnal yang salah.

4. Perkataan tidak mencukupi.

5. Artikel tidak banyak menambah dalam pengetahuan.

6. Artikel berada di luar skop jurnal.

7. Jangkaan jurnal adalah artikel yang lebih tinggi.



Tips menulis jurnal yang berkesan


Petikan daripada Seminar Penulisan Jurnal 17 Mac 2012 di Fakulti Pendidikan UKM oleh Dr Ghazali Yusri Abd Rahman.

Menulis jurnal ada beberapa matlamat. Antaranya adalah untuk syarat graduat bagi pelajar master dan PhD di beberapa IPT, keperluan kerjaya, syarat tahunan kerjaya, pendapatan sampingan, mencuba nasib dan sebagainya.

Bagi mencapai penulisan jurnal yang bermutu, beberapa syarat perlu diambil kira. Antaranya adalah:

1. Data kajian perlu banyak. Kajian akan lengkap dan berguna dalam beberapa aspek.

2. Data kajian yang fokus dan menjurus ke arah kajian.

3. Jauhi plagiarisme. Jika dari hasil penulis yang sama dalam dua penulisan berbeza, mungkin boleh dilakukan pengubahsuaian dengan cara paraprase (ubah suai ayat tetapi maksud masih sama).

4. Baca jurnal tertentu supaya tahu skop jurnal tersebut.

5. Kritis dalam idea supaya ia memberi impak dan tinggi.

6. Kerangka teori yang berkesan.

7. Mengkaji dan membaca rujukan terkini (Sekurang-kurangnya 5 tahun dari tarikh kajian). Contoh kajian dilakukan sekarang iaitu tahun 2012, jadi jurnal berkaitan yang perlu dibaca adalah dari tahun 2007-2011.

8. Kajian padat dan tidak meleret.

9. Mencukupi bilangan perkataan. Ini bergantung pada jurnal. Ada yang tidak terhad dan ada yang hanya mahukan 5000-8000 perkataan.

10. Endnote perlu selari dengan format jurnal.


p/s: Gambar sekadar hiasan..[]:-)=





Sunday, March 18, 2012

Maka janganlah kau berputus asa



Lihat pada kilauan mentari dan kejernihan purnama

Ia diciptakan hanya untuk menghiasi mata manusia

Sebagai petunjuk dan pedoman

Serta sebagai pengganti setelah hilangnya teman

Maka janganlah kau berputus asa



Lambaikan tangan pada pohon-pohon itu

Ia setia melambai ke arahmu di setiap hari kegagalanmu

Engkau tidak memandangnya kerana menyangka ia mati

Sedangkan ia hidup dan terus berzikir

Maka janganlah kau berputus asa



Lihat burung yang berterbangan tanpa kawalan

Riang dan tangkas melebarkan sayap ke udara

Tahukah kau ia sedang menolak angin ke bawah

Untuk memberi daya tujahan supaya dia naik ke atas

Engkau mengatakan ia sedang terbang

Hakikatnya adalah ia sedang berusaha untuk terbang

Maka janganlah kau berputus asa



Alam sekeliling begitu indah tak terperi

Ramai memuji bila melihat keindahan itu

Ramai juga yang mengeji apabila ia tak seindah yang diimpikan

Hujan redup boleh bertukar bah besar

Petir berdentum menakutkan manusia

Tahukah kau ini adalah tanda dari Yang Maha Esa

Kita tak berkuasa tapi Dia Maha Berkuasa

Maka terus berusaha dan berserahlah kepadanya

Dan janganlah kau berputus asa



S.k: Hati penulis.




Thursday, March 15, 2012

Guru VS Murid


Fokus adalah doa dan target. Ia senjata penting bagi manusia sebelum melaksanakan sesuatu ibarat bermain bola mesti menjaringkan gol untuk memenangi perlawanan.

Namun, seringkali fokus kita tersasar atau kita fokuskan pada tempat yang salah. Sketsa di bawah ini akan memberi bayangan kepada kita tentang fokus.

Suatu hari seorang guru bertanya kepada anak muridnya, "Hafiz!"

Seorang murid lelaki berdiri, "Ya, cikgu."

"Di mana kelas cikgu Halim?"

Murid itu kehairanan. Gurunya yang bernama Abdul Halim itu bertanyakan soalan yang aneh. Lantas dia menjawab, "Cikgu adalah cikgu Halim."

Guru itu senyum seketika. Sketsanya sempurna. "Jangan hairan. Cikgu sengaja bertanya demikian untuk menguji kamu dan menyampaikan matlamat."

Guru itu masih tersenyum di sebalik kebisuan kelasnya. "Cikgu hanya mahu mengatakan kamu perlu fokus kepada keadaan sekeliling supaya dapat memberikan yang terbaik untuk diri kamu. Sebentar tadi rakan kamu menjawab cikgu adalah cikgu Halim."

Kesemua pelajar mengangguk. Lantas guru itu menyambung penjelasan. "Jawapan yang sebenar kamu juga tahu iaitu adalah kelas cikgu Halim adalah di sini. Kamu perlu fokus pada soalan dan berikan jawapan ringkas dan tepat dan bukannya mencari keanehan dalam soalan."

Murid-murid masih terpinga. Guru hanya tersenyum. Di hatinya tersemat, "Satu hari anda akan mengerti, apabila anda menjadi guru. Atau anda ingin mendapatkan sesuatu tetapi gagal."



P/s : Satu hari anda akan faham kisah ini. Semasa anda bangkit dari terjatuh, atau semasa anda mengesat air mata kegagalan. Anda akan sedar, mungkin kegagalan itu adalah kerana anda fokus di tempat yang salah.

Selamat mencoba...[]:-)=




Tuesday, February 28, 2012

Encik Google yang jahat


Penulis membuka google untuk mencari bahan kajian tesis. Namun, sering terganggu dengan 'kejahatan' encik Google yang memberitahu maklumat yang sebegitu kepada penulis. Setiap kata kunci yang ditaip pasti keluar maklumat tentang kerajaan. Ada sesuatu yang tidak kena. Adakah benar? Adakah sekadar kebetulan?

Yang pasti, ia sesuatu yang kelakar untuk diperkatakan. Taip sahaja perkataan seperti babi, kapal, ladang, hutang dan beberapa lagi, pasti dikaitkan dengan isu menteri yang melanda negara sama ada yang terbaru mahu pun lama.

Penulis hanya mahu mencari unsur simbolisme bagi beberapa perkataan, terbaca hutang negara yang semakin meningkat... Apabila mencari unsur ladang, terbaca menteri yang ..... lembu ... kondominium .... .... ....

Encik Google memang jahat. Memuatnaik sesuatu bahan agar pembaca mencari kebenaran. Tidak mengikut satu sumber sahaja. Satu akhbar kata perhimpunan seramai 200 orang dan pada hari yang sama dan akhbar yang dalam 'barisan' yang sama mengatakan kumpulan itu 2000 orang. Pembaca perlu mencari akhbar yang ketiga dalam 'barisan' yang berbeza untuk membuat penilaian seterusnya membuat undian. :)

Sekian... Terima kasih Encik Google... Baca, kaji, fikir-fikirkan.. Selamat Beramal..







Thursday, February 9, 2012

Kerana air yang menitis


Pagi ini suasana suram kerana ketiadaan air di rumah. Hanya titisan-titisan air kecil sahaja yang keluar dari mulut paip dapur. Sukar untuk memasak dan membasuh pinggan. Hari Jumaat pula kaum ibu agak tergesa-gesa kerana menyediakan hidangan untuk suami dan anak-anak sebelum atau selepas Solat Jumaat.

Air masih menitik perlahan di pili. Ibu menyuruhku menadah menggunakan botol 1.5 liter. Aku menurut perintah. Dalam hati terdetik adakah mungkin beberapa botol kosong ini dapat dipenuhi hanya dengan titisan air yang bakal terhenti bila-bila masa.

Saat berganti saat dan titisan demi titisan, botol 1.5 ml yang pertama penuh. Ajaibnya hanya dengan titisan air sahaja botol itu mampu diisi penuh.

Botol kedua pula diganti dan hampir sejam berlalu botol ini juga diisi penuh. Botol yang ketiga pula diletakkan dan setelah hampir penuh, titisan ini berhenti.

Benarlah kata orang, air yang menitis boleh menghakis batu yang kuat kerana titisan yang lembut itu jika berulang-kali ia mampu mengalahkan kekuatan batu.

Air yang menitis juga, walaupun amat sedikit, tetapi jika menitis dengan berterusan mampu memenuhkan botol atau baldi. Sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit. Sehari selembar benang, lama-lama jadi kain. Sehari sepotong ayat, lama-lama jadi buku.

Selamat belajar daripada alam.

[]:-)=


Thursday, February 2, 2012

Cahayamu (Sempena Maulidur Rasul)



Indahnya insan kerana iman

Indahnya iman bersulam ketaqwaan

Indah dirimu kerana membawa berita

Perkhabaran gembira membawa ke Syurga



Indah bulan kerana sinarnya

Indahnya engkau kerana kau adalah bulan itu

Yang menerangi hati yang gersang

Menghapuskan gelapnya kejahilan

Dengan cahaya di atas cahaya



Kau membuatkan sekelilingmu terang

Dengan cahaya ilmu dan iman

Orang yang buta mampu melihat sinaran itu

Yang pekak mendengar seruan

Yang tidak berupaya mendapat bantuan



Malam yang sunyi bergema dengan pujian

Dan kedinginannya dihangatkan dengan doa dan harapan

Dan apabila malam ini berlalu

Pagi yang masih gelita di sirami cahaya keampunan



Kau bawa dunia ke dalam cahaya itu

Lalu terpancarlah segala keburukan pada dunia ini

Yang kami lihat begitu indah dan melalaikan

Sedangkan bila mata ini terpejam

Segalanya hanya menyempitkan kubur-kubur manusia



Dunia berputar dan hari terus berlalu

Dirimu takkan hilang selagi di hati yang tenang

Semoga hati yang tenang ini

Membawa aku ke arahmu

Memohon syafaatmu

Bersamamu

Di destinasi itu




Monday, January 30, 2012

Nikmat Berusaha



Mulakan tugasanmu dengan Bismillah dan yakinlah setiap usaha itu ada ganjarannya. Jika tidak berjaya dalam urusanmu, ingatlah kamu telah mendapat nikmat berusaha~

[]:-)=


Friday, January 27, 2012

Memajukan sektor perlancongan : Baik atau Buruk?


Sektor perlancongan amat berkembang pesat di negara kita. Pelbagai tempat menarik yang boleh dikunjungi seperti Langkawi, Tioman, Taman Negara, dan sebagainya. Ia mampu menarik pelancong dari pelbagai negara untuk datang ke Malaysia.

Dikatakan perlancongan dan tarikan ini menjadikan ekonomi negara berkembang pesat. Namun, sejauh manakah tarikan ini membawa kesan hebat kepada sosial dan budaya? Adakah ekonomi segala-galanya bagi penduduk Malaysia sehingga mengabaikan faktor sosial?

Dilaporkan tiga ribu pelancong China hilang di Malaysia dan ia masih lagi menjadi misteri. Pelancong Afrika pula menimbulkan tanda tanya dengan hampir setiap hari ada sahaja kes yang melibatkan warga Afrika ini. Di IPT pula warga Afrika dikatakan mengejar pelajar wanita kita dan sering membuatkan pelajar ini tidak senang.

Warga Indonesia, Bangladesh dan negara sekeliling semakin ramai malah mampu membentuk satu perkampungan asing di beberapa tempat. Dalam tempoh lima tahun lagi, tidak mustahil Kuala Lumpur bukan lagi milik kita. Hanya tinggal nama sahaja kerana demografinya dipenuhi warga asing.

Di England. syarat kemasukan pelancong perlu ada permit, surat beranak atau surat majikan bagi memastikan pelancong yang hadir akan pulang pada masa yang ditetapkan. Alangkah baiknya jika Malaysia mengamalkan cara ini.

Pergilah ke Kuala Lumpur dan lihatlah sendiri bagaimana warga asing ini berada di sekeliling kita. Mereka menjajga parkir di kawasan Tanah Tumpah Darah kita sendiri tanpa lesen dan kerana takut dipukul atau dicederakan, kita terpaksa membayar sahaja. Mereka menjadi bos di beberapa tempat dan orang kita hanya menjual di tepi kaki lima.

Sememangnya pelancong asing menaikkan ekonomi dan mendatangkan keuntungan tapi sejauh mana? Kita dapat bayaran atas tanah yang kita hilang dan keselamatan yang terancam, adakah ia berbaloi?

Fikir-fikirkan....







Pelajari bahasa lain namun bertutur bahasa yang lain


Salah satu masalah dalam mempelajari bahasa adalah kita belajar bahasa lain (A) tetapi bertutur dalam bahasa yang lain (Bahasa B). Sebagai contoh, kita mempelajari Bahasa Arab tetapi di rumah dan di jalanan kita bertutur dalam Bahasa Melayu. Apa yang dipelajari tidak selari dengan implimentasi.

Justeru, nama-nama objek dan kosa kata yang dihafal tidak mampu diguna dan diaplikasi menjadi ayat yang betul. Ini akan menjauhkan kita dari bahasa A yang dipelajari.

Bahasa adalah pengantara. Ia tidak dari daripada kita berkomunikasi dengan menggunakan bahasa yang dipelajar. Sama ada kita suka atau tidak, bahasa ini tetap akan hilang jika tidak diamalkan. Orang yang fasih berbahasa arab sekalipun jika duduk di pedalaman Sarawak, akan melupai Bahasa Arab ini sebaliknya mampu berbahasa Sarawak.

Inilah di antara keunikan Ilmu Allah yang Maha Luas. Sebagaimana kita belajar solat dan kita solat, begitu juga kita belajar bahasa dan mempraktikkannya. Ilmu ini akan menjadi lebih kuat dan kaya bahkan membuka cabang-cabang ilmu baharu.

Semakin kita mendalami ilmu ini semakin dirasakan ilmu ini semakin besar. Usaha ke atas ilmu dan pencarian inilah yang membuatkan kita sedar Ilmu Allah adalah terbesar dan tiada taranya. Setitis ilmu ini sudah membuatkan kita mencari hampir sepanjang usia.

( Maaf, artikel lari tajuk) []:-)=



Sinar Hidayah


Bila hidayah berlabuh di jiwa yang sepi

Kesunyian itu akan terpecah dan terlerai

Dan pemilik jiwa itu lalu bangkit

Dari kegelapan alam yang tidak berpenghujung

Ibarat purnama di malam gelita



Jiwa yang meratapi hilangnya mentari

Yang cerah menerangi bumi di siang hari

Ratapan ini terlenti lalu terukirlah senyuman

Kerana hilangnya mentari berganti sang bulan

Itulah diibaratkan cahaya hidayah

Pada jiwa yang menerima sinarnya




Bila jiwa dan hidayah bersatu

Dan nafsu pula menjadi korban

Ketika inilah malam yang gelita

Bertukar menjadi waktu untuk berdoa

Kerana kesedihan dan kesunyian ini tadi

Telah bertukar menjadi keyakinan

Dalam sujud yang berpanjangan







Demi Mata Yang Terbuka



Demi mata yang masih terbuka

Sebelum terlena di kelam gelita

Termenungku melihat bintang malam

Terasa kerdil diri ini

Ditelan langit yang tiada berpenghujung

Aku hanya umpama debu berterbangan



Aku di malam indah yang tiada taranya

Ramai bergembira, sedikit sahaja mengingatiNya

Yang mana satukah menjadi ikutan aku

Mampukah aku mengharungi malam ini

Dengan memikul dosa dari celik mata

Terkapai kelemasan sehingga terpejam kembali



Demi mata yang masih terbuka

Aku merintih pada yang Maha Mendengar

Leraikanlah kesangsian di hati

Sesungguhnya nikmat dari kedua mata

Tidak setanding dengan dunia fana

Kerana akan tiba masa aku pergi

Hanya rahmatMu yang aku impi



Demi mata yang masih terbuka

Aku tidak pasti esok akan masih terbuka

Malam ini pasti menjadi catatan

Tidak aku lepaskan walau beribu halangan

Kerana bila esok menjelma

Dan mata aku masih terlena

Malam ini pasti menjadi penentuan





Cinta Yang Terhijab



Jangan mengalah dalam mencari

Jangan bersedih dalam hati

Pandanglah bintang itu lihatlah sinarnya

Ia seperti berbisik lembut

Ada seseorang sedang menunggumu

tempat yang jauh dan misteri



Jangan menyesal dan bersalah

Apa yang telah tertulis ini

Kita tidak mampu mengubahnya

Yakin dengan suatu janji

Kau dan aku pasti bertemu juga



Biarkan masa yang pantas berlari

Mengejar dan membongkar misteri ini

Tentang bilakah kita akan bertemu

Dan mengapa kita terpisah jauh



Sedangkan cinta kita ini pasti

Bukan kita yang menentukan

Tetapi semuanya nikmat tuhan

Dari bermula kita sampai ke hujung usia



Biarpun kita masih berjauhan

Walaupun kita tidak mengenal

Cinta yang terhijab akan terlerai

Ketika sampai suatu masa itu

Pada hari kita dipertemukan

Dengan jodoh yang ditakdirkan








Thursday, January 26, 2012

Shahrul & Aisyah


Shah Rukh Khan

Aman Shah

Shahrul

Aisyah

Kebanyakan pemilik nama ini akan dipanggil 'Shah' sahaja oleh orang sekeliling. Namun tahukah anda apakah makna Shah?

Nama panggilan di kalangan masyarakat Islam masa kini kadangkala disalah tafsir sebagai nama singkatan atau yang paling mudah disebut. Namun, terjadi juga nama singkatan itu adalah salah dan membawa maksud yang menyimpang.

Maaf dinyatakan di sini, Shah bermaksud kambing dalam bahasa Arab. Sama seperti panggilan 'Man' atau 'mas' yang juga membawa maksud kurang baik. Mungkin jika dikira maknanya dalam bahasa lain ia memberi makna yang baik, namun aspek bahasa arab perlu diambil kita memandangkan bahasa ini adalah bahasa ibadah.

Justeru, hati-hati dalam memanggil nama rakan. Khuatir sekiranya kita memanggil rakan kita dengan panggilan yang kurang baik.



Wednesday, January 25, 2012

Kesilapan Dalam Bahasa Arab

الطالب مجتهد

الطالب المجتهد

Soalan pertama, adalah ayat di atas membawa makna yang serupa? Jika ya, fikirkan jawapan anda sekali lagi. Jika tidak, apakah perbezaan kedua-dua ayat di atas?

Sudah tentu kita sedar dengan jelas bahawa beza kedua-dua ayat ini terletak pada huruf Alif dan Lam. Tetapi timbul pula kemusykilan lain iaitu apakah ia membawa perbezaan yang besar?

Jika dalam penulisan, sudah tentu ayat ini berbeza. Jika dalam percakapan, aspek nahu kurang diambil kira selagi mana ayat ini menyampaikan 80% maksud asal.

Dalam penulisan, masalah alif dan lam memberi pengaruh kepada beberapa aspek seperti ma'rifah (Kata nama khas), Khobar(Tidak dapat dijelaskan kerana tiada dalam Bahasa Melayu dan mana-mana bahasa), dan lain0lain lagi.

Dalam konteks ayat di atas, perbezaannya adalah seperti berikut:


الطالب مجتهد

Pelajar itu rajin.



الطالب المجتهد

Pelajar yang rajin itu

Contoh pertama adalah ayat yang lengkap manakala contoh kedua tergantung ayatnya. Ini menjadikan penambahan Alif dan Lam menjadikan perkataan 'Mujtahid' (Rajin) sebagai sifat kepada 'Tolib' (Pelajar) dalam contoh yang kedua.

Contoh pertama tanpa penambahan Alif dan Lam menjadikan perkataan 'Mujtahid' (Rajin) sebagai penjelasan dan pelengkap kepada 'Tolib' (Pelajar).

Selamat Beramal []:-)=



Keistimewaan Bahasa Arab (II)


Antara keistimewaan Bahasa Arab adalah terdapatnya perkataan yang membawa maksud yang pelbagai. Hanya dengan sati kalimah (Perkataan) ini, sekurang-kurangnya dia membawa tiga maksud bergantung kepada penggunaannya dalam konteks ayat.

Antara perkataan yang dimaksudkan adakah :

عَمَلِيَّة
'Amaliyyah

Makna 1 : Proses
Makna 2 : Operasi (Penggunaan dalam perkara berkaitan Polis)
Makna 3 : Pembedahan (Dalam bidang kedoktoran)

جُذُر
Juzur

Makna 1 : Kata asal atau dasar (Dalam konteks bahasa atau sintaksis dan morfologi)
Makna 2 : Akar pokok (Dalam bidang pertanian)
Makna 3 : Punca kuasa (Dalam ilmu matematik)

Banyak lagi contoh lain yang membawa maksud pelbagai. Antaranya adalah 'Ain (عين), Saat (ساعة) dan lain-lain lagi. Kepelbagaian ini membuktikan bahasa ini fleksibel dan luas. Jangan takut dan khuatir tidak dapat mempelajarinya kerana dia berbentuk bebas dan terbuka.

Selamat mencuba []:-)=




Bahasa Inggeris Bahasa Kafir?


"Kau dah pandai cakap bahasa kafir sekarang semenjak balik dari luar negara."

"Buat apa belajar bahasa inggeris? Bukankah itu bahasa kafir?"


Dua dialog ini biasa didengar oleh orang kampung atau orang tua di kalangan kita. Dialog ini berkait dengan Islam dan Kafir dalam sesuatu perkara. Namun, hakikatnya adakah Bahasa Inggeris Bahasa Kafir?

Soalan ini membawa penulis mengkaji dan mencari jawapan untuk menyelesaikan spekulasi dan pemikiran ini. Secara teknikal. tiada bahasa yang kafir. Yang ada hanyalah orang yang kafir apabila dia tidak memeluk agama Islam. Ia tidak berkaitan dengan bahasa yang digunakan.

Umat Islam terdapat di mana-mana di seluruh dunia dengan pelbagai kaum. Setiap kaum ini pula merujuk kepada bahasa yang berlainan. Salah satunya sudah tentu umat Islam di Amerika atau England yang bebrtutur dalam Bahasa Inggeris. Jadi, adakah mereka juga kafir jika menggunakan bahasa ini? Sudah tentu tidak.

Justeru, tidak ada bahasa yang kafir. Bahasa Inggeris juga boleh mengjadi penghubung kepada umat Islam di seluruh dunia selain Bahasa Arab. Jadi, pelajarilah bahasa agar kita tidak tersesat dan tertipu.

[]:-)=


Template by:
Free Blog Templates