Dan orang-orang yang bijaksana itu sentiasa mengambil peluang bukannya sekadar menunggu...

Thursday, July 26, 2012

Penakulan Seorang Pakcik


Malam pertama Ramadhan, saya kembali ke kampung halaman untuk menyambut Ramadhan bersama keluarga. Isyak hampir menjelma dan saya menuju ke masjid untuk berjemaah dan memulakan terawih pertama. Kereta amat banyak.

"Aduh, rugi pula rasanya bawa kereta malam ini! Susahnya mencari parking."bisik hatiku sendirian. Setelah beberapa ketika akhirnya berjaya meletakkan kereta di hadapan kanopi khas untuk moreh atau berbuka.

"Assalamualaikum, Pakcik." salam diberi kepada seorang pakcik yang amat dikenali.

"Waalaikumsalam." spontan dia menjawab salam.

"Banyak betul kereta malam ini. Susah saya mahu mencari parking."

"Jangan risau. Bawa sahaja motor. Malam ke-15 baru bawa kereta."

Ringkas pakcik itu menjawab. Seolah-olah dia sudah mengetahui apa yang bakal berlaku. Namun, itu bukanlah ilmu ramai atau nujum yang tahu akan apa yang akan berlaku. Sebaliknya itu adalah penakulannya yang berdasarkan pengalaman-pengalaman lalu.

Adakah peristiwa ini akan berulang kembali? Masjid akan penuh pada permulaan Ramadhan yang membawa rahmat tetapi berkurangan pada pertengahannya. Harap agar tahun ini tidak berlaku sebagaimana tahun-tahun sebelumnya. Inilah kuasa iman dan istiqamah. Bulan ini adalah bulan mulia, bulan cinta. Buktikan kecintaan dan iman kita dalam mengabdikan diri kepadaNya.

Selamat beramal []:-)=


Bulan Cinta

Bulan ini bulan cinta
Permulaannya adalah rahmat
Bagi jiwa-jiwa yang bersinar cinta itu
Malam yang membawa rindu untuk berbicara
Dengan pemilik cinta itu
Dan siang yang menjelma dengan seribu satu ranjau
Yang sering menduga iman


Bulan ini bulan cinta
Hanya waktu yang mampu memisahkan kita
Kemudian bertemu kembali setelah sampai satu masa
Aku tidak tahu apakah aku akan tiba pada waktu itu
Kerana nafasku bukanlah aturanku
Dan mungkin ini adalah bulan cinta terakhirku


Pada bulan cinta ini
Kita satukan bina jalan kedamaian
Kita alirkan air mata untuk membasuh dosa
Agar api yang menyala itu terpadam
Dan menyuburkan taman-taman syurga
Sebagai destinasi bagi pemilik cinta ini


Pada bulan cinta ini
Janganlah bertuhankan cinta dunia
Agungkan manusia yang tidak pernah kenal erti setia
Bawalah cinta itu untuk satu pengabdian
Kerana setelah bulan ini berlalu
Rahmat dan ketenangannya juga dibawa bersama
Yang tinggal hanya cinta yang setulus jiwa


Dan tetaplah dengan cinta ini
Cinta yang telah bersemi sepanjang bulan
Dengan amal dan harapan
Walaupun bulan ini tiada lagi bersamaku
Tapi hati ini telah dibawa pergi
Doa pun bersemi agar bertemu kembali
Dan cinta pun bermula


Wednesday, July 18, 2012

Sehebat-hebat Manusia (Versi baru)


Sehebat-hebat Manusia


Sehebat mana manusia itu
 dia tetap mempunyai 24 jam dalam satu putaran siang dan malamnya.
dia akan membiarkan masa lalunya lenyap dan memelihara masa kini 

agar masa hadapannya terpelihara 


Sehebat mana manusia itu, 
dia juga perlu tidur, rehat, 
berlapang-lapang dan bersenang menghilangkan kegusaran.
Apabila hilang lelahnya itu nescaya bangunlah tangannya mencapai cita

 
 Sehebat mana manusia itu
 dia tetap memiliki dua tangan dan tulang empat kerat untuk melakukan kerja seharian.
Majikannya adalah kuasa minda dan positif adalah pekerjanya
Dia membina potensi diri agar mampu berdiri sama tinggi dengan matlamatnya
Dan hidupnya menjadi bernilai kerana manusia itu semahal matlamatnya


Dengan bangunan yang semakin tinggi dan jalan yang semakin berserabut, 
dia merentas lorong-lorong sufi
Jalan itu adalah yang tidak dilalui namun dihadapinya dengan cekal
Hanya mereka yang tabah dapat menempuh jalan berliku
Kerana di hujungnya ada destinasi yang diimpikan
Dia bersungguh melawan nafsu agar dapat mencapai apa yang dihajatkan


Di matanya matlamat yang menyala dan memberi sinaran itu pada setiap musuhnya
Dia melipat gandakan usaha sepanjang hari agar memperoleh hasil yang memuaskan
Apabila mereka mula menyuburkan hasad, dia segera mengurangkan kebencian
Tatkala orang lain sibuk melakukan hal-hal yang besar, 
dia memutar waktunya melakukan hal-hal yang baik


Sehebat mana manusia itu
 dia tetap akan melakukan kesalahan kerana tiada manusia yang sempurna.
Tetapi dia tidak menyalahkan orang lain atas kesalahannya sendiri
Dia sibuk memperbaiki diri sedangkan orang sekitarnya sibuk memperbaiki orang yang lain.
Hatinya penuh keazaman dan kosong mindanya ketika beralasan
Ketika pemuda lain sibuk dengan angan dan cinta, dia memecahkan atom prasangka


Sehebat mana manusia itu
 dia tetap memakai baju dengan menyarung dari atas ke bawah kecuali baju khas seperti angkasawan atau uniform seragam serta kemeja.
Pakaiannya adalah taqwa yang menyelamatkannya dari leka sedangkan ia hanya satu retorik bagi pandangan mata yang alpa
Sehebat mana manusia itu, dia pasti dan wajib memakai seluar dengan memasukkan satu kaki untuk sebelah kaki seluar dalam satu masa. Kemudian barulah diikuti dengan kakinya yang lagi satu.


Sehebat mana pun manusia itu, 
dia tetap sama seperti kita.
Kita berkongsi makanan dan udara tetapi berlainan hasilnya.
Bumi kita adalah sama namun kita berada di dunia yang berbeza
Dalam tekanan yang naik dan turun serta iman yang bertambah dan berkurang, kita masih sama dengannya.
Dan hidupnya seperti manusia lain kerana dia adalah manusia biasa.
Kecuali satu perkara yang ada pada manusia yang hebat ini, : 
Usaha yang luar biasa.




Saturday, June 16, 2012

Siri Belajar Daripada Lautan




Pada masa dahulu, ada seorang nelayan yang menuju ke laut untuk menangkap ikan. Nelayan ini adalah seorang pakcik tua yang tinggal di hujung kampung. Dia menuju ke tengah laun seorang diri tanpa sebarang teman.

Dengan berbekalkan roti dan air yang mencukupi selama tiga hari, pakcik ini bergerak dengan doa dan harapan supaya hasil yang diperoleh adalah berkat dan mencukupi dengan usahanya. Namun, malang tidak berbau, perahu yang dinaiki telah hanyut di tengah laut.

Beberapa hari di tengah laut, dia hanya makan bekalan yang dibawa iaitu air dan roti sahaja dengan benar-benar jimat. Dia khuatir kehabisan makanan dan hanyut dalam jangka masa yang lama. Sementara itu di kampung, teman-teman pakcik tua ini sibuk memikirkan nasib rakannya itu. Mereka sudah menyangka pakcik itu hanyut di lautan dan membuat laporan ke pihak berkuasa.

Usaha mencari pakcik itu bermula. Pencariannya diperluaskan ke setiap tempat atau kawasan nelayan yang biasa pergi. Ada juga yang menyangka pakcik itu tenggelam dalam lautan. Namun, kebanyakan mereka yakin rakannya itu masih hidup tetapi dalam kelaparan yang teramat sangat.

Hari demi hari, pakcik itu masih belum ditemui. Keadaan pakcik nelayan itu pula semakin kritikal berikutan roti dan air yang dibawa akan habis menjelang keesokan hari setelah berjimat-cermat dan telah bertahan selama 6 hari. Dalam keadaan runsing memikirkan nasib dirinya, dia tidak lupa berdoa kepada Allah S.W.T. agar memberikan bantuan kepadanya dan dia redha dengan apa yang akan terjadi.



Hari ke-7 pakcik ini berada di lautan. Makanan dan minuman telah habis. Sedang asyik berdoa dan mengerang kelaparan, akhirnya pasukan penyelamat berjaya menemuinya. Pakcik ini selamat dibawa pulang dan diberi makan semasa dalam perjalanan pulang. Dia selamat tiba di rumah dan ramai orang menziarahinya.

Setelah berehat dan pulih, pakcik itu didatangi oleh seorang wartawan yang mahu menemuramahnya. Wartawan itu dibenarkan masuk dan disambut dengan baik. Lantas wartawan itu memulakan pertanyaan.

"Pakcik, apakah pengajaran yang pakcik dapat semasa kejadian ini?" Pakcik itu berteleku seketika. Dia memandang wartawan muda itu dengan wajah tenang.

"Senang sahaja. Pakcik hanya berfikir tentang hidup dan tentang kesedihan." ringkas pakcik itu menjawab.

"Kesedihan yang bagaimana?" wartawan itu terus menyoal seperti biasa.

"Ada dua perkara yang penting untuk hilangkan kesedihan pakcik semasa berada di tengah lautan." jawapan pakcik itu masih tergantung. Wartawan dan penduduk kampung yang datang ziarah masih menunggu jawapan tambahan.

"Semasa berada di tengah lautan, jika pakcik berasa sedih atau putus asa untuk hidup, dua perkara ini akan mengubah pandangan dan menaikkah ketabahan pakcik."



"Apakah dua perkara itu?" wartawan itu menyoal lagi.

"Pakcik akan bertanya kepada diri pakcik, adakah pakcik mempunyai makanan untuk hidup? jawapannya 'ya' iaitu roti yang dibawa. Setelah itu pakcik bertanya lagi, adakah pakcik mempunyai air? Jawapannya juga 'ya' dengan air botol yang pakcik bawa sebagai bekal." panjang pakcik itu menjawab. Orang yang hadir mendengarnya dengan terpaku. Pakcik itu sekali lagi menambah:

"Jika ada dua perkara dalam hidup iaitu makanan dan air bersih, jadi mengapa kita perlu berputus asa? Mengapa kita bersedih jika ada cabaran dan halangan jika kita masih ada dua perkara ini?"

"Cabaran itu bukanlah halangan. Cabaran itu adalah ujian dari Allah supaya hambaNya kembali berdoa dan merintih kepadanya. Bersabarlah dalam menghadapi cabaran dan ikhlaslah dalam bersabar, kerana ketahuilah malaikat sedang menulis pahalamu."

Wartawan dan para penduduk yang mendengar kata-kata itu tersenyum memahami maksud pakcik ini. Tidak sia-sia usaha mereka yang menyelamatkan pakcik ini kerana ilmu dan pengalaman dari tengah lautan yang mereka peroleh, tidak terbanding dengan jasa mereka menyelamatkan pakcik itu.



Tuesday, June 5, 2012

Motivasi Diri (Menjadi Penulis)


Penulis cuba menerbitkan beberapa manuskrip tetapi masih dalam semakan. Biarpun setiap kali mendapat keputusan yang mengecewakan, namun penulis berharap satu hari nanti impian ini tercapai. Beberapa kata-kata hikmah penulis dapati daripada buku seorang rakan yang ditinggalkan di bilik ini. Antara kata-kata yang menarik perhatian dan mampu menjadi panduan dan motivasi adalah seperti berikut:


"Seorang penulis profesional adalah seorang penulis amatur yang tidak pernah menyerah kalah"

"Bakat sahaja tidak mencukupi, perlu ada motivasi dan ketabahan."

"Keinginan ini akan melakukan segalanya."



Teruskan mencuba wahai diri...[]:-)=



Thursday, May 31, 2012

Hidayatein (2 petunjuk: Edisi Guru)


Penulis sempat bertanya pada seorang pensyarah tentang masalah yang diceritakan sebelum ini. Bagaimana kita hendak tahu sama ada pelajar itu faham atau tidak dengan apa yang diajar? Dengan ringkas dan mudah pensyarah yang lebih mesra dipanggil ustazah ini menjawab:

"Ada dua cara bagaimana kita boleh tahu pelajar itu faham atau tidak."

Penulis terpinga-pinga, menanti jawapan tambahan.

"Pertama adalah Mauhub."

"Mauhub? Pernah dengar, mungkin berkaitan dengan anugerah Allah." Penulis berkata dalam hati.

"Mauhub ini anugerah. melalui pengalaman ustazah, kita dapat tahu melalui konteks mata pelajar itu. Jika ia nampak seperti tidak fokus, maka ustazah rasa dia kurang faham dengan apa yang disampaikan."

"Sama seperti psikologi, tetapi ustazah tidak mahu bercakap panjang kerana perkara ini ustazah tidak belajar secara langsung. Hanya dengan pengalaman sahaja."


"Baiklah. Kedua?"

"Kedua adalah dengan bertanya dalam kelas secara tidak langsung. Jika respon yang diberikan adalah baik, maka mereka dianggap sudah memahami apa yang disampaikan.

"Tidak perlu risau dengan tahap kefahaman mereka. Yang penting ikhlaskan niat dan berusaha untuk mengajar yang terbaik. InsyaAllah doakan mereka agar faham dan mana yang tidak faham InsyaAllah Allah akan berikan petunjuk kepada kita."

InsyaAllah akan diamalkan petua ini. Semoga guru dan pelajar ini menerima ilmu yang berkat dan tidak terduga oleh kita. Hanya dengan ilmu yang benar kita dapat peroleh kesejahteraan dalam ibadah dan petunjuk dalam menghadapi dunia mencabar ini. Selamat berjuang .. []:-)=


Monday, May 28, 2012

Ayam dengan Telur?


Soalan lazim yang ditanyakan pada saya semasa kecil dan remaja adalah seperti tajuk di atas iaitu, "Ayam dengan telur, siapa yang dulu?"

Jawapan amat sukar dan kelihatan seperti kedua-duanya benar, namun ada sedikit helah yang digunakan walaupun jawapan yang sebenar Allah sahaja yang tahu.

Jawapan bagi helah ini bergantung pada soalan. Jika disebutkan "Ayam dengan telur" jawapannya adalah ayam kerana itulah yang disebutkan dahulu. Maka ayam adalah dahulu daripada telur.

Jika soalannya adalah "Telur dengan ayam", maka jawapannya adalah telur, kerana telur disebutkan dahulu.

Walau bagaimanapun kuasa Allah mengatasi segalanya. Hal di atas ini sekadar menjawab persoalan mereka yang mahu bermain helah kepada kita. Sekian...


Sunday, May 27, 2012

"Kalian semua faham?"

Proses pengajaran adalah memberi ilmu untuk diterima oleh murid. Murid yang bersungguh dengan keberkatan dari ilmu dan gurunya ini akan melahirkan jiwa yang bersinar ke arah kemajuan dan kematangan dengan bimbingan ilmu yang memberi tunjuk arah.

Proses ini penting bagi memastikan setiap bunga bangsa dan pahlawan agama kita mampu bersaing dan memenangi perlumbaan antarabangsa masa kini. Namun, proses pembelajaran ini kadangkala menimbulkan prasangka dan perasaan yang mencurigakan terutama kepada guru.

Apa yang penulis maksudkan di sini sama seperti apa yang dirasai penulis selepas mengajar di beberapa kelas. Penulis tertanya-tanya satu soalan yang dilabel sebagai soalan maut tanpa jawapan iaitu "bagaimana saya hendak tahu pelajar ini faham?"



Mereka diam, kadangkala tersenyum seorang. Bermain dan berbual dengan rakan sebelah adalah kelaziman. Apatah lagi melihat notebook, guru tidak ada apa yang hendak diperkatakan dan hanya bertanya soalan yang lazim sekali lagi, "Kalian semua faham?"

Justeru, pelbagai cara difikir dan dirancang seterusnya digunakan oleh guru itu untuk memastikan kefahaman mereka ini berada di tahap yang maksimum. Ini penting kerana generasi inilah yang akan menggerakkan negara dan agama kelak. Mereka akan faham perkara ini apabila sampai masanya iaitu setelah mereka menamatkan pengajian dan menjadi guru.

Diharap agar pelbagai kaedah, cara dan method guru yang lemah seperti penulis ini mampu menjana pemahaman yang mendalam kerana insan yang lemah boleh menjadi pembantu dan pendorong jika disertakan dengan kesungguhan dan azam yang benar.

Bak kata pepatah, "Untuk mengubah manusia lain, kita perlu mengubah diri."

Sekian, Salam Hari Guru.... {}:-)=


Monday, May 21, 2012

Ketika Ukhwah Bertasbih...[]:-)=



Ukhwah itu umpama tasbih

Ia mempunyai permulaan namun hujungnya tiada

Apabila tasbih ini berhenti

Rasa cinta dan mahabbah mula membara di dalam diri

Dan kita tahu, sedikit masa nanti kita akan mengulangi tasbih ini kembali

Kerana cinta yang tertanam sudah tersemai erat

Dalam diri manusia yang bergelar umat istimewa

Muhammad Rasul mulia



Tasbih ini untuk mengingati-Nya

Diulang dan diratib demi redha-Nya

Seakan ukhwah yang bertemu dan berpisah

hanya untuk bersemi cinta di hati

Agar gelap pada pandangan cinta dunia

Jelas pandangannya pada nafsu yang sering berkuasa



Ukhwah ini bukannya sekadar teman

Ia hidup dan mati ke akhir hayat

Kerana aku dan kau saling memerlukan

Kerana kita adalah manusia yang tidak sempurna

Kerana itulah turunnya suruhan Ilahi

"Nasihat-menasihati sesama manusia"



Bimbinglah aku agar tasbih ini kekal di hati

Jangan biarkan ia kosong dan terhenti

Kerana ketika uhkwah ini bertasbih

Cahaya petunjuk mula memancarkan seri

Sedar bahawa kita adalah bersaudara

Kita berpisah untuk bertemu semula








Monday, May 14, 2012

Berani Mencuba (Sempena Minggu Bahasa Arab UPM)


Alhamdulillah Minggu Bahasa Arab UPM 2012 melabuhkan tirainya dengan pelbagai aktiviti yang dijalankan. Banyak bakat-bakat terpendam berjaya dicungkil dan bakat yang sedia ada ditambah dan dimurnikan lagi dengan persaingan sihat dan bermutu.

Penulis selaku AJK merasa ia adalah fenomena yang tepat kerana Minggu Bahasa Arab ini adalah medan untuk pelajar mempersembahkan tahap kemahiran tersembunyi masing-masing dengan cara dan situasi terhandal. 


Pelajar dan kemahiran berbahasa memang tidak dapat dipisahkan. Jika dipisahkan, pincanglah ia ibarat memandu tanpa lesen, perhimpunan tanpa permit dan pemimpin tanpa pengikut. Pelajar yang berkemahiran berbahasa yang baik pula ibarat pemandu berhemah atau seperti perhimpunan yang barakah, serta pemimpin yang membawa pengikutnya takut kepada Allah.


Kemahiran adalah nilai tambah dalam CGPA. CGPA yang tinggi tidak bermakna seseorang itu bagus dan berkesan tanpa sijil dan penyertaan mereka dalam aktiviti luar kelas. Kita tidak mahu melahirkan pelajar fotostat yang boleh menghafal nota dan menulis kembali ketika peperiksaan. Kita mahu pelajar menguasai atau sekurang-kurangnya faham dan mampu berkolaborasi dengan ilmu itu.

Inilah yang dikatakan semangat berani mencuba. Dengan aktiviti yang pelbagai, pelajar boleh mencuba aktiviti apakah yang menjadi minat dan kepakaran masing-masing. Selagi mereka tidak mencuba, mereka tidak akan tahu kebolehan mereka. 


Teruskan mencuba kerana manusia ini ada banyak kelebihan. Kita tidak tahu kita mempunyai kemahiran yang bagaimana selagi tidak mencuba. 

Akhir kata, jangan takut untuk mencuba. Jika percubaan kita ini berjaya, kita akan menikmati hasilnya. Dan jika gagal, nikmatilah pembelajaran darinya.

Sekian, []:-)=

Pengarah berjiwa AJK...


 



Thursday, May 3, 2012

ViRuS : Software laptop & Manusia



Assalamualaikum,


Sudah lama rasanya penulis tidak menghantar coretan di sini. Bak kata Tok Guru Zamri (yang memberi tunjuk ajar kpd Penulis), blog hanya untuk kita tahu dan sedar bahawa kita konsisten dalam menulis. Jadi, penulis hanya menulis sedikit tetapi berterusan agar amal ini kekal sepanjang tahun dan bulan mendatang.


Di sini penulis ingin berkongsi kisah laptop yang telah diserang virus TBT (Tak Boleh Tutup) mozila dan kalau berjaya tutup, ia tidak boleh dibuka semula.


Ada tiga situasi yang dikenalpasti oleh penulis iaitu :



Situasi 1 


Alahai, laptop diserang virus. Perlu format. Berhabis duit lagi. fail perlu back up. 

Mencari bahan dalam internet pun susah. Tugasan pasti tertangguh. Kawan-kawan sekumpulan pasti marah...

Malangnya...

Dah nasib badan. Mengapa ia sering terjadi. aduhai....



Situasi 2


Alhamdulillah virus sikit je. Mujur tidak rosak Motherboard, jika tidak sudah pasti perlu beli yang baru.

Sukar mencari bahan dalam internet tetapi masih ada perpustakaan.

Laptop rakan juga boleh digunakan sekali-sekala.

Tugasan tertangguh tetapi jangan terlalu lama. Rakan pasti akan faham masalah kita jika mereka benar-benar rakan yang baik.

Bagus juga virus, sebab memang dah lama tak format. Duit simpanan masih ada jika hal kecemasan begini.

Alhamdulillah, Allah sedang memberi laptop yang baru format. 



Situasi 3


Virus? Menyusahkan? Kerja tangguh? Kawan marah?

Tiada apa yang perlu dirisaukan.

Format baru sahaja. Tidak perlu susah. Hanya 5 atau 6 jam sahaja sudah selesai dibaiki jika hantar ke kedai.

Tidak ada kena-mengena dengan kawan, tidak ada kena-mengena dengan kerja, duit dan sebagainya. Format dan segalanya akan diuruskan...

Usaha dan tawakkal.




Anda berada di situasi mana? Fikir-fikirkan dan zikirkan (ingat)...


Tuesday, April 10, 2012

Pemilik hati Suci


Melihat hujan turun dengan berdendangkan lagu

Hati kita turut berbunga

Menari dengan tarian tanpa arah

Cuba untuk mencapai pelangi

Hingga terlupa bila hujan ini berakhir

Lagu ini akan terhenti

Namun hati kita masih bergelora

Kerana bisikan hati yang kita mulakan

Tidak terbatas sehingga kita mati




Jangan berikan hatimu itu padaku

Penjarakan ia dengan pagar rindu

Biarkan ia kosong agar kembali sunyi

Untuk berfikir tentang tujuan dan destinasi

Apabila cahaya iman itu bersemi

ia akan sedar baik dan buruk

dan tahu bahawa aku adalah dosa baginya




Berikan iman pada hatimu

Lalu berikan hatimu itu padaku

Apabila sampai tempoh waktunya

Jangan kau serahkan hatimu sebelum sampaai waktunya

Kelak kita tidak akan temui jalan pulang

Seperti bayang dalam air

Bila dicapai ia kan hilang

Kerana aku tidak sempurna

Dan kelemahan aku adalah wanita




Bersabarlah dengan kesabaran Maryam

Jangan terpedaya dengan dunia

Sekalipun ia menjanjikan seribu bahagia

Sampai masanya ia akan musnah

Dan hanya meninggalkan titik hitam di dalam hati




Biar berpisah dari bersalah

Biar mati dari mengingkari

Kerana Syurga yang terindah itu

Hanya untuk pemilik hati yang suci






Sunday, March 25, 2012

Minggu Bahasa Arab UPM 2012


Minggu Bahasa Arab : 7-11 mei.

Antara aktiviti : Debat Bahasa Arab, kuiz, esei, multimedia,
dialog, choral speaking

(Hadiah menarik menanti pemenang)





Monday, March 19, 2012

Bagaimana mahu menulis artikel yang baik


Petikan daripada Seminar Penulisan Jurnal 17 Mac 2012 di Fakulti Pendidikan UKM oleh Dr Ghazali Yusri Abd Rahman.

Artikel yang ditolak oleh penerbitan atau jurnal tidak semestinya tidak baik. Mungkin ada kekurangan teknikal sahaja yang menyebabkan ia tertolak seperti format tidak selari, skop jurnal, kelemahan analisis dan sebagainya.

Untuk menghasilkan artikel yang baik, beberapa ciri perlu diambil kira. Antaranya adalah:

1. Tajuk :
Perlu jelas dan melambangkan artikel keseluruhannya. Sebaiknya tajuk perlu menarik dan memukau pembaca.

2. Abstrak :
Pendahuluan ringkas, objektif, metodologi, dapatan dan implikasi (Jumlah perkataan 150-300).

3. Pendahuluan :
Latar belakang kajian, teori, kajian lampau, pernyataan masalah, objektif dan kajian baru yang mahu dipaparkan.

4. Metodologi :
Populasi, sampel, rasional persampelan.

5. Dapatan kajian :
Disusun mengikut soalan kajian. Sama ada statistik atau huraian analisis.

6. Perbincangan :
Kritis dan mantap. Perbincangan dikaitkan dengan teori dan membentangkan dapatan baru dan bandingkan dengan dapatan yang terdahulu. Penulisan perbincangan dilakukan dengan sistematik.

7. Kesimpulan & Cadangan :
Nyatakan sumbangan kajian terhadap keadaan semasa. Pernyataan sumbangan ini boleh juga dilakukan dengan mengambil pandangan mana-mana individu atau kajian sebagai sokongan.

Contoh : Saranan supaya sastera perlu diajar di peringkat sekolah berdasarkan pandangan ..... .

8. Penutup :
Nyatakan dapatan secara ringkas.

9. Rujukan :
Kenalpasti format dan tentukan rujukan 5 tahun sebelum.

10. Biografi (Jika diminta).


*Boleh mengambil salah satu kajian dari jurnal yang mahu dihantar sebagai bahan sorotan literatur sebagai tanda kita membaca jurnal yang mahu dihantar.

*Jangan rasa inferior semasa menulis kerana tiada manusia yang sempurna. Cuma belajar dari kesilapan.



Faktor-faktor artikel ditolak


Petikan daripada Seminar Penulisan Jurnal 17 Mac 2012 di Fakulti Pendidikan UKM oleh Dr Ghazali Yusri Abd Rahman.

Sambungan daripada artikel di bawah iaitu Tips menulis jurnal yang berkesan, artikel ini akan membentangkan beberapa sebab mengapa artikel yang dihantar di jurnal ditolak. Antara sebab itu adalah:

1. Analisis yang sempit dan terhad.

2. Analisis dan perbincangan tidak menarik.

3. Artikel dihantar ke jurnal yang salah.

4. Perkataan tidak mencukupi.

5. Artikel tidak banyak menambah dalam pengetahuan.

6. Artikel berada di luar skop jurnal.

7. Jangkaan jurnal adalah artikel yang lebih tinggi.



Template by:
Free Blog Templates