Dan orang-orang yang bijaksana itu sentiasa mengambil peluang bukannya sekadar menunggu...

Tuesday, January 24, 2012

Elektrik, Angin & Akal


Dalam alam ini, tidak semua yang kita tidak nampak bererti ianya tiada. Ia boleh dibuktikan kewujudannya dengan hasil yang diperoleh.

Sebagai contoh, elektrik tidak boleh dilihat, namun cahaya pada lampu yang menyala adalah bukti elektrik itu ada.

Angin juga tidak dapat dilihat. Namun, apabila melihat pokok bergoyang, bendera yang bertiup, pohon yang melambai, ia adalah tiupan angin yang mendamaikan.

Akal juga tidak dapat dilihat, namun apabila menyaksikan seseorang itu menghasilkan sesuatu atau bertindak, ini membuktikan akalnya wujud dan berfungsi.

Begitu juga dengan Keagungan Sang Pencipta. Akal dan angin menjadi saksi. Kesempurnaan ciptaan ini membuktikan kesempurnaa Yang Maha Mencipta.







Keunikan Bahasa Arab Bahasa Al-Quran


Bahasa Arab adalah Bahasa Al-Quran. Bahasa ini standart dan berseni yang teramat agung. Tidak ada siapa pun yang mampu melawan Bahasa Arab ini. Penyair-penyair agung Arab Jahiliyah menggantung puisi mereka dalam Kaabah sebagai tanda puisi itu adalah yang paling hebat. Namun, selepas kedatangan Al-Quran, kesemua mereka menanggalkan puisi mereka sebagai tanda menyerah kalah.

Salah satu keistimewaan Al-Quran dan Bahasa Arab adalah ketinggian bahasa. Bahasa ini mempunyai perkataan seerti seperti bahasa yang lain namun sebenarnya jika diteliti dengan mendalam, perkataan seerti ini sebenarnya mempunyai sedikit perbezaan di hujungnya.

Sebagai contoh, perkataan Falah (الفلاح) dan Najah (النجاح). Kedua-dua perkataan ini bermaksud kejayaan. Namun sebenarnya ada perbezaan iaitu kejayaan di had atau batasan yang mana.

Falah bermaksud kejayaan jangka masa panjang. Sebab itulah kita temui dalam Al-Quran dalam surah Al-Mukminun : قد أفلح المؤمنون

Kata kerja 'Aflaha' digunakan sebagai tanda orang mukmin ini berjaya dalam jangka masa yang panjang iaitu di dunia dan di akhirat

Begitu juga dengan laungan Azan yang berbunyi :

حي على الفلاح

Maksudnya : Marilah menuju kejayaan. Dengan kata yang lain, marilah menuju kejayaan di dunia dan di akhirat.

Bagi perkataan 'Najah' pula, bagi pelajar Bahasa Arab, kita sering temui perkataan ini dalam karangan, di hujung soalan peperiksaan, di mural sekolah dan sebagainya. Ia merujuk kejayaan jangka masa singkat iaitu peperiksaan.

Justeru, Bahasa Arab adalah bahasa istimewa. Kenali dan pelajarilah bahasa ini kerana ia akan membawa kita kepada keagungan Bahasa Al-Quran dan rahsia-rahsia yang lebih bermakna.

Selamat Beramal []:-)=




Monday, January 23, 2012

Janji



Berjanji itu mudah namun menepatinya adalah sukar. Barang siapa yang mampu melakukan kedua-duanya, dialah orang yang boleh dipercayai.





Sunday, January 22, 2012

Sahabat Terbaik....


Jika kau menjadi pokok, jadilah pokok yang paling tinggi di atas pergunungan..

Jika kau menjadi bintang, jadilah bintang yang paling terang di angkasa..

Jika kau menjadi rumput, jadilah rumput yang paling subur dan menghijau..

Jika kau menjadi burung, jadilah burung yang paling lincah dan bebas terbangnya..

Jika kau menjadi permata, jadilah permata yang paling tinggi nilainya..

dan jika kau menjadi sahabat, jadilah sahabat yang terbaik yang pernah aku jumpa..



Kata-kata Hikmah

Cara terbaik untuk memulakan sesuatu perancangan adalah dengan berhenti bercakap.

Berhati-hati apabila memperkatakan tentang keburukan orang lain kerana pada masa yang sama ada orang yang akan memperkatakan keburukan kita.

Mimpi itu tidak akan menjadi nyata selagi mana kita tidak bangun dari lena.

Tidak lengkap seorang lelaki itu tanpa menulis buku - Pepatah Cina





Cerdik VS Bodoh

Perbezaan antara orang cerdik dan orang bodoh adalah terletak pada bagaimana cara mereka berfikir. Orang cerdik akan berfikir di luar lingkungan orang bodoh.

Saturday, January 21, 2012

Bahasa Arab di sekeliling kita

Anda sukar mempelajari Bahasa Arab? Terlalu banyak perkataan dan kosa kata yang perlu dihafal? Anda menghafal tetapi sukar mengaplikasikannya? Anda mengaplikasi tetapi salah dan berhenti?

Secara teknikal, persoalan di atas telah pun dijawab oleh perkara-perkara atau objek yang berada di sekeliling kita. Buka minda dan perhatikan sekeliling anda apakah objek dan perilaku yang berkaitan dengan Bahasa Arab ini.

Di sebelah anda terdapat buku atau kitab? Anda sedang duduk di atas kerusi? Anda melihat motto sekolah anda Ilmu, Iman dan Amal?

Ini semua adalah perkataan Bahasa Arab yang diterima ke dalam bahasa Melayu. Penggunaannya adalah sama dan membawa maksud yang serupa. Hampir seribu perkataan yang mempunyai sifat sebegini dan akan diterangkan dalam bab yang seterusnya.

Secara ringkas, perkataan seperti kitab (كتاب), Majlis (مجلس) dan Amal (عمل) banyak digunakan dalam bahasa Arab ini. Dengan mengingat unsur dan perkataan biasa dalam Bahasa Melayu ini membantu kita membina ayat dalam bahasa Arab dengan mudah dan ringkas.

Contoh ringkas adalah seperti berikut:

Buku mana yang anda mahu?
أي كتاب تريد؟

Majlis ini amat berfaedah
هذا المجلس مفيد

Apa yang awak lakukan?
ماذا تعمل؟

Justeru, Bahasa Arab berada di sekeliling kita. Nikmatilah ia kerana kita sememangnya telah mempelajarinya secara tidak langsung.


Friday, January 20, 2012

Kesilapan Dalam mempelajari Bahasa Arab


Bahasa Arab sama seperti bahasa-bahasa yang lain dari aspek mempelajarinya. Ia terdiri dari fonem, fonetik dan fonologi. Kita mengenal huruf demi huruf, cara bunyian dan sebutan serta gabungan huruf ini.

Gabungan ini kemudiannya mempunyai makna tertentu. Kalimat seperti "Kataba", hasil gabungan huruf Kaf, Ba' dan Ta' membawa makna menulis atau telah menulis. Penambahan beberapa perkataan lagi akan menjadikan ayat ini sempurna.

Namun, antara kesilapan yang sering dilakukan pelajar tidak kira usia adalah semasa berada di dewan peperiksaan atau ujian bulanan. Dalam subjek Insya' atau karangan, mereka akan dibekalkan dengan karangan dan ia perlu dihafal bulat-bulat. Hafalan ini hanya perlu ditulis kembali semasa peperiksaan ini.

Insya' adalah karangan, dan karangan adalah binaan dan menyusun ayat. Jika pelajar penulis kembali apa yang di hafal, itu adalah subjek hafazan. Pelajar ini diajar untuk menghafal bukannya membina. Kesannya, pelajar ini kemudiannya tidak mampu mencipta karangan tetapi bergantung kepada hasil hafalannya sama ada kena dengan soalan atau tidak.

Justeru, subjek insya' perlu diadaptasi dengan betul dan mereka perlu mengarang untuk mengetahui di mana mereka salah. Jika menghafal dari buku, sudah tentu ayat bahasa itu betul kerana penulis buku itu adalah seorang yang pakar. Tulislah, binalah dan karanglah seberapa banyak yang mungkin atas nama mencuba agar kita memiliki keterampilan dalam berbahasa.

Gambar : Aktiviti Ar-Rabi' Fil Jami'ah 2011 (Bac Bahasa Arab UPM)


Kreativiti dalam Menuntut Ilmu

Ilmu perlu dituntut dan bukannya ia datang sendiri kecuali penuntut atau pelajar itu adalah seorang yang kasyaf atau dianugerahkan ilmu laduni. Pelajar biasa atau manusia normal akan diajar di sekolah dan universiti dan akan diberikan sijil, diploma atau ijazah selepas lulus ujian.

Sistem ini nampak berkesan dengan setiap tahun pihak universiti atau kolej mengeluarkan beribu-ribu graduan setiap tahun. Graduan ini pula semakin bertambah sehingga melebihi permintaan pekerjaan yang tersedia.

Namun, pekerjaan bukanlah aspek utama yang ingin disentuh. Perkara pokok atau dasar dalam isu ini adalah sejauh mana sistem peperiksaan di IPT ini mampu melahirkan pelajar yang kreatif.

Saban hari pelajar pergi kuliah dan pulang. Pada sebelah malam aktiviti mereka adalah menyiapkan tugasan dan membuat nota untuk persediaan peperiksaan.

Rutin ini berulang setiap hari, setiap minggu dan selama enam atau lapan semester. Jadi, bagaimana nilai kreativiti seseorang pelajar itu jika diarah melakukan ini sahaja tanpa menonjolkan kemampuan diri.

Tidak semua pelajar menonjolkan diri dalam beberapa entiti atau organisasi seperti Majlis Perwakilan Pelajar, Majlis Tertinggi Mahasiswa, persatuan dan kelab. Hanya sepuluh peratus sahaja yang menceburi dalam aktiviti ini.

Selebihnya, mereka diajar untuk mengikut dan terus mengikut. Peraturan demi peraturan, skema demi skema sehingga ada lagi masalah pelajar yang menghafal nota seratus peratus menjadikan intelektualnya skema, seperti dirinya.

Natijahnya, apabila mereka keluar bekerja kelak sebagai guru atau pegawai, mereka sekali lagi akan melahirkan generasi pelajar yang perlu mengikut peraturan dan skema. Akhirnya nilai kreativiti diabaikan dan fenomena ini akan menjadi satu kitaran semula yang menakutkan.

murid diajar mengikut peraturan guru dan guru perlu mengikut peraturan kementerian. Bukan berniat untuk menyalahkan sesiapa, cuma berniat mahu nilai kreativiti ini diutamakan. Kita tidak mencari pelajar yang menghafal nota dalam buku tetapi mencari pelajar yang mampu memanipulasikan nota itu membentuk satu perkara yang baharu.

Dengan ini, pelbagai ilmu baharu dan percubaan berani mati mereka akan meningkatkan nilai intelektual seterusnya membentuk generasi yang kreatif dan inovatif serta tidak mengenepikan unsur menghormati dan mematuhi peraturan..


Arab VS Melayu


Sedikit perkongsian tentang orang Arab dengan orang Melayu. Ada satu perkara utama yang membezakan dua bangsa ini iaitu gaya percakapan.

Orang Arab lebih lantang bersuara dan tidak menyembunyikan perasaan. Jika terjadi kemalangan kecil atau berebut parkir, mereka akan terus berkelahi. Setelah penat, mereka berbaik semula seperti sahabat yang sudah lama tidak berjumpa.

Begitu juga dengan ucapan terima kasih. Mereka lebih kerap berterima kasih sedangkan orang melayu agak pemalu dengan ucapan ini. Kita sukar berterima kasih seolah-olah lafaz ini terlalu berat dan mahal untuk diungkapkan.

Orang Arab juga suka bercakap. Entah apa yang mereka utarakan dan bicarakan, mereka sahaja yang tahu. Orang Melayu agak pendiam tetapi dibuktikan dengan perbuatan. Kita banyak bekerja daripada bercakap. Orang Arab pula bercakap tetapi kadangkala mereka tidak melakukan apa yang mereka bicarakan.

Justeru, perbezaan ini adalah untuk kita saling menghormati dan kenal sesama manusia. Indahnya manusia mengingatkan kita kepada Kesempurnaan Yang Maha Mencipta.




Thursday, January 19, 2012

Cahaya Petunjuk


Berapa banyak jalan dan liku yang harus ditempuh

Dalam menghahrungi perjalanan yang panjang ini

Beribu halangan yang tiba

Menjadi duri kepada jiwa

Yang menyesakkan nafas dan minda




Justeru pintalah petunjuk daripadaNya

Kerana dalam petunjuk itu ada hikmah

Dalam hikmah ada cahaya

Cahaya ini akan menghidupkan hati nurani manusia

Yang telah lama gersang

Diselubungi kegelapan berpanjangan




Petunjuk ini perlu dicari bukannya dinanti

Janji Allah kepada siapa yang berusaha pasti berjaya

Siapa yang mencari pasti akan menemui hikmah itu

Dan siapa yang menemuinya pasti akan bahagia




Petunjuk itu adalah hidayah

Bagi hati yang tenang

Dan jiwanya tertera kalimah mengagungkan Tuhan

Maka carilah ia

Dengan hati yang ikhlas

Dengan tabah dan sabar

Dengan seluruh jiwa raga








Dunia Akhir Zaman



Dunia di akhir usia

Ramainya wanita yang berhijab

Namun hijab itu tidak menutup auratnya

Hijab itu hanya hiasan kepala

Bukan sebagai ibadah

Buat bekalan sebelum tibanya hari perhitungan




Dunia akhir zaman

Ramainya lelaki bergelar pemimpin

Dengan pimpinan yang kacau bilau

Pemimpin ini tidak menyatukan

Hanya sibuk dengan angan-angan

Dah rakyat terus menaruh harapan




Dunia akhir zaman

Ramainya manusia berpasang-pasangan

Bukan dengan jalan perkahwinan

Bahkan melanggar batas agama

Berduaan dan berpegangan

Atas nama cinta dunia

Dan syaitan pun bertepuk tangan




Dunia akhir zaman

Ramainya yang membaca Al-Quran

Namun hanya sedikit yang memahaminya

Yang memahami tidak pula mengamalkannya

Yang mengamalkan pula tidak mampu berterusan

Maka tersesatlah manusia tanpa petunjuk teragung ini




Dunia akhir zaman

Kembalilah ke pangkal jalan

Sebelum datangnya masa perhitungan

Kerana dunia ini hanya ilusi

Apabila mata terpejam kita bangun dari mimpi

Pada hari yang tiada siapa menemani

Hanya amalan dan pegangan jadi saksi




Ingatlah wahai penghuni akhir zaman

Bila dunia ini berakhir

Dunia yang kekal abadi akan menjelma



Bahasa Al-Quran

Tujuan belajar bahasa adalah untuk matlamat yang pelbagai. Ia bermula sejak zaman dahulu lagi di mana manusia mempelajari bahasa untuk maju dalam kehidupan. Dengan menguasai bahasa yang lain, sesuatu bangsa itu akan dapat memperoleh ilmu dan kemajuan bangsa yang satu lagi.

Sejak zaman Rom dan Parsi lagi, manusia sudah mula mempelajari bahasa lain. Tawanan Rom akan dipaksa mengajar bahasa ibunda mereka itu kepada Parsi dan sebaliknya. Mereka mahukan kekayaan, kekuasaan, kemegahan tamadun dan kegemilangan ilmu dan ini semua memerlukan penguasaan dalam bahasa lain.

Zaman kini kita mempelajari bahasa dengan tujuan yang sama dalam kaedah serba moden. Bahasa lain dipelajari untuk tujuan politik, ekonomi, sosial dan ilmu. Unsur komersial juga adalah aspek penting dalam mempelajari sesuatu bahasa.

Justeru, pentingnya mempelajari bahasa lain supaya kita lebih maju dalam hidup, lebih berprinsip dan pedoman setanding dengan bangsa-bangsa lain. Apatah lagi dalam mempelajari Bahasa Arab, kita dapat memahami induk segala ilmu iaitu Al-Quran. Pelajarilah ia kerana ini adalah saham kita di akhirat kelak.


Berpada dalam bercinta


Kata orang tua-tua

Jika menadah air biarlah berpada-pada

Jika penuh nescaya ia mengalir keluar

Maka jadilah membazir namanya



Dalam erti jiwa orang muda-muda

Jika bercinta biarlah berpada-pada

Kelak pada suatu ketika

Masa mungkin merubah segalanya

Cinta muda ini menjadi benci sekelip mata



Ini juga adalah pesanan nabi

Dan orang tua-tua sekadar mengingati

Cinta ini adalah air dan api

Sejuk dan panas

Mengalir dan membara

Benci dan suka



Dan ingatlah wahai hati

Bercinta berpada-pada

Membenci ada batasnya

Kelak benci bertukar suka

Ada kalanya suka menjadi benci

Sentiasalah berwaspada



Dua Jalan


Dua jalan di daerah sana

Jalan manakah yang akan kita lalui

Yang pasti hanya ada satu jalan untuk ditujui

Beribu-ribu amalan tertanggung

Menjadi jaminan atau beban

Nescaya akan menentukan jalanan



Lihatlah dunia dari dalam hati

Atau nilai hati dari sudut pandang dunia

Mana satukah pilihan kita

Dalam diri ada nafsu

Dalam nafsu ada mutmainnah

Jadi mengapakah kita sering terleka



Di sini destinasi persinggahan

Membawa bekal dan harapan

Dengan hati setulus keimanan

Kadangkala tersalah laluan

Bekalan yang tidak mencukupi

Bila-bila masa sahaja akan habis dan mati



Dua jalan ini adalah jalan terakhir

Dengan rahmatNya kita di jalan bahagia

Semoga dijauhkan dari laluan duka

Kerana sesungguhnya api yang menyala itu

Sentiasa membakar dan azabnya sangat pedih



Semoga perjalanan di dunia ini

Tidak terkeluar dari landasan iman

Pimpinlah jiwa ini ke jalan kebenaran

Kerana sebaik-baik bekalan

Adalah keikhlasan hati dan amalan yang terbukti


Wednesday, January 18, 2012

Niat : Target dan Sasaran


Niat adalah teras dalam sesuatu perbuatan atau perkara yang kita lakukan. Dengan niat yang murni insyaAllah apa yang kita lakukan akan diterima sebagai ibadat di sisi Allah. Namun, jika kita tidak berniat atau tersalah niat, dikhuatiri pekerjaan yang dilakukan tidak mendatangkan pahala.

Niat dalam solat umpama teras. Jika tiada niat, solat kita tidak akan diterima meskipun kita solat dengan khusyuk dan membaca surah yang panjang. Begitu juga dengan ibadah puasa. Jika kita tidak berniat, puasa sepanjang hari itu hanya akan mendapat lapar dan dahaga.

Begitulah diumpamakan niat dalam menuntut ilmu. Ilmu adalah cahaya, dan cahaya akan bersinar. Namun, jika menuntut ilmu ini tidak berbekal dengan niat yang benar, nescaya cahaya ini akan malap dan terpadam.

Ia diumpamakan seperti seorang pemanah. Jika pemanah ini mahu memanah, perkara pertama yang perlu ada dalam mindanya sebelum mempunyai alat memanah adalah target. Tanpa target, pemanah ini akan terhenti untuk menarik busur kerana tiada arah tuju. Target inilah diumpamakan seperti niat.


Justeru, niat yang benar adalah penting dalam menentukan haluan sesuatu pekerjaan. Haluan yang bermatlamat inilah yang mampu diteruskan bagi menjayakan pekerjaan yang dirancang, hanya dengan niat yang benar.

Sekian, selamat beramal. []:-)=


Bahasa Arab : Malaysia vs Arab


Apakah perbezaan antara belajar Bahasa Arab di malaysia dan belajar Bahasa Arab di Negara Arab?

Sudah tentu perbezaannya amat ketara. Masing-masing mempunyai perbezaan yang tersendiri.

Di negara Arab. percakapan dalam bahasa ini sering digunakan. Dari urusan membeli di kedai runcit sehinggalah di dalam kuliah, hanya Bahasa Arab yang digunakan berbanding dengan di Malaysia.

Begitu juga dengan aspek pembacaan. Bahan bacaan di sana kesemua dalam Bahasa Arab sedangkan di Malaysia, rujukan Bahasa Arab pun ada dalam Bahasa Melayu. Dengan tujuan untuk memudahkan rujukan, akhirnya tujuan ini memakan diri apabila Bahasa Arab ini hilang sedikit demi sedikit.

Hanya dalam bidang penulisan sahaja pelajar di Malaysia mempunyai persamaan dengan pelajar di Tanah Arab. Dalam peperiksaan, sistem bahasa yang digunakan adalah sama. Seringkali ayat yang tunggang-langgang tidak diambil kira. Hanya isi penting sahaja yang membolehkan pelajar itu mendapat markah.

Namun, belajar di Negara Arab ini ada keburukannya juga. Pelajar ini sedikit sebanyak mula dipengaruhi oleh Bahasa pasar. Perkataan seperti 'malish' (Tak mengapa, maaf) dan 'dieq' (Tepung) amat jauh dari sebutan sebenar iaitu Ma alaika dan Daqiq.

Hanya suasana di negara Arab sahaja yang menjadi pendorong untuk pelajar ini mahir dalam Bahasa Syurga ini.

Sejauh manakah bahasa Arab ini boleh berkembang jika hanya mempelajari bahasa ini di Malaysia? Nantikan dalam artikel akan datang, InsyaAllah.

Pucuk pangkal dalam hal ini adalah Azam dan kesungguhan.


Dunia Ilusi


Hidup ini ilusi

Gambaran yang bergema di minda

Jiwa yang merasai kehangatan mentari

Mata yang merenung purnama

Dan tulang empat kerat yang mendari puncak emas dunia



Segala ini hanya sekelip mata

Apabila mata kita dipejamkan

Nyawa pinjaman ini akan dipulangkan

Dan segunung emas yang dicari selama ini

Hanya akan bertukar menjadi beban yang amat berat



Begitulah gambaran dunia ini

Ilusi yang membutakan mata

Memekakkan telinga yang hanya mahu mendengar berita gembira

Perkhabaran yang menakutkan tentang azab

Hari kiamat dan pembalasan tidak mahu didengari



Dunia ini tetap ilusi

Pejamkan mata dan lihat dengan mata hati

Kita sebenarnya terlena

Dibuai mimpi indah tentang dunia yang hina

Sampai waktu nanti kita akan terjaga

Pada hari yang tidak berguna sebarang harta




Saturday, December 31, 2011

Karya : Antara Ilmu dan Kreativiti


Firman Allah SWT dalam Surah As-Syu’ara’ ayat ke-224 :

“Dan penyair-penyair itu diikuti oleh orang-orang yang sesat”.


Baru-baru ini penulis menonton beberapa filem di Youtube dan berasa hairan, hasil kutipan filem itu mencecah 10 ribu filem lain juga tinggi, namun filemnya tidak sehebat mana. Aksi berpelukan bukan mahram dan cerita hantu yang tidak bermatlamat ini mendapat sambutan yang menggalakkan.

Secara kasar dan secara tidak langsung ia menggambarkan rakyat Malaysia yang dalam Negara Islam ini hanya meminati cerita sebegini. Ada pengajaran menurut pengarah filemnya namun keburukannya amat tinggi. hampir setengah jam berpelukan lelaki dan perempuan barulah ada nilai baik.

Malah, pelakon-pelakon ini juga yang akan diberi anugerah kerana berpelukan 'dengan baik dan menjiwai watak'. Ya Allah. apakah yang akan terjadi dengan negara Islam ini?:s

Ia bertepatan dengan ayat Al-Quran di atas yang menerangkan seorang penggiat seni itu termasuk dalam golongan yang lalai. Kemudian ayat di atas diikuti dengan "Kecuali orang-orang yang takut kepada Allah".

Namun, ada juga karya yang baik dan mencerminkan Islam yang sempurna tanpa berpeluk-peluk dan maksiat yang lain. Umpama Novel di atas atau beberapa novel lagi yang mencerminkan Islam dan Qiam An-Nabilah. Dalam novel ini umpamanya diterangkan batasan lelaki dan wanita, tatacara hidup yang menurut Islam dan matlamat hidup selain jalan cerita yang tidak membosankan.

Penulis tertarik dengan kata-kata watak di dalamnya iaitu Naurau Salsabila yang mengatakan bekerja sebagai pembantu perubatan juga satu tugas mulia. Setiap hari berdepan dengan kes kematian akan mengingatkan diri sendiri tentang mati.

Juga kisah Abid dan Mulhid yang diselitkan secara sampingan dalam cerita ini menepati ciri-ciri karya islamik yang mengutamakan pengisian ilmu di dalam sebuah karya itu dan bukannya nilai kreativiti semata-mata.

Hakikatnya, pembaca dan penonton perlu berubah. Jangan tertarik dengan satu karya yang mempunyai unsur-unsur maksiat kerana dibimbangi hati menjadi gelap. Sinarilah dengan karya Islam yang memberi pengajaran dan tauladan dalam usaha membentuk diri mendekati Allah.

Selamat beramal...[]:-)=



Salam 2012 : Hidup Mahasiswa.. Salam Perjuangan...




‎" Dan jangnlah kamu cenderung kepada orang orang yang zalim, yang menyebabkan kamu disentuh api neraka, dan sekali-kali kamu tiada mempunyai seorang penolong selain daripada Allah, Kemudian kamu tidak akan diberi pertolongan.( Hud: 113 )

Isu suara mahasiswa dalam politik memang isu panas. Ini terbukti dengan kejatuhan kerajaan Afghanistan hasil daripada kebangkitan mahasiswa yang mewakili masyarakat. kerajaan-kerajaan lain mula mengawal tindak tanduk golongan terpelajar ini supaya tidak bersuara dan hanya menurut perintah.

Namun, mahasiswa tetap mahasiswa. Mereka juga adalah rakyat. Mereka juga ada suara dan hak bersuara. Faktor kuasa mahasiswa dalam mempengaruhi kerajaan dikatakan salah satu daripada empat tunjang utama kerajaan. Suara mereka amat bermakna. Jika golongan ini tunduk kepada pemerintah maka di mana letaknya maruah mereka dan hak mereka.

Hari ini sekali lagi mahasiswa dikaitkan dengan politik dan hak bersuara. Undang-undang ciptaan sendiri digunapakai untuk melindungi Si Pembuat Undang-undang ini. Maka, Mahasiswa perlu bersuara. Walaupun segolongan rakyat yang telah "Hidup selesa menunggu mati" berkata mahasiswa perlu belajar sahaja, namun takkan nak tunggu buku teks mahasiswa dirampas baru mereka perlu bertindak.

Suara mereka adalah pendapat. Suara mereka adalah hak mereka. Mereka bersuara sekadar menuntut hak dan menegur. Jangan pula suara mereka ini dibalas dengan darah dan pukulan. Mereka hanya bersuara selagi mana mampu. Kerana mereka juga manusia. Jika mereka salah, tegur dan didik mereka dengan CONTOH yang baik. Didik dengan pukulan hanya memburukkan keadaan...

Salam 2012 : Hidup Mahasiswa.. Salam Perjuangan...

Tuesday, December 13, 2011

Kenderaan ke Syurga


Kita mengejar kebahagiaan di Sana tetapi kita tidak mengikut jalan itu, dunia ini hanya kenderaan ke destinasi yang Hakiki tetapi kenderaan ini kita hiasi dengan begitu mewah sehingga melalaikan kita..



Takbir Empat Kali



وَمَنْ فَاتَهُ التَّعْلِيمُ وَقْتَ شَبَابِهِ * فَكَبِّرْ عَلَيهِ أَرْبَعَا لِوَفَاتِهِ



Syair : Imam As-Syafi'e


Sesiapa yang tidak manfaatkan masa mudanya untuk menuntut ilmu, maka bertakbirlah empat kali sebagai tanda kematiannya


Bersungguh dalam berusaha


Mulakan usaha hari ini dengan mengingati satu perkara asas yang penting :


Sesungguhnya Allah menyukai orang yang apabila dia melakukan sesuatu, dilakukannya dengan bersungguh-sungguh.


p/s : Selamat berjaya kepada rakan2 utk temuduga J-Qaf

Tuesday, December 6, 2011

Tanya sama pokok


Aku bertanya kepada pokok


Mengapa kau memberi buah yang enak


Kepada manusia yang membaling kau dengan batu


Lantas dia menjawab telus


Jika aku memberi mereka batu


Aku dan mereka tiada bezanya




Aku bertanya lagi kepada sang pokok


Apa yang ada di balik hijab ini


Lantas dia menjawab


Taman Syurga yang indah sudah dijanjikan


Jiwa yang mula bercahaya meminggirkan kegelapan


Membezakan manusia yang buta mata atau buta hati




Aku bertanya lagi kepada pokok


Bilakah kau akan dijulang oleh manusia ini


Lantas kau menjawab


Aku dan manusia tiada bezanya


Hakikat kehidupan ini tiada satu pun milik kita


Bila aku sudah mati, mereka pasti menjulangku


Untuk membawa aku ke tempat asalku




Aku bertanya lagi kepada pokok


Mengapa keyakinan kau bergoyang


Adalah angin yang menggoncang


Atau burung yang menumpang.


Tetaplah kau berdiri teguh dan berani


Kerana selepas badai taufan menjelma


Episod ini akan menjadi ingatan


Dan hari baru
kembali bermula





Template by:
Free Blog Templates