Dan orang-orang yang bijaksana itu sentiasa mengambil peluang bukannya sekadar menunggu...

Monday, January 7, 2013

Jalan Keindahan


Jalan di hadapan penuh ketakutan
Si musafir itu akan terpaku di jalan ini
Dia takut akan segalanya
Takut akan duka dan gelita sepanjang perjalanan
Tanpa mengetahui takut itu adalah mainan jiwa
Takut itu melahirkan pengembara yang waspada

Lalu kita nyanyikan lagi damai untuk hilangkan resah di jiwa
Kita selamat dalam kabus alpa yang menggila
Kita bangunkan singa dari jiwa yang roboh
Dek gelita yang tidak berpenghujung
Realitinya kita dan dia tiada beza
 
Perjalanan yang ditunggu kini semakin menjauh
Sama ada kita tersenyum atau berkerut dalam duka
Dua jalan dibuka untuk pilihan minda  
Sama ada jalan mudah yang diduga
Atau jalan sukar yang dicela

Jalan itu tidak lagi perlukan pendekar yang gagah
Hanya si pemuda yang dijiwanya penuh tabah  
Untuk menghentikan getaran bumi ini 
  Dengan rasa gentar yang disantuni
Untuk mengeluarkan singa yang sedang sembunyi  
Dan helang yang sedang berlegar

Langit yang bergema halilintar  
Dan laut yang menjadi merah dengan darah
Dan kembali jernih dengan air mata
Menjadi hiasan sepanjang jalanan
Selain lembayung yang bertukar warna

Di jalan ini tiada bunga yang mekar Dan unggas yang bernyanyi riang
Hanya lagu dari bom dan senjata ati
Sebagai tanda jalan ini berduri
Aku perlu tamatkan ia sebelum jalan ini menamatkan aku
Apabila jalan ini sudah tamat Kita akan diserang kesamaran
Kita lihat rambut manusia sama sahaja
Kita bongkar kitab suci mereka hanya ajaran mulia
Bagaimana datangnya penindasan dan fitnah
Adakah dari pilihan mereka
Atau hati yang tidak dapat dibaca
Jalan ini membawa manusia kepada kebenaran
Agar semua manusia dapat hidup sempurna
Ketakutan dan fitnah hanya dalam bahasa mati
Tidak disebut kecuali dalam indeks kitab jadid


Jalan Yang Tidak Dilalui (2)


Apa pilihan yang manusia ada
Ketika jalan tiba di bukit,
Sama ada turun dengan laju atau naik dengan kesusahan
Masuk ke dalam gua yang gelita atau tunggu gua itu membuka jalan
Menang dalam kesusahan atau tunggu kemenangan datang dalam angan


Terlepas dari mulut singa masuk pula ke mulut buaya
Pepatah ini mengatakan hidup adalah ujian
Dan apabila selesai satu ujian datang pula ujian yang lain
Manusia tidak akan boleh menang melainkan dengan sabar dan berani
Sabar dengan iman dan kesemuanya akan menjadi senang
Berani dengan rasa takut tetapi masih bersenjatakan doa yang tajam


Risau ada wajah yang dikenali ketika menghampiri penamat
Adakah itu seteru atau musuh dalam buku
Wajah itu tersenyum dengan senyuman yang menggoda
Namun ingatlah bahawa hati manusia ini berbeza
Sama ada ia merah yang membakar atau putih dan bersinar


Mara dengan doa dan harapan
Harungi jalan ini kerana di hadapannya ada musim bunga
Tiba ke destinasi dan nikmati keindahannya
Kerana setelah perjalanan yang penuh sengsara, keindahan menanti.
Sesungguhnya bersama-sama dengan kesusahan itu adalah kesenangan


Jalan Yang Tidak Dilalui




Resah ini tidak pernah hilang
Selagi perjalanan ini masih belum sempurna
Gerakkan hatiku untuk memandang cahaya itu
Kerana hujungnya ada sesuatu yang bersinar di hati


Apabila peta jalanan ini hilang
Jalan ku sumbing dan tenggelam
Tanpa suara sumbang yang mencela
Aku tetap tidak melangkah dan ternganga


Lidahku menjadi kaku sekaku langkahku
Ia belum berakhir selagi langkah ini belum bermula
Ku berhadapan dengan jalan yang gelita
Sedang di hatiku tersemat impian yang menyala


Kulangkahkan kaki menuju haluan
Sedang tiada musuh atau sekutu di jalan ini
Dua baris keramat sentiasa meniti di bibir
Jalan ini jalan yang tidak dilalui
Hanya yang tabah dan sabar akan menempuh kejayaan
Sunyi yang membayangi gelita ini
Mengundang gerimis di hati
Memadam rindu pada hujung jalan
Menjadikan hala dan azam lebur di pertengahan 


Namun sentiasa sematkan dalam diri
Perkara yang terbaik bukanlah tiba di hujungnya dengan jaya
Tetapi ia datangnya dari jalan yang berliku
Dari pengalaman kita bersabar dan berani
Dari kita membenci sesuatu yang baik untuk diri





Pedulikanlah mereka yang berkata ‘tidak’
Pekakkan telinga biar suara merdu itu memujuk
Halang ia dari menjadi sebahagian dari diri itu
Kerana kalimah itu datangnya dari orang yang sentiasa berkata ‘tidak’




Jalan berliku ku harungi dengan tenang
Tanpa sesalan dan tanpa
Makin jauh perjalanan makin dekat dengan harapan
Luas pandangan ini terasa sebuah pengorbanan
Jalan ini tidak sempurna seperti dirancang
Seolah-olah merancang gagal kerana gagal dalam merancang


Sunday, December 9, 2012

Zon Selesa Harimau Malaya



Selamanya..... Selamanya.... 
Selamanya..... Harimau Malaya!

Begitulah laungan lagu yang dinyanyikan di Stadium Bukit Jalil ketika Malaysia bertemu Thailand. Ramai yang menjangka kita mampu menjinakkan Thailand namun keputusan seri pula yang dicatat.

Penulis tidak mahu menyentuh soal pemain mahupun jurulatih, tetapi sekadar berkongsi satu paparan daripada pengarang buku The Success Principles iaitu Jack Canfield. Ia berkaitan Zon Selesa dan faktornya dalam mempengaruhi minda seseorang.

Zon selesa yang dimaksudkan adalah kawalan minda manusia apabila berada di satu tempat atau situasi, ia akan berfungsi untuk menyatakan tempat atau keadaan ini mencemaskan ataupun sebaliknya. Contoh mudah, apabila si miskin berada di The Mines, Petronas Twin Tower atau Bukit Bintang, Zon selesa mereka akan berfungsi menyatakan ini bukannya tempat mereka.

Dalam perlawanan tempoh hari juga, penulis menyaksikan perayaan gol jaringan Shahrul Idlan yang akan keterlaluan sehingga keluar dari padang menuju penonton. Ini diikuti oleh rakannya yang lain akibat terlalu gembira dengan jaringan. 

Secara teorinya, Zon Selesa ini turut berperanan atau terkesan dengan tindakan yang dilakukan. Zon selesa beberapa pemain telah meningkat dan menjadikan mereka berpuas hati dengan gol dan situasi tersebut. Akibatnya, mereka hanya bertahan dan mengharapkan keputusan itu kekal untuk dibawa ketika aksi timbal balik minggu hadapan.

Justeru, buat pemain dan peminat, kenali dan awasi zon selesa anda agar tidak cepat berpuas hati dan terlalu gembira dalam perjuangan. Pastikan zon selesa anda berada di tahap rendah agar sentiasa berada dalam keadaan kecemasan dan bingkas memperbetulkan situasi bahaya itu. 

Ikhlas : Peminat Selamanya Harimau Malaya.

 

Monday, November 19, 2012

Darah dan Air Mata Palestin

 
 

Malam ini aku adalah pejuang, sejak mereka (Israel) memulakan serangan yang dahsyat.

Tiada bantuan sedangkan seluruh alam mengetahui perkhabaran ini

Ini bukanlah lagu tangisan atau rintihan dan ratapan dalam puisi.

Bahkan adalah kerinduan pada tentera Allah yang hadir bersama pertolongan (Nya)

Tidak sesekali aku tinggalkan bumi di mana tempat bermula perjalananku (hidupku).

Di sinilah cinta yang tidak tercapai oleh manusia, lebih tinggi dari langit dan bulan.

Aku harus memenangi pertempuran ini, sebelum pertempuran ini memadamkan masaku (menemukan ajalku)

Malah engkau tersenyum dan tertawa ketika berita ini kedengaran tentang apa yang berlaku di mata manusia.

Engkau masih mendiamkan diri di rumah yang selesa dan engkau menciptakan musuh dalam dirimu sendiri secara rahsia.

Aku kasihan akan engkau kerana tidak ada kerisauan tentang saudara engkau di waktu malam dan pagi.

Jika engkau berada di belakang tirai (peperangan ini) engkau akan lihat kami berlumuran darah dan air mata seperti hujan.

Wahai sahabatku inilah perjuangan kita, ingatlah bahawa kita adalah muslimin dengan kekuatan dan kesabaran.

Mungkin kita dari dua dunia yang berbeza namun ketahuilah bahawa agama kita adalah agama Yang Maha Perkasa.
 
 
 

Thursday, November 1, 2012

Hati, Akal & Nafsu

 


Semasa pembentangan kertas kerja di KUISAS, Perak, penulis ditanya tentang salah satu puisi Imam As-Syafie yang berbunyi:



Ilmuku sentiasa bersamaku.Ia amat bermanfaat bagiku bila diamalkan. Hatiku adalah gedung ilmu, dan bukan perut yang menampungnya.
Ketika aku berada di rumah, ilmuku berada di sana. Dan ketika aku pergi ke pasar, ilmuku selalu mengikutiku ke mana jua aku pergi.


Soalan daripada salah seorang peserta itu pula mengatakan bahawa akal atau otak yang memainkan peranan sebagai penggerak dan berfikir secara kognitif, bukannya di hati. Justeru, mengapa Imam Al-Syafie mengatakan Hati adalah segala-galanya?





 Hal ini kerana (pada pandangan dan kajian penulis) unsur hati ini adalah lambang yang terbaik untuk menggambarkan penggunaan kuasa dan kepimpinan seseorang. Hati adalah raja bagi sekujur tubuh dan rakyatnya adalah anggota badan yang lain. Apabila raja ini rosak dan fasik, maka sudah pastilah rakyatnya akan melakukan perkara yang sama atau ditimpa musibah. Namun, jika raja ini berilmu dan terpimpin, sudah pasti negara akan maju dan makmur.

Ini bertepatan dengan Hadith Rasulullah S.A.W. yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang bermaksud, “Sesungguhnya dalam jasad anak Adam itu ada seketul daging, jika ianya baik nescaya baiklah anggota tubuhnya dan jika jahat, nescaya jahatlah seluruh anggota tubuhnya.Ketahuilah itu adalah Qalb (Hati).”
 
Hati yang mengawal segala perbuatan. Akal membekalkan ilmu dan maklumat tentang kesan dan akibat sesuatu perbuatan. Nafsu pula pada kebiasaan orang sederhana, ia mempengaruhi ke arah kejahatan, walaupun nafsu juga boleh digunakan ke arah yang baik dan gemilang.

Justeru, dengan ilmu dari akal dan hasitan nafsu, HATI yang akan membuat keputusan sama ada mahu memilih yang baik atau buruk. Hati adalah pusat dan segala-galanya bagi manusia. Jagalah hati dengan baik kerana ia adalah tempat yang suci dan jangan kotorinya dengan dosa.


[]:-)=

 

Template by:
Free Blog Templates