Dan orang-orang yang bijaksana itu sentiasa mengambil peluang bukannya sekadar menunggu...

Wednesday, June 22, 2011

Skrip Penjajahan (Bahagian 1)


Negara sudah tidak seaman dulu. Ada sahaja serangan yang berlaku. Dari satu tempat ke satu tempat, peperangan terus melanda dan negara terus bergolak. Rakyat menjadi korban peperangan. Mereka menjadi pelarian, namun nasib mereka tidak berubah. Mereka terus diburu dan dibunuh oleh tentera penjajah. Hubungan luar Negara Gamma sudah terputus. Tentera Imperialis Agung dari pihak KALA pula berada di mana-mana. Pekerjaan dan persekolahan juga terpaksa dihentikan. Keadaan Negara dilanda darurat. Rakyat tidak dibenarkan berhimpun di luar. Sesiapa sahaja yang didapati mencurigakan akan ditangkap dan selepas itu khabar tentang mereka tidak kedengaran lagi.


“Kalaulah aku ada kemampuan dan kuasa untuk menghapuskan musuh ini alangkah bagusnya,” kata Presiden Negara Gamma, Zeto Valdas yang sememangnya tidak mampu berbuat apa-apa untuk menangkis serangan luar. Komander Orrey tersenyum sinis. Memang sudah kerap dia mendengar angan-angan Ketua negaranya yang tiada kesudahan itu. “Jangan nak beranganlah Tuan Zeto, yang berkuasa untuk menghentikan peperangan ini hanyalah serangan balas. Setelah kita berjaya menewaskan tentera musuh, barulah mereka akan keluar dari Negara ini,” balas Komander Orrey yang agak marah dengan Presiden Zeto kerana tidak membenarkannya membuat serangan ke atas Imperialis yang menjajah negara itu.


Presiden Zeto terdiam. Nafasnya ditarik panjang. Buat seketika beliau tidak meneruskan kata-katanya. Beliau memandang sekeliling. Sebenarnya mereka berada di sebuah Bangunan Trapezium yang hampir musnah akibat bedilan jet pejuang musuh. Bangunan ini jugalah dahulunya adalah sebagai pusat pemerintahan kerajaannya yang juga sebagai lambang keagungan Negara Gamma sehinggalah Imperialis datang menyerang. Alasan pihak KALA adalah untuk mencari kumpulan penjenayah antarabangsa yang mana dalangnya adalah Puak Gamma. Belum pun sempat berita ini disahkan, serangan untuk menawan Negara Gamma telah dilancarkan. Nyata ini Cuma alasan Tentera Pihak KALA untuk menawan negara yang penuh dengan hasil buminya ini.


Presiden Zeto juga telah mengeluarkan bantahan rasmi kepada pihak yang terbabit dan meminta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengambil tindakan tegas. Walau bagaimanapun, disebabkan badan dunia itu dipengaruhi oleh kuasa-kuasa besar, bantahan yang dibuat oleh Presiden Kerajaan Gamma itu hanya tinggal bantahan.


“Bukan aku sengaja tak benarkan tentera kita membuat serangan ke atas musuh. Tapi bukankah semua ini hanya sia-sia? Kekuatan musuh adalah seramai sepuluh kali ganda lebih besar dari kita. Peralatan senjata mereka pula adalah yang tercanggih dan moden di dunia ini. Sudah pasti kita akan kalah,” terang Presiden Zeto. Komander Orrey agak berang memandang gelagat Presidennya itu. “Jadi, Tuan sangguplah melihat rakyat kita yang telah tergadai nyawa menjadi kubu demi keselamatan kita sedangkan kita hanya berdiam diri sahaja dalam bangunan ini?” balas Komander Orrey. “Bukan begitu maksudku,” Balas Presiden Zeto. “Aku juga tidak sanggup melihat rakyat jelata dibunuh. Tapi hanya inilah satu-satunya cara untuk meraih perhatian dan simpati dunia agar memberikan bantuan kepada kita dan mendesak pihak penjajah keluar dari negara ini,” tambah Presiden Zeto.


“Tidak, Tuan harus tahu. Aku sanggup mati demi rakyat Gamma. Walau seinci tanah dijajah, selautan darah akan ku tumpahkan! Aku tak sanggup berdiam diri lagi, Tuan!” balas Komander Orrey, kemarahan. “Jangan bertindak membabi buta Komander. Serangan tentera kita tidak mampu menumpaskan walau dua angkatan perang mereka. Aku tidak mahu kau gugur begitu sahaja,” jawab Presiden Zeto, perlahan, yang berdiri di pintu sambil menepuk bahu Komander Orrey.


Komander Orrey akur. Dia sememangnya tidak pernah membantah cakap Tuan Presidan. Memang tak ada sebab untuknya membantah. Presiden Zeto terlalu baik buatnya bahkan pasti ada sesuatu sebab mengapa serangan balas terhadap tentera musuh tidak dibenarkan. Perbincangan mereka terhenti seketika. Bunyi roket dan jet pejuang kedengaran di luar bangunan. Sejurus kemudian menyusul pula dentuman bom yang menggegarkan sektor D20, kawasan di mana letaknya Bangunan Trapezium itu. Gegaran dapat dirasakan. Presiden Zeto dan Komander Orrey serta beberapa lagi pegawai masuk ke bilik bawah tanah yang dibina khas untuk markas operasi rahsia namun kini digunakan sebagai tempat berlindung.

* * * * * * *

Jauh di kawasan pedalaman, KO35, kelihatan seorang kanak-kanak kecil mencari makanan di dalam hutan. Sememangnya sumber makanan di negara ini telah disekat oleh penjajah. Yang tinggal hanyalah makanan tradisional seperti kayu ubi dan buah-buahan yang telah menjadi rutin harian di negara ini sejak berbulan lalu. Wajah riang yang terukir pada kanak-kanak itu menggambarkan ia masih belum mengerti tentang penjajahan yang melanda tanah airnya. Sedang kanak-kanak itu mengutip buah-buahan di sebatang jalan, kelihatan tentera pihak KALA sedang melalui jalan yang sama.


Bang! Bunyi senapang jenis M16 kedengaran menggemparkan penduduk di perkampungan itu. Namun kebanyakan penduduk tidak keluar dari rumah kerana mengetahui terdapat tentera pihak KALA di kampung mereka. Jika mereka keluar satu kejadian yang buruk akan menimpa mereka dan kemungkinan mereka tidak akan bertemu lagi dengan keluarga mereka. Setelah tentera pihak KALA melepasi perkampungan itu, barulah penduduk keluar untuk melihat apa yang berlaku. Perasaan dalam hati mereka menjadi gundah-gulana. Bunyi senapang yang kedengaran tidaklah akan kedengaran sama sekali melainkan sebagai amaran dan balasan bagi sesiapa yang melanggar peraturan yang ditetapkan penjajah.


“Kuning!” jerit seorang perempuan tua lantas terus mendakap kanak-kanak perempuan yang sudah menghembuskan nafas yang terakhir. “Apa yang telah mereka lakukan pada engkau, Kuning. Apakah kesalahan engkau terlalu besar sehingga kau dihukum begini!” tangisan seorang ibu di sisi mayat anaknya nyata menaikkan lagi kemarahan penduduk kampung terhadap tentera pihak KALA yang tidak berhati perut.

* * * * * * *

0 comments:

Post a Comment

Template by:
Free Blog Templates